Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan hadith berkaitan janin dan syarahannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadith sahih riwayat Ibn Mas’ud RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا نُطْفَةً ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوْحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونَ بينَهُ وبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فيسبِقُ عليهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أهلِ النَّارِ فيدْخُلُهَا وإِنَّ أحدَكُمْ ليعمَلُ بعملِ أهلِ النَّارِ حَتىَّ مَا يَكُونَ بينَهُ وبينَهَا إلاَّ ذِرَاعٌ فيسبِقُ عليهِ الكِتَابُ فيعمَلُ بعمَلِ أهلِ الجنَّةِ فيدْخُلُهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan penciptaannya di dalam perut ibunya sebagai setitis air mani dalam masa empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal darah dalam masa empat puluh hari berikutnya, kemudian menjadi seketul daging dalam masa empat puluh hari yang berikutnya, kemudian dihantar kepadanya malaikat, lalu ditiup kepadanya rohnya dan ditulis baginya akan empat kalimah, iaitu ditentukan akan rezekinya, ajalnya, amalannya dan sama ada ia seorang yang celaka atau seorang yang berbahagia. Maka, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, sesungguhnya seseorang dari kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jaraknya di antara syurga sekadar satu hasta dan telah terdahulu dalam ilmu Allah, lalu dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia masuk neraka. Dan sesungguhnya seseorang dari kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga menjadi jaraknya di antara neraka sekadar satu hasta dan telah terdahulu di dalam ilmu Allah, lalu dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka dia masuk ke dalam syurga.

Riwayat al-Bukhari (3036), Muslim (2643), Abu Daud (4708), al-Tirmizi (2138) dan Ibn Majah (76)

Hikmah Allah SWT menciptakan manusia mengikut tertib dan menepati perkembangan ini serta beransur-ansur dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain (sedangkan Dia mampu dan berkuasa untuk mengadakannya dengan sempurna di dalam jangka masa yang paling cepat) ialah menyusun kejadian manusia serta kejadian alam semesta supaya menepati rukun sebab dan musabbab serta mukadimah dan natijah. Ini adalah lebih tepat dan jelas di dalam memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Begitu juga kita dapat mengambil pengajaran daripada proses yang berlaku secara beransur-ansur ini, iaitu Allah SWT mengajar hamba-Nya agar tenang dan berwaspada di dalam urusan-urusan mereka dan menjauhkan sikap tergesa-gesa.

Di sana juga terdapat pengajaran kepada manusia bahawa kesempurnaan maknawi hanya akan diperolehi secara beransur-ansur sebagaimana kesempurnaan zahir terjadi secara beransur-ansur dalam peringkat kejadian manusia dan bagaimana perpindahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain berlaku sehingga manusia mencapai tahap kesempurnaan akal (baligh). Begitulah juga, manusia sewajarnya bertindak mengikut proses yang sebegini rupa dalam penyusunan cara hidupnya, jika tidak, manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 26)

Berdasarkan hadith di atas jelas menunjukkan bahawa peringkat kejadian manusia ialah terdiri daripada nutfah, alaqah, mudghah dan ditiupkan roh. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ

Maksudnya: “Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan.”

(Surah al-Haj: 5)

Al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Allah SWT menyebut tujuh peringkat kejadian manusia, iaitu:

  • Allah SWT mencipta manusia daripada air mani yang dihasilkan daripada makanan, makanan pula berasal daripada tumbuh-tumbuhan yang berkembang daripada bumi dan air.

  • Daripada air mani itu kemudiannya bertukar menjadi darah yang terhasil daripada makanan yang berpunca daripada tanah.

  • Setelah menjadi darah beku yang tebal dan nampak jelas yang membezakan antara air dengan darah.

  • Kemudian segumpal daging yang sempurna, yang tidak ada kekurangan dan tidak ada cacat cela pada permulaan kejadiannya dan daripada segumpal daging yang tidak sempurna yang mempunyai kecacatan. Adanya perbezaan dalam kejadian ini antara manusia dari segi rupa, bentuk, tinggi dan rendahnya.

