Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk kita menyantuni golongan OKU?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menyantuni OKU, Islam memberi beberapa petunjuk supaya golongan ini diberikan perhatian dalam urusan kehidupan ini. Bahkan Nabi SAW pernah ditegur oleh Allah SWT ketika mana datangnya seorang lelaki buta yang bernama Abdullah bin Umm Maktum ingin bertanyakan kepada Nabi SAW, sedangkan baginda sedang berdakwah kepada para orang kenamaan Quraisy. Firman Allah SWT:

عَبَسَ وَتَوَلَّىٰ ‎﴿١﴾‏ أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ ‎﴿٢﴾‏ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ ‎﴿٣﴾‏ أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكْرَىٰ

Maksudnya: Ia memasamkan muka dan berpaling, Kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu), Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

(Surah ‘Abasa: 1-4)

Imam al-Tabari menyatakan: Perkataan ‘عَبَسَ’ membawa makna, “dia menegangkan mukanya” dan perkataan ‘وَتَوَلَّىٰ’ pula membawa makna “dan dia berpaling”. Disebutkan juga bahawa orang buta yang Allah sebut di dalam ayat ini adalah Ibn Umm Maktum yang menyebabkan Nabi SAW ditegur. Dan kisah ini telah disebutkan oleh khabar-khabar yang warid. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/217)

Ramai dalam kalangan ahli tafsir telah menyebutkan bahawa Rasulullah SAW pada suatu hari sedang menyampaikan penerangan kepada sebahagian pembesar-pembesar Quraisy dan sesungguhnya baginda inginkan sangat bahawa mereka itu menerima Islam.

Ketika mana baginda memberikan penerangan dan berbual dengan pembesar-pembesar Quraisy itu, tiba-tiba datang Ibn Umm Maktum yang merupakan antara sahabat yang awal memeluk Islam yang bertanya kepada Rasulullah SAW dan mendesak baginda. Maka baginda memasamkan mukanya kepada Ibn Umm Maktum dan memalingkan diri daripadanya serta meneruskan melayani yang lain.

Daripada Aisyah R.Anha katanya:

 أُنْزِلَ )عَبَسَ وَتَوَلَّى (فِي ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ الأَعْمَى، أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَعَلَ يَقُولُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْشِدْنِي، وَعِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ مِنْ عُظَمَاءِ المُشْرِكِينَ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْرِضُ عَنْهُ وَيُقْبِلُ عَلَى الآخَرِ، وَيَقُولُ:  أَتَرَى بِمَا أَقُولُ بَأْسًا؟ فَيَقُولُ: لَا، فَفِي هَذَا أُنْزِلَ

Maksudnya: Allah menurunkan( عَبَسَ وَتَوَلَّى ) pada Ibn Umm Maktum. Katanya lagi, dia mendatangi Rasulullah SAW, maka dia berkata: “Tunjukilah aku”. Sedangkan dan di sisi Rasulullah SAW ada beberapa orang pembesar-pembesar musyrikin. Maka Rasulullah SAW berpaling daripadanya, dan menghadap kepada yang lain. Maka Ibn Umm Maktum berkata : “Ppakah engkau memandang ucapanku ada yang bermasalah?”, maka Nabi SAW menjawab : “Tidak”. Disebabkan hal inilah ianya diturunkan.

Riwayat al-Tirmidzi (3331), dan Ibn Hibban (535). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (535) menyatakan hadith ini sahih berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Imam Muslim

Imam Ibn Kathir menukilkan kisah dan tafsiran daripada Ibn Abbas R.Anhuma di dalam tafsirnya: Ketika Rasulullah SAW bercakap-cakap dengan Utbah bin Rabiah, Abu Jahal bin Hisyam dan Abbas bin Abdul Muttalib. Baginda bersoal-jawab dengan mereka sebanyak-banyaknya. Mengharapkan sangat mereka beriman. Maka datang kepadanya seorang lelaki buta. Dikatakan, dia adalah Abdullah bin Ummi Maktum. Dia berjalan ke arah Nabi, sedangkan baginda sedang berbual-bual dengan tetamunya, maka Abdullah meminta Nabi membacakan ayat al-Quran. Dia berkata: “Wahai Rasulullah ajarkanlah kepadaku apa yang Allah telah ajarkan kepadamu.”

Maka Rasulullah SAW berpaling daripadanya dengan keadaan masam muka baginda, tidak suka kepada perkataannya dan baginda menghadapkan dirinya kepada yang lain. Maka ketika Rasulullah sudah selesai dan baginda kembali kepada keluarganya, Allah memegang sebahagian daripada penglihatan baginda dan kepala baginda berdenyut-denyut, kemudian Allah menurunkan:

  عَبَسَ وَتَوَلَّى * أَنْ جَاءَهُ الأعْمَى * وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى * أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى

Selepas turunnya ayat ini, Rasulullah SAW memuliakan Abdullah bin Umm Maktum serta berkata-kata kepadanya. Rasulullah SAW bersabda: “Apa keperluan engkau? Adakah engkau mahukan sesuatu?” Apabila dia pergi daripada sisi baginda, baginda berkata kepadanya: “Adakah bagi engkau sesuatu hajat? Kerana disebabkan itulah Allah menurunkan:

أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَى * فَأَنْتَ لَهُ تَصَدَّى * وَمَا عَلَيْكَ أَلا يَزَّكَّى

(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/343)

Berdasarkan kisah yang dinukilkan ini yang berlaku pada Rasulullah SAW dengan Abdullah bin Umm Maktum yang buta, jelaslah bahawa Allah SWT memerintahkan kita supaya menyantuni semua orang terutamanya mereka yang kurang Upaya berbanding yang lain.

