Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sering menjaga wudu’ sepanjang waktu dan saya bakal berkahwin tak lama lagi. Jadi bagaimana saya boleh menjaga wudu’ kerana bersentuhan dengan isteri adalah perkara yang membatalkan. Atau boleh ke saya mengamalkan mazhab lain dalam hal ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
(Surah al-Maidah: 6)
Menurut Syeikh al-Sa’di, terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat, tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)
Definisi Taqlid
Dari segi bahasa, taqlid diambil daripada perkataan al-qiladah (القلادة), iaitu sesuatu yang dikalungkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/367; Mukhtar al-Sihhah, hlm. 58; Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 770)
Adapun taqlid dari segi istilah, kami nukilkan seperti berikut:
Imam al-Ghazali mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah. (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilmi al-Usul, hlm. 542)
Ibn al-Humam berkata, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 770)
Al-Amidi pula menjelaskan, ia adalah satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut. (Lihat al-Ihkam, 4/221)
Jumhur ulama usul pula mentakrifkan taqlid sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 772)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
- Mestilah mengetahui secara menyeluruh tentang amalan yang hendak diambilnya itu dari segi rukun dan syarat sah dan batalnya secara terperinci bagi mengelak berlakunya talfiq atau percampuran di antara mazhab yang dilarang.
- Bukan bertujuan untuk tatabu’ al-rukhas dengan mengambil pendapat yang mudah tanpa melalui proses pentarjihan yang syari’e dan mengikut hawa nafsu.
Oleh itu, di dalam isu ini kami menyimpulkan bahawa orang awam wajib bertaqlid dengan imam mazhab yang di amalkannya seperti pengamalan berwuduk dalam mazhab syafi’e yang diamalkan seperti biasa. Ini disebabkan supaya lebih berhati-hati dalam mengamalkan sesuatu permasalahan dan mengelakkan diri daripada perkara yang menjerumus ke arah mengikut hawa nafsu serta percampuran mazhab yang dilarang.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)