  • Kami telah mencipta kamu dengan cara ini agar Kami dapat menjelaskan kepada kamu keindahan urusan sistem Kami yang agung dan bijaksana, seperti adanya Hari Kebangkitan.

  • Seterusnya, Kami membahagiakan kamu dan memelihara kamu hingga dewasa dan memiliki kekuatan yang sempurna.

  • Sesudah itu di kalangan kamu ada yang dimatikan ketika dewasa dan mempunyai akal yang sempurna, ada pula yang dibiarkan hidup hingga menjadi sangat tua berperangai seperti kanak-kanak, tubuh, akal dan pemahamannya juga menjadi lemah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4523)

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ ‎﴿١٢﴾‏ ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ ‎﴿١٣﴾‏ ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah, kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh, kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(Surah al-Mu’minun: 12-14)

Sayyid Qutub menjelaskan: “Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta yang telah mengisi dalam fitrah manusia daya qudrat yang membolehkannya menempuh peringkat-peringkat perkembangan ini mengikut Sunnatullah yang tidak pernah berubah, menyimpang dan mungkir sehingga sampai kepada martabat yang sempurna yang ditentukan untuk manusia mengikut peraturan Ilahi yang amat rapi.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/261)

Dr. Muhammad Ali al-Bar berkata: Semestinya mengkaji dan menekuni tentang ciptaan manusia kerana padanya terdapat tanda-tanda kekuasaan Ilahi yang Maha Agung sehingga menghairankan akal. Dengannya boleh menghasilkn keimanan, khusyu’ dan kebesaran Ilahi dalam hati.

Dalam ayat ini Allah SWT menyebut tentang keempat-empat peringkat tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith ini dan kemudian ditambahkan padanya tiga peringkat yang lain lalu menjadilah tujuh peringkat kesemuanya.

Ibn Abbas RA berkata:

خُلِقَ ابْنُ آدَمَ مِنْ سَبْعٍ

Maksudnya: “Anak Adam telah diciptakan dari tujuh kerangka.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 12/111)

Secara terperincinya bermula dengan nutfah kemudian ‘alaqah seterusnya mudghah kemudian wujudnya daging dan bertulang.

Persenyawaan Sperma dan Ovum

Ketika sperma, yang memainkan peranan utama dalam proses persenyawaan semakin hamper menuju ovum, telur sekali lagi bertekad ‘memutuskan’ untuk merembes cecair yang disediakan khusus bertujuan melarutkan tudung pelindung sperma tersebut. Ia akan mendedahkan kantung sebatian enzim yang terletak dibahagian kepala sperma dan yang istimewa diciptakan untuk ovum. Spermatozoa yang berjaya tiba di ovum mula bersaing untuk menembusi ovum, tetapi tipikalnya, hanya sebutir sperma sahaja yang akan mensenyawakan ovum.

Ayat al-Quran berikutnya menerangkan peringkat menakjubkan ini. Di dalam al-Quran, manusia telah diciptakan berasal dari intipati sejenis sebatian. Firman Allah SWT:

ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ مِّن مَّاءٍ مَّهِينٍ ‎

Maksudnya: Kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang.

(Surah al-Sajadah: 8)

Seperti yang dinyatakan di atas, seluruh cecair air mani bukanlah ejen utama dalam proses persenyawaan tetapi hanyalah sekadar ‘intipati’ daripadanya. Sperma di dalamnya adalah ejen persenyawaan dan kromosom di dalam sperma merupakan bahagian ‘asas intipati’ daripadanya.

Apabila sperma tunggal tersebut dibenarkan mensenyawakan ovum, secara automatik ia akan menghalang sperma lain dari menembusinya. Faktor bagi fenomena ini adalah medan bercas elektrik yang terbentuk di sekeliling ovum. Sejurus selepas sperma tunggal pertama berjaya menembusi ovum, cas negatif yang mengelilingi ovum akan bertukar positif. Sekaligus, medan luar yang berubah ini akan menolak spermatozoa lain dengan cas positif yang serupa.

