Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum nafkah isteri yang murtad selepas bercerai dan masih dalam ‘Iddah? Terima Kasih Dato Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum Nafkah adalah wajib berdasarkan al Quran dan juga Sunnah. Di dalam Al Quran telah dijelaskan mengenai nafkah ‘iddah berdasarkan firman Allah SWT:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”
(Surah al-Talaq : 6)
Al-Tabari berkata: “(Yakni), berikanlah kediaman kepada isteri-isteri kamu yang telah ditalakkan daripada tempat yang kamu diami lagi kamu sediakan berdasarkan kemampuan kamu; Ini adalah arahan-Nya kepada golongan lelaki untuk memberikan tempat tinggal yang dia sediakan berdasarkan kemampuannya, sehingga selesai iddah isteri-isteri itu.” (Lihat Jami` al-Bayan, 23/456)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa para ulama sepakat bahawa nafkah serta keperluan lain seperti pakaian dan tempat tinggal wajib diberikan kepada isteri yang diceraikan dengan talak raj‘i, kerana kedudukannya masih dianggap sebagai isteri. Namun, mereka berbeza pandangan mengenai wanita yang menjalani iddah selepas talak bain. Ada yang berpendapat bahawa semua hak seperti nafkah, pakaian, dan tempat tinggal wajib diberikan kepadanya, sama seperti isteri yang diceraikan secara raj‘i atau yang sedang hamil. Sebaliknya, ada yang berpendapat bahawa tiada kewajipan apa-apa ke atasnya. Manakala, golongan yang mengambil jalan tengah berpendapat hanya tempat tinggal yang wajib disediakan untuknya.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Wanita yang sedang menjalani iddah akibat talak raj‘i atau talak bain melalui khulu‘, atau setelah habis bilangan talak, berhak mendapat tempat tinggal sama ada dia sedang hamil atau tidak. Begitu juga wanita yang sedang dalam iddah akibat kematian suami, berdasarkan pandangan yang lebih kuat (al-azhar). (Lihat Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 8/408)
Namun, dalam situasi di mana isteri yang diceraikan telah murtad, dia tidak berhak menerima sebarang nafkah daripada bekas suaminya, walaupun dalam tempoh iddah. Hal ini kerana hubungannya dengan Islam telah terputus, yang secara langsung menyebabkan gugurnya kewajipan nafkah ke atasnya.
Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Mawardi di mana beliau berkata: Tiada nafkah bagi wanita dalam tempoh murtad, menurut kesepakatan, kerana perbuatan haram itu berasal daripadanya dengan sesuatu yang tidak dapat diperbaiki oleh suami. Oleh itu, keadaannya dianggap lebih buruk daripada nusyuz. Jika dia tidak kembali kepada Islam sehingga tempoh iddah tamat, maka pernikahan dianggap terbatal. Namun, jika dia memeluk Islam sebelum tempoh iddah berakhir, pernikahan mereka kekal sah, dan dia berhak menerima nafkah untuk masa depan selepas kembali kepada Islam. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 11/449)
Kesimpulan:
Dalam situasi yang melibatkan murtad, hak nafkah gugur secara automatik kerana hubungan wanita tersebut dengan Islam telah terputus. Hal ini berlaku kerana murtad bukan sahaja menjejaskan status keagamaan individu, tetapi juga memberi kesan langsung kepada status perkahwinan dalam Islam. Apabila seseorang wanita murtad, dia tidak lagi dianggap berada di bawah perlindungan hukum syarak yang mewajibkan suami menunaikan tanggungjawab nafkah. Keadaan ini menunjukkan bahawa murtad bukan sahaja pelanggaran terhadap agama, tetapi juga membawa implikasi sosial dan hukuman yang berat.
Namun, jika wanita tersebut kembali kepada Islam sebelum tempoh iddah berakhir, status perkahwinannya kekal sah, dan dia berhak menerima nafkah untuk masa depan. Ini kerana, dalam Islam, iddah bertujuan memberi peluang kepada pasangan untuk memperbaiki hubungan dan menarik kembali keputusan yang telah dibuat. Sekiranya wanita itu kembali kepada agama Islam dalam tempoh tersebut, ia menunjukkan kesungguhan untuk memulihkan keadaan, dan pernikahan dianggap terus berlanjutan tanpa perlu akad baru. Dalam keadaan ini, tanggungjawab nafkah yang melibatkan masa depan akan kembali kepada suami sebagai sebahagian daripada kewajipan perkahwinan.
Walau bagaimanapun, kami menyarankan agar pihak yang berdepan dengan isu-isu kekeluargaan merujuk kepada badan-badan berautoriti seperti mahkamah syariah atau institusi agama. Langkah ini penting bagi memastikan masalah tersebut dirungkai dengan cara yang tepat dan selaras dengan hukum syarak. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebut:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim itu meleraikan khilaf.”
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.