Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah zina mewarisi kefakiran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tanpa dinafikan lagi, bahawa zina adalah haram serta amat keji dalam Islam. Firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri perbuatan zina, kerana sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan jalan buruk yang merosakkan nasab.”
(Surah al-Isra’: 32)
Imam Ibn Kathir berkata, Allah SWT melarang para hamba-Nya dari perbuatan zina dan menegah dari mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)
Berkenaan hadith zina mewarisi kefakiran, ulama’ membahaskan hadith tersebut sebagai batil, sebagaimana riwayat al-Qudha’i dalam Musnad al-Syihab (7/2).
Walaupun begitu, secara mauquf adalah lebih kuat. Ini berdasarkan riwayat Ibn Hibban dalam al-Thiqat (2/295), dari jalan Makhul al-Syami di mana Ibn ‘Umar berkata kepadaku:
يَا مَكْحُولُ إِيَّاكَ وَالزِّنَا فَإِنَّهُ يُورِثُ الْفَقْرَ
Maksudnya: Hai Makhul, jauhilah kamu daripada zina kerana ia mewarisi kefakiran.
Begitu juga dalam riwayat yang kedua, daripada al-Baihaqi dalam Syu’abnya dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (2/99/2), di mana hadith tersebut sanadnya hasan.
Semoga Allah menjauhkan kita daripada zina dan segala dosa-dosa besar yang lain. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”