Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsiran ayat 144 daripada Surah Ali Imran berdasarkan pandangan ulama’ tafsir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ
Maksudnya: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
(Surah Ali Imran: 144)
Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Diriwayatkan daripada Ibnu Syihab, beliau berkata: Abu Salamah memberitahuku bahawa Aisyah R.Anha pernah menyampaikan bahawa Abu Bakar R.A datang dengan menunggang kuda dari rumahnya di al-Sunuh. Setibanya di masjid, beliau turun dari kuda dan masuk tanpa berbicara dengan sesiapa pun sehingga bertemu Aisyah R.Anha. Ketika itu, Rasulullah SAW telah ditutup dengan sehelai kain bermotif. Abu Bakar membuka kain yang menutupi wajah Rasulullah SAW, memeluk baginda, menciumnya, dan menangis.
Abu Bakar berkata: Demi bapaku dan ibuku, demi Allah! Allah tidak akan mengumpulkan dua kematian atas dirimu selamanya. Adapun kematian yang telah ditetapkan Allah ke atas dirimu, engkau telah menghadapinya.”
Al-Zuhri menyampaikan: Abu Salamah juga memberitahuku daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa ketika Umar r.a. sedang berucap di hadapan orang ramai, Abu Bakar datang. Abu Bakar berkata kepada Umar, “Duduklah, wahai Umar.” Namun, Umar tidak mahu duduk. Orang ramai kemudian memusatkan perhatian mereka kepada Abu Bakar dan meninggalkan Umar.
Abu Bakar berkata:
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللهَ، فَإِنَّ اللهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ، قَالَ اللهُ تَعَالَى: {وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ} إِلَى {الشَّاكِرِينَ}
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka ketahuilah bahawa Muhammad telah wafat. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati.”
Abu Bakar kemudian membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul; sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Maka jika dia wafat atau dibunuh, adakah kamu akan berpaling ke belakang (murtad)? Dan sesiapa yang berpaling ke belakang, maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah Ali Imran: 144)
Demi Allah, kata Abdullah bin Abbas, orang ramai seolah-olah baru pertama kali mengetahui bahawa ayat ini diturunkan sehingga Abu Bakar membacakannya kepada mereka. Setiap orang yang mendengar terus membaca ayat tersebut. Sa’id bin Al-Musayyib berkata bahawa Umar r.a. mengakui: “Demi Allah, aku baru memahami perkara ini setelah mendengar dari Abu Bakar. Ketika itu, tubuhku bergetar, kakiku tidak mampu berdiri, dan aku jatuh ke tanah mendengar bacaannya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/429)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah, “وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ” (Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul). Ketika Rasulullah SAW mengalami luka dalam Perang Uhud, syaitan berteriak sambil berkata: “Muhammad telah terbunuh!” Mendengar berita ini, sebahagian orang beriman menjadi lemah semangat sehingga berkata sesama mereka: “Nabi Muhammad telah terbunuh, maka serahkan sahaja diri kita kepada musuh kerana mereka adalah saudara kita.” Namun, sebahagian yang lain berkata: “Jika benar beliau seorang rasul yang diutus oleh Allah, pasti beliau tidak akan terbunuh.”Firman Allah selanjutnya, “قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ” (Sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul) bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW juga akan meninggal dunia sebagaimana para rasul sebelum baginda telah wafat. Malah, ada kemungkinan baginda dibunuh sebagaimana rasul-rasul lain juga pernah dibunuh.
Firman-Nya lagi, “أَفَإِي۟ن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰٓ أَعْقٰبِكُمْ” (Apakah jika baginda wafat atau dibunuh, kamu akan berbalik ke belakang [murtad]?), memberi amaran mengapa kalian mahu murtad dan meninggalkan agama baginda hanya kerana baginda wafat atau dibunuh? Sedangkan kalian tahu bahawa para rasul sebelumnya telah pergi meninggalkan umat mereka, tetapi para pengikut mereka tetap teguh berpegang kepada agama yang dibawa, meskipun rasul mereka wafat atau dibunuh. Firman Allah, “وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ” (Barang siapa yang berbalik ke belakang), bermaksud sama ada dengan lari meninggalkan medan perang atau berpaling daripada agama Islam. Firman-Nya, “فَلَن يَضُرَّ اللهَ شَيْـًٔا“(Maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun), menegaskan bahawa tindakan itu hanya membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Allah juga berfirman, “وَسَيَجْزِى اللهُ الشّٰكِرِينَ” (Dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur), iaitu mereka yang bersabar, tetap berjuang, dan gugur sebagai syuhada. Dengan tindakan itu, mereka menunjukkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat Islam yang dianugerahkan kepada mereka. (Lihat Fath al-Qadir, 2/361)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: Muhammad SAW hanyalah seorang rasul, sama seperti rasul-rasul lain dalam kalangan manusia. Kisah beberapa rasul yang telah wafat sebelum Muhammad SAW memang telah berlalu. Jika dia wafat atau dibunuh, adakah kamu akan berpaling dan murtad setelah kamu beriman? Sesiapa yang berpaling dan murtad dari agamanya, mereka tidak akan dapat mendatangkan sebarang mudarat kepada Allah, tetapi sebaliknya, mereka hanya akan merugikan diri sendiri. Allah akan memberikan balasan yang baik kepada orang-orang yang bersyukur atas ketetapan mereka dalam beragama. Ayat ini diturunkan ketika umat Islam kalah dalam Perang Uhud, dan tersebar berita bahawa Nabi SAW telah terbunuh. Seorang lelaki berkata: “Muhammad telah terbunuh, maka berikanlah dengan tangan kamu semua, kerana mereka juga adalah saudara kamu.” Umar melihat orang-orang berpaling dan berbalik badan. Kemudian, ayat ini diturunkan: “Muhammad hanyalah seorang rasul.” (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 332)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”