Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan adab-adab sebelum melakukan ibadah korban?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami bahagikan perbincangan ini kepada tiga bahagian, iaitu sebelum, semasa dan selepas melakukan ibadah korban.

Apabila masuk 10 Zulhijjah, seseorang yang berazam melakukan sembelihan korban, sunat baginya untuk tidak menanggalkan bulunya seperti rambut, janggut, misai dan lain-lain, serta kukunya sehingga selesai penyembelihan. Oleh itu, dia hendaklah menjaga kedua-duanya dengan baik. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِى الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّىَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Zulhijjah, dan ada antara kamu yang ingin melakukan ibadah korban, maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya.”

Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2791), al-Tirmizi (1523), al-Nasaie (4361), Ibn Majah (3150) dan Ahmad (26654)

Selain itu, disunatkan kepada orang yang berkorban untuk menyembelih haiwan korbannya sendiri. Jika tidak dapat berbuat demikian kerana uzur dan sebagainya, maka hendaklah dia menyaksikan penyembelihan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah R.Anha:

يَا فَاطِمَةُ قُوْمِي فَاشْهَديِ أُضْحِيَّتَكِ

Maksudnya: “Wahai Fatimah, berdirilah dan saksikanlah penyembelihan haiwan korbanmu..”.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (3/247); al-Mu’jam al-Kabir (18/200) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5/239). Ibn al-Mulaqqin menghukumkan hadith ini sebagai dhaif.

Adab Semasa Menyembelih Haiwan Korban

Sifat belas kasihan terhadap haiwan merupakan fitrah manusia. Oleh itu, kita digalakkan mengikut adab-adab dan sunat-sunat ketika penyembelihan. Ia bertujuan memudahkan dan mengurangkan kesakitan haiwan sembelihan. Antara adab-adab dalam penyembelihan haiwan ialah:

Pertama:  Berlaku ihsan terhadap haiwan yang akan disembelih

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan agar berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Jika kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kalian menajamkan pisaunya dan mengistirahatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Maksud “فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ” (mengistirahatkan sembelihannya) sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi adalah, antaranya:

  • Menajamkan pisau sehingga haiwan cepat untuk disembelih.
  • Tidak boleh menyembelih haiwan, kemudian ditonton oleh haiwan yang lain.
  • Tidak boleh melewat-lewatkan haiwan yang akan disembelih di tempat penyembelihan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/98)

Berbuat ihsan juga adalah dengan cara tidak menampakkan pisau atau menajamkan pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih. Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: “Rasulullah SAW melihat seseorang yang meletakkan kakinya di atas pipi (sisi) kambing dalam keadaan dia mengasah pisaunya, sedangkan kambing itu memandang kepadanya. Lantas Nabi SAW bersabda:

أَتُرِيْدُ أَنْ تُمِيْتَهَا مَوْتَاتٍ ، هَلاَّ حَدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا

Maksudnya: “Apakah kamu hendak mematikannya dengan beberapa kali kematian? Hendaklah pisaumu sudah diasah sebelum engkau membaringkannya.”

Riwayat al-Hakim (4/257), al-Baihaqi (9/280) dan ‘Abd al-Razzaq (8608). Al-Zahabi di dalam al-Talkhis menyebut bahawa hadith ini sesuai dengan syarat al-Bukhari.

Kedua: Membaca Basmalah dan Bertakbir

Ketika hendak menyembelih, disyariatkan membaca basmalah (Bismillah) dan bertakbir (Allahu Akbar). Ini sepertimana disebut dalam hadith Anas bin Malik, katanya:

..يُسَمِّى وَيُكَبِّرُ ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ

Maksudnya: “…Baginda SAW membaca basmalah dan bertakbir, lalu Baginda menyembelih kedua-dua haiwan korban itu dengan tangannya.”

Riwayat al-Bukhari (5558)

 

Adab Selepas Menyembelih Haiwan Korban

Antara adab-adab selepas selesai proses