Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana sifat pekerja yang cemerlang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam mencapai kecemerlangan dalam bekerja, seseorang pekerja itu hendaklah berusaha membentuk sifat-sifat yang baik dalam dirinya agar dapat melonjakkannya ke persada kejayaan. Antaranya:

  1. Amanah yang Tinggi dalam Bekerja

Kejayaan sesebuah organisasi atau institusi bergantung kepada sifat amanah seseorang pekerja yang dilantik. Sekiranya sifat ini tiada dalam diri seorang pekerja, maka sudah tentu banyak urusan tidak akan berjalan sempurna dan terbengkalai, seterusnya mengakibatkan kejatuhan dan kehancuran sesebuah organisasi. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah al-Mukminun:8)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)

Begitu juga firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)

Pekerja yang amanah akan sentiasa berusaha untuk memenuhi masa bekerja bagi menyelesaikan tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Dia akan berusaha untuk menyusun perancangan dan mengatur tugasan dengan sebaik-baiknya, agar setiap tugasan dapat diselesaikan mengikut tempoh yang telah ditentukan. Dia juga akan mengelakkan sikap bertangguh dan menunda-nunda kerja atas alasan peribadi, demi menyelesaikan kerja dengan baik.

 

  1. Menjaga Masa dan Mengatur Setiap Saat dengan Baik

Firman Allah SWT:

إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian.”

(Surah al-Asr: 2)

Al-Maraghi berkata bahawa sesungguhnya makhluk ini benar-benar mengalami penderitaan seperti kerugian dalam amal perbuatannya, melainkan orang yang dikecualikan oleh Allah SWT. Justeru amal perbuatan manusia itu yang menjadi punca kesengsaraannya, bukannya masa dan tempat. Amalan itulah yang menjerumuskannya ke lembah kebinasaan. (Lihat Tafsir al Maraghi, 15/7697).

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya (1/319) menaqalkan pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah yang berkata:

لَوْ تَدَبَّرَ النَّاس هَذِهِ السُّورَة لَكَفَتْهُمْ

Maksudnya : “Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.”

Oleh yang demikian, faktor kejayaan dan kecemerlangan seseorang pekerja bertitik tolak daripada kemahiran pengurusan masa yang tinggi dan cekap. Apabila seorang pekerja pandai menguruskan masa, teliti dalam memelihara masa dan tidak bertangguh, sudah tentu banyak urusan dapat diselesaikan.

Pepatah menyebut: “Orang yang hebat hanya memiliki sedikit masa namun banyak hasil dan kerjanya. Sedangkan orang yang malang memiliki banyak masa, namun hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukannya.”

  1. Mempunyai Fokus dan Tumpuan yang Penuh

Salah satu cara untuk fokus dalam kerja adalah dengan kita katakan tidak kepada sebarang bentuk gangguan seperti telefon bimbit, media sosial, youtube dan seumpamanya. Begitu juga terhadap ajakan dan pujukan yang mengganggu dan menghalang pekerjaan daripada disiapkan. Selain itu, kita perlu tegas melaksanakan tugasan yang dijadualkan dan mengelakkan daripada menyibuk pada tugasan yang tiada dalam jadual serta kerja tambahan yang tiada kena mengena dengan tugasan hakiki.

Suka dinyatakan juga di sini, bahawa memberi perhatian dan fokus pada kerja bukan sahaja membantu menyelesaikan pekerjaan tepat pada masanya tetapi yang lebih penting adalah seseorang itu dapat mencapai produktiviti hasil kerja yang tinggi.

Pembinaan fokus bermula dengan matlamat dan kefahaman yang jelas yang disulami dengan ilmu. Apabila wujudnya sebuah idea yang baik, maka hendaklah disertai dengan fokus serta azam agar ia tidak hanya berada di awang-awangan, yang tiada sebarang tindakan untuk melaksanakan dan mencapai matlamatnya. Benarlah kata pujangga:[1]

إذا كُنتَ ذا رأيٍ فَكُنْ ذا عَزيمَةٍ       فإنَّ فَسادَ الرأيِ أنْ تَترددا

“Jika kamu mempunyai pemikiran yang baik, sertakanlah dengan azam

Ini kerana rosaknya pemikiran apabila tidak tetap pendirian.”

