Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith Rasulullah SAW yang terkait dengan orang yang memelihara solat Dhuha sebagai orang yang kembali dan bertaubat kepada Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan, benar sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُحَافِظُ عَلَى صَلَاةِ الضُّحَى إِلَّا أَوَّابٌ» قَالَ: «وَهِيَ صَلَاةُ الْأَوَّابِينَ

Maksudnya: Tidaklah seseorang itu memelihara solat Dhuha kecuali orang yang bertaubat. Sabda Baginda: Ia adalah solat orang-orang yang kembali kepada Tuhan.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1/133/1) dan al-Hakim (1/314)

Hadith ini telah disebut oleh Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya dan al-Hakim berkata: Hadis ini sahih mengikut syarat Muslim serta dipersetujui oleh Imam al-Zahabi.

Sebenarnya solat Dhuha dari segi fadhilat, tatacaranya serta pelbagai hukum yang terkait dengannya, kami telah bahaskan dalam buku Ensiklopedia Solat Sunat (hlm. 149-186).

Kami nyatakan di sini sebuah hadith yang lain bagi mengukuhkan lagi kelebihan solat Dhuha:

Mengikut Abu al-Khattab, disunatkan berterusan melakukan solat Duha kerana Nabi SAW mewasiatkan sahabatnya, daripada Abu Hurairah, sabda Nabi SAW:

مَنْ حَافَظَ عَلَى شُفْعَةِ الضُّحَى غُفِرَ لَهُ ذُنُوْبُهُ وإنْ كَانتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Siapa yang memelihara solat Duha dua rakaat nescaya diampunkan dosanya sekalipun seperti buih di laut.”

Riwayat al-Tirmizi (476), Ahmad (10102) dan Ibn Majah (1380).

Syeikh Abu al-‘Ala al-Mubarakfuri berkata: “sekalipun dosa-nya seperti buih di laut” kerana masyhurnya penggunaan sebagai permisalan bagi benda yang banyak.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/478)

Syeikh Ali al-Qari: “Buih yang berada di atas permukaan laut apabila ia bergelora dan berombak. (Lihat Mirqah al-Masabih, 2/767)

Sayid Sabiq berkata: Solat Dhuha merupakan ibadat yang disunatkan, maka siapa yang ingin mencari pahala hendaklah menunaikannya. Sebaliknya, jika seseorang itu tidak melaksanakannya, maka tidaklah dikira sebagai satu kecacatan atau kekurangan baginya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Said RA, katanya:

كَانَ النَّبِي يُصَلِّى الضُّحَى حَتَّى نَقُوْلَ لاَ يَدَعُهَا، وَيَدَعُهَا حَتَّى نَقُوْلَ لاَ يُصَلِّيْهَا

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW apabila bersolat Duha sehingga kami katakan Baginda tidak meninggalkannya, dan dia meninggalkannya sehingga kami katakan dia tidak sembahyang.

Riwayat al-Tirmizi (477), Ahmad (11155) dan Abu Ya’la (1270). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if.

Imam Nawawi berkata: Keadaan solat sunat Dhuha adalah pendapat jumhur dan pendapat fuqaha mutaakhir. Dalam Hasyiah menyebut Solat Dhuha dan galakan melakukannya merupakan had kepada mutawatir dan disunatkan melaziminya bagi sesiapa yang tidak bangun qiamullail.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”