Maka, kami di sini ingin memberikan beberapa cadangan dan panduan untuk menyantuni golongan OKU ini:

  • Memberikan kemudahan kepada mereka di setiap tempat awam seperti di Masjid, pusat membeli belah dan seumpamanya dan menjadikan tempat-tempat tersebut sebagai Mesra OKU.
  • Menambah baik infrastruktur untuk OKU supaya golongan itu dapat menikmati kemudahan sama seperti orang biasa.
  • Tidak mengambil hak dan menyalahgunakan kemudahan yang disedikan oleh mereka seperti parkir, tandas, laluan yang memang disedikan oleh pihak yang bertanggungjawab kepada mereka
  • Membantu mereka setiap kali mereka meminta bantuan sekiranya ketidakmampuan tersebut disebabkan oleh kekurangan upaya mereka dan segala jenis bantuan yang mampu dibantu oleh orang biasa.
  • Melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kes yang melibatkan penindasan kepada golongan OKU.
  • Pengecualian bayaran terhadap kemudahan awam seperti parkir berbayar, tandas berbayar dan seumpamanya
  • Memberikan pilihan golongan OKU sama ada ingin dikecualikan daripada bayaran cukai ataupun tetap membayarnya bagi yang berkemampuan.

Penutup

Kita perlulah memupuk rasa syukur di dalam jiwa kita di atas segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Firman Allah SWT:

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيد

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. 

(Surah Ibrahim: 7)

Rasa syukur yang ada itu akan menjadikan kita lebih tawadhu’ dan tidak bermegah diri dengan apa yang kita ada. Boleh jadi nikmat yang sedia ada itu akan ditarik kembali oleh Allah SWT, maka seharusnya apa yang ada pada kita sekarang ini wajiblah disyukuri kerana janji Allah SWT bagi orang yang bersyukur itu pasti akan ditambah lagi akan nikmat tersebut.

OKU adalah sebahagian dari masyarakat kita. Sebagaimana mereka merupakan ujian Allah kepada kedua orangtua dan keluarga mereka, mereka juga adalah ujian kepada kita. Dengan segala kekurangan yang mereka miliki serta kelebihan yang ada pada kita, bagaimanakah kita berinteraksi dengan mereka? Apakah kita menggunakan kelebihan-kelebihan kita untuk memudahkan mereka atau apakah kelebihan-kelebihan kita itu mengaburkan mata hati kita terhadap keperluan-keperluan mereka lantas menafikan hak-hak mereka terhadap kita? Bukankah nikmat-nikmat yang kita miliki ini juga merupakan ujian Allah SWT buat kita?

Kami bercita-cita semoga negara Malaysia menjadi sebuah negara yang mesra dengan OKU dan menyantuninya sebagai sebahagian daripada masyarakat dan rakyat Malaysia yang diberi hak dan keistimewaan yang tersendiri. Semoga perasaannya sentiasa dijaga dan dipelihara agar tidak mereka merasakan berlakunya double standard atau dua darjat.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW betapa pertolongan Allah SWT diberi kepada seorang yang menolong saudaranya. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang memudahkan seseorang dalam kesusahan, Allah pasti akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa membantu seseorang hamba selagi hamba tersebut membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Al-Qadhi ‘Iyyadh menjelaskan: “Hadis ini mengandungi kelebihan menolong seorang Muslim akan Muslim yang lain pada setiap yang mendatangkan kebaikan, dan berlaku ma`ruf kepadanya, dan menutup keaibannya.” (Lihat Ikmal al-Mu`lim, 8/24)

Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadis ini, terdapat kelebihan membantu orang Islam dan mengeluarkan mereka daripada kesempitan kepada kelapangan dan menutup ketergelincirannya dengan menggunakan hartanya, jawatannya, dan pertolongannya. Zahir hadis juga menunjukkan, ini termasuklah menghilangkan kesusahan itu dengan isyarat, pandangan dan petunjuknya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/175)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa orang Islam itu bukan setakat bersaudara, tetapi mengukuhkan dan saling membantu antara satu dengan lain. Bantuan itu pula tidak terhad kepada doa semata-mata, tetapi dengan menggunakan sumber nikmat yang Allah kurniakan sebagai ujian kesyukuran bagi kita. Bagi mereka yang dikurniakan Allah harta yang banyak, maka dia menolong saudaranya yang dizalimi dengan hartanya. Manakala mereka yang memiliki jawatan dan kedudukan di mata manusia, dia menggunakan status tersebut untuk menolong saudaranya. Bagi mereka yang mempunyai kebijaksanaan pula, mereka boleh merancang aktiviti kemanusiaan, pendidikan dan pemberdayaan golongan yang tertindas. Begitulah Allah SWT mengaturkan rezeki dan kemampuan manusia supaya mereka bersyukur dengan nikmat kurniaan-Nya.

Semoga Allah SWT menggolongkan kita ke dalam golongan hamba-Nya yang sentiasa berbuat kebaikan serta dapat memberikan manfaat buat manusia yang lain.

Kami akhiri dengan:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”