Ini bererti cas elektrik bagi dua unsur yang terbentuk secara berasingan dan bebas antara satu sama lain juga menunjukkan mereka sebagai hasil ciptaan yang berpadanan.

Kemuncaknya, DNA yang terkandung di dalam sperma dan ovum akan berpadu. Kini, di dalam kandungan ini merupakan benih sel tunggal pertama bagi seorang manusia baru yang dinamakan zigot.

Dalam buku Khalq al-Insan wa al-Quran, Dr. Muhammad Ali al-Bar menyebut: Nutfah kepada tiga peringkat, iaitu:

Pertama: Nutfah atau mani lelaki.

Kedua: Nutfah atau mani wanita.

Ketiga: Nutfah yang bercampur disebut dalam al-Quran:

‏ إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan).”

(Surah al-Insan: 2)

Ibn Kathir menafsirkan dengan maksud bercampur sebahagian mani lelaki dan sebahagian mani perempuan. Sedangkan Ibn Abbas RA menafsirkan dengan maksud yang sama apabila berlaku himpunan mani lelaki dengan perempuan (persenyawaan), kemudian berpindah dari satu peringkat kepada peringkat dalam tumbesarannya. Inilah juga pendapat Ikrimah, Mujahid, al-Hassan dan al-Rabi’ bin Anas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/285)

Gumpalan Darah dalam Rahim Ibu

Sel tunggal yang dikenali sebagai zigot dalam bidang biologi dengan segera mula membesar dengan membahagi dan akhirnya menjadi ‘sebungkus daging’.

Zigot yang berpaut kukuh ke uterus akan meneruskan fasa tumbesaran yang seterusnya. Uterus pula pada masa yang sama mula dipenuhi dengan cecair yang dipanggil ‘cecair amnion’ yang mengelilingi zigot. Manakala zigot yang membesar di dalam cecair amnion adalah penting untuk melindunginya dari sebarang ancaman luaran.

Sementara itu, dengan peredaran masa, embrio yang sebelum ini kelihatan seperti bentuk gel, telah mengalami proses perubahan yang pesat. Pada peringkat awal, struktur lembut ini mula membentuk tulang-temulang yang lebih keras untuk menyokong fizikal dengan kemampuan berdiri tegak. Seluruh sel zigot yang pada awalnya kelihatan serupa, kini mengalami proses pengkhususan.

Sebahagiannya membentuk sel mata yang peka cahaya, setengah yang lain membentuk sel saraf yang peka terhadap persekitaran sejuk, panas dan rasa sakit, dan setengah yang lain lagi membentuk sel yang peka kepada getaran bunyi. Maka, timbul persoalan, adakah sel ini sendiri berkehendak untuk menjalankan proses pengkhususan? Adakah mereka sendiri memilih untuk menjadi jantung atau mata dan kemudian melaksanakan tugas yang hebat ini? Ataupun mereka semua telah diciptakan sesuai untuk tujuan ini? Dengan jiwa yang sedar, fungsi kebijaksanaan dan kekuatan akal serta naluri fitrah, pasti akan menyebelahi alternatif kedua.

Di penghujung proses, fetus akan menyempurnakan peringkat terakhir tumbesarannya di dalam rahim ibu sebelum lahir ke dunia. Kini, ia telah membesar 100 juta kali ganda dan 6 ribu juta kali lebih berat berbanding bentuknya yang asal.

Sejauh ini, kita baru sekadar membincangkan langkah pertama untuk menuju ke alam hidupan. Apakah yang lebih penting dan agung bagi seorang individu manusia selain dari mencari maksud dan tujuan penciptaan yang menakjubkan seumpama ini?

Fungsi rasional akan menafikan kenyataan yang mendakwa bahawa seluruh struktur dan fungsi yang kompleks ini terjadi atas kehendak mereka sendiri. Tidak ada sesiapa yang berkuasa mencipta diri sendiri sama ada manusia, mahupun objek material. Hakikat yang sebenar ialah Allah SWT telah mencipta seluruh peristiwa dan kejadian, detik dan seluruh fasa yang telah dibincangkan sejauh ini.

Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ جَعَلَكُمْ أَزْوَاجًا ۚ وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنثَىٰ وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِ ۚ وَمَا يُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرٍ وَلَا يُنقَصُ مِنْ عُمُرِهِ إِلَّا فِي كِتَابٍ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Maksudnya: Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.

                                                                                                                   (Surah al Fathir: 11)

Manusia yang dahulunya merupakan setitis air mani telah melalui proses perubahan untuk menjadi individu manusia yang sarat dengan berjuta-juta system dan mekanisme yang harmoni dan seimbang. Walaupun ia terjadi di sebalik pengetahuan dan kesedaran kita, namun ia tidak menghalang sebuah sistem yang kompleks dan rumit untuk terus wujud. Setiap satu daripada seluruh sistem dan komponen ini telah direka, dicipta dan ditadbir oleh Pemilik Tunggal, Pencipta dan Tuhan bagi sekalian umat manusia, iaitu Maha Suci Allah SWT agar mereka benar-benar memahami bahawa pada hakikatnya, mereka telah diciptakan. Manusia adalah makhluk ciptaan-Nya dan mereka dengan itu, tidak sesekali dibiarkan tanpa tujuan.

Tiga Bahagian Gelap

Sejurus selepas persenyawaan, bayi akan melalui fasa perkembangan di dalam tiga bahagian yang berbeza. Bahagian ini adalah:

  1. Tiub fallopio: Ini adalah bahagian di mana telur dan sperma bersenyawa dan di mana ovarium bersambung ke uterus.
  2. Dinding rahim atau uterus: Kawasan di mana zigot berpaut untuk mendapatkan nutrien yang diperlukan dalam perkembangannya.
  • Pundi amnion: Bahagian di mana embrio melalui perkembangannya di dalam kantung yang penuh dengan cecair perlindungan.

Fiqh dan Faedah Hadith Berkaitan Janin

Berdasarkan hadith Abdullah Ibn Mas’ud yang telah disebut, dapat dikeluarkan beberapa fiqh dan faedah hadith daripadanya. Antaranya:

  • Dalam Syarah al-Arba’in al-Nawawiyah oleh Syeikh Abdul Wahab Rashid Soleh Abu Sofiah, (hal. 61-62) menyebut: Imam Ahmad membina mazhabnya atas hadith ini, iaitu jika janin gugur selepas empat bulan, hendaklah disolat jenazah kerana sudah ditiup roh. Ini juga dihikayatkan daripada Sa’id bin Musayyib dan salah satu pendapat dalam mazhab al-Syafie dan Ishak.

  • Al-Lalakaie meriwayatkan dengan isnadnya daripada Ibn Abbas RA, katanya: Apabila air mani jatuh (masuk) ke dalam rahim, ia berada di situ selama empat bulan 10 hari. Kemudian roh ditiupkan ke dalamnya. Kemudian ia berada di situ selama 40 malam. Kemudian satu malaikat diutuskan kepadanya, lalu dia memukulnya di lekuk pada belakang leher dan menulis sama ada ia celaka atau bahagia.

  • Mengikut riwayat Ibn ‘Abbas dan Sa’id bin Musayyib, roh ditiup dalam tempoh sepuluh hari selepas empat bulan. Atas dasar inilah, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah empat bulan sepuluh hari. Hal ini disokong oleh Dr. Kholis Jalbi.

  • Ulama’ feqah berpendapat tempoh minima penciptaan janin menjadi jelas ialah 81 hari kerana janin tidak membentuk menjadi seketul daging melainkan dalam tempoh 40 hari yang ketiga. Sebelum menjadi seketul daging, janin tidak terbentuk.

  • Al-Sya’bi berkata: Apabila janin berubah pada tahap pembentukan yang keempat (selepas melalui peringkat nuthfah, ‘alaqah dan mudhghah) serta pembentukannya sempurna, maka iddah berakhir dan ummu al-walad menjadi merdeka. Ini apabila janin itu berusia empat bulan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”