Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika seseorang itu bersin semasa khutbah Jumaat lalu dia mengucapkan alhamdulillah sesudahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khutbah Jumaat merupakan syarat sah Solat Jumaat. Tanpa khutbah, perlaksanaan Solat Jumaat tidak sah. Khutbah ini pula mengandungi syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا نُودِیَ لِلصَّلَوٰةِ مِن یَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡا۟ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلۡبَیۡعَۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah untuk mengingati Allah dan tinggalkan segala urusan jual-beli. Demikian itu lebih baik buat kalian jika kalian mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Allah SWT menyebut khutbah Jumaat sebagai salah satu zikir untuk mengingati-Nya kerana di dalamnya terdapat nasihat dan peringatan untuk mengingati kalam Allah serta arahan-Nya. Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Firman-Nya: [bersegeralah menuju mengingati Allah] iaitu ke arah menunaikan solat. Manakala, Sa‘id bin al-Musayyib menafsirkan ayat: [bersegeralah menuju mengingati Allah] sebagai khutbah/nasihat yang disampaikan oleh Imam.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/117).

Antara ucapan yang dibenarkan juga termasuklah mengucapkan tahmid sesudah bersin semasa khutbah serta tasymit (mengucapkan Yarhamukallah) kepada orang yang bersin. Anjuran ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ‏.‏ وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏.‏ فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ‏ فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu bersin, hendaklah dia mengucapkan Alhamdulillah. Dan saudara atau sahabatnya mengatakan : Yarhamukallah (semoga Allah merahmati kamu). Sekiranya seseorang berkata kepadanya (orang yang bersin) ucapan Yarhamukallah, maka hendaklah dia membalasnya dengan sebutan Yahdikumullah wa yuslihu baalakum (semoga Allah memberi hidayah kepadamu serta memperelokkan urusan kamu).

Riwayat Al-Bukhari (6224)

Justeru, anjuran ini hakikatnya tidak terhad kepada waktu atau tempat tertentu sahaja. Bahkan boleh untuk mengucapkan tahmid sesudah bersin semasa khutbah sedang berlangsung dan dibolehkan untuk orang yang mendengarnya mengucapkan Yarhamukallah.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum mengucapkan alhamdulillah sesudah bersin ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung adalah dibolehkan. Demikian juga kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang yang mendengarnya mengucapkan tasymit iaitu sebutan Yarhamukallah kepadanya pada ketika itu. Namun, hendaklah ucapan-ucapan sebegini dilakukan secara perlahan supaya ia tidak mengganggu tumpuan para jemaah yang lain.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إيَّاكَ نَرْجُو، وَلَكَ نَدْعُو، فَبَلِّغْنَا صَالِحَ أمَلِنَا، واغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا، وَامْنُنْ عَليْنَا بِما مَنَنْتَ بِهِ على أهْلِ طاعَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Hanya kepada-Mu kami berharap. Hanya kepada-Mu kami berdoa. Capaikanlah cita-cita baik kami. Ampunkan dosa-dosa kami. Kurniakanlah kepada kami segala perkara yang Engkau kurniakan kepada orang-orang yang mentaati-Mu.”

Wallahu a‘lam.