Mereka yang tidak fokus dalam satu-satu kerja akan menyebabkan berlaku banyak kelemahan dan kecuaian. Begitu juga kerjanya tidak akan sempurna bahkan jauh daripada mencapai sasaran matlamat. Hasilnya merudum. Bacalah sejarah Imam Syafie, katanya:

تَمَنَّيْتُ مِنَ الدُّنْيَا شَيْئَيْنِ: الْعِلْمَ وَالرَّمْيَ، فَأَمَّا الرَّمْيُ فَإِنِّي أُصِيبُ مِنْ عَشَرَةٍ عَشَرَةً، وَالْعِلْمُ فَمَا تَرَوْنَ.

Maksudnya: “Aku bercita-cita dalam dunia ini dua perkara: Memperolehi ilmu dan tepat dalam memanah. Adapun, berkenaan panahan, biasanya aku tepat sepuluh panah dengan sepuluh sasaran. Dan ilmu pula, sepertimana kamu lihat aku sekarang.” (Lihat Adab al-Syafi’i wa Manaqibuhu, oleh Abu Muhammad Abd al-Rahman bin Abi Hatim al-Razi, hlm. 24 dan Manaqib al-Syafi’i oleh al-Baihaqi, 2/128)

Ini menunjukkan betapa Imam Syafie seorang yang benar-benar fokus, aim, penuh tumpuan dan target.

Di sini kami nyatakan tujuh cara meningkatkan fokus di tempat kerja sebagaimana berikut:

  • Memulakan pagi dengan senaman yang ringan
  • Jangan makan terlalu awal
  • Makan makanan yang kaya dengan lemak baik
  • Catit tugasan yang kritikal pada setiap jam dan tetapkan matlamat untuk menyiapkan tugasan dalam tempoh sejam
  • Tetapkan matlamat harian dan fokus pada perkara yang ingin dicapai pada hari tersebut.
  • Dapatkan tidur yang mencukupi.[2]

  1. Memberi Komitmen Sepenuhnya Terhadap Pekerjaan

Kunci kejayaan seseorang individu ialah komited terhadap kerjaya yang diceburinya. Komited yang dimaksudkan di sini adalah dengan menumpukan perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap apa dilakukan. Selain itu, seseorang pekerja yang komited juga akan sanggup memperuntukkan lebih masa dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.

Menurut pengkaji kerja berpasukan terkenal iaitu Katzenbach dan Smith, bagi sesebuah organisasi yang ingin berjaya, pekerjanya perlu memiliki tiga sikap utama, iaitu: Komitmen, tanggungjawab dan kemahiran. Setiap pekerja perlu memberi komitmen sepenuhnya terhadap pendekatan yang dipersetujui bersama agar sesuatu tugasan dapat diselesaikan dengan baik. Selain itu, kebersamaan ahli pasukan dalam mengambil sesuatu persetujuan juga adalah penting khususnya dalam menentukan ahli yang akan melakukan sesuatu tugas, kaedah yang akan digunakan serta kemahiran yang diperlukan dalam menyiapkan sesuatu tugasan.

Lebih penting daripada itu, setiap ahli pasukan hendaklah bersedia untuk memberi sepenuh komitmen terhadap pasukan dan hal ini boleh dilihat melalui kesanggupannya untuk meluangkan lebih masa dalam menyiapkan sesuatu tugas yang telah dipertanggungjawabkan.[3]

  1. Bersikap Tekun dan Bersungguh-sungguh dalam Pekerjaan

Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Sikap itqan (tekun) dalam bekerja adalah bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan sesuatu tugasan sepertimana yang dikehendaki oleh majikan tanpa kurang walau sedikit pun, dan dengan sesempurna yang mungkin disertai usaha yang bersungguh-sungguh agar tidak melewati daripada waktu yang telah ditetapkan.

Galakkan untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan ini juga adalah kerana bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara bagi mendapatkan rezeki, dalam menyara dan meneruskan kehidupan seharian. Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.’”

(Surah al-Taubah: 105)

  1. Sedia untuk Bekerja Secara Berpasukan

Kerja berpasukan atau teamwork akan memberi kesan besar berbanding bekerja secara bersendirian atau disebut dengan istilah one-man show. Menurut Prof Isam Ahmad al-Bashir, ‘amal jama’iyy atau bekerja dalam kumpulan merupakan satu bentuk jihad yang disyariatkan oleh Islam dan ia dituntut oleh keperluan secara praktikal. (Lihat Shar’iyyat al-‘Amal al-Jama’iyy wa Daruratuh, hlm. 7)

Dalam sesebuah organisasi, kerja berpasukan merujuk kepada sekumpulan pekerja yang melaksanakan tugas secara berganding bahu antara satu sama lain dan sama-sama bergabung bagi mencapai matlamat kumpulan.[4] Antara faedah melakukan kerja secara berpasukan adalah ia akan mewujudkan satu rangkaian hubungan seperti perkongsian pintar dan gandingan strategik melalui penglibatan ramai pihak yang terbabit.[5]

Dengan melakukan kerja secara berpasukan, ia mampu memberikan impak yang positif dalam menyediakan peluang untuk menyalurkan idea-idea yang bermanfaat bagi menambah kecekapan gerak kerja seterusnya membantu meningkatkan kecemerlangan sesebuah organisasi. Kerja berpasukan juga dapat menjimatkan masa dan tenaga selain sesuatu kerja dapat dilakukan dengan mudah dan pantas kerana berlaku kesepaduan gerak kerja sesuatu kumpulan. Namun, ia mestilah dengan syarat setiap ahli memahami tanggungjawab masing-masing.

Selain itu, banyak idea yang kreatif juga dapat dicetuskan hasil perbincangan bersama, seterusnya pasukan mampu memilih idea yang terbaik dalam memberikan satu solusi yang optimum. Kesemua ini akan menjadikan beban kerja bertambah ringan kerana pembahagian kerja dapat dilakukan, di samping sikap saling memberikan bantuan sesama ahli pasukan.

Dalam satu kajian oleh Parker, nilai kecekapan kerja berpasukan (team-working) adalah mendapat tempat yang lebih tinggi berbanding bekerja secara sendirian. Justeru, atas dasar inilah kaedah kerja berpasukan telah mula diaplikasikan secara optimum oleh sebahagian besar organisasi pada masa kini dalam rangka mencapai matlamat organisasi. (Lihat Team Players and Teamwork; New Strategies for Developing Successful Collaboration, hlm. 35; Mengurus Kerja Berpasukan, hlm. 51)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

[1] Dikatakan beliau ialah Abu Ja’far al-Mansur, khalifah yang kedua dari kalangan Abbasiyyah. Lahir pada tahun 101 Hijrah dan meninggal pada tahun 158 H.

[2] Lihat: https://rakan.jpm.gov.my/7-cara-untuk-meningkatkan-fokus-di-tempat-kerja/ Diakases pada 25 Disember 2023

[3] Katzenbach, J.R. and Smith, D.K. 1993. The Wisdom of Teams: Creating the High Performance Organization. Boston: Harvard Business Review Press. hlm. 84.

[4] Wheelan, S. A. 2010. Creating Effective Teams: A Guide for Members and Leaders. Washington: SAGE Publication. hlm. 12.

[5] Bidin, Y. H. 2007. Positioning Knowledge Management as Key Success Factor in The Growth of Cooperatives In Malaysia. Asian Academy of Management Journal, 12(1), 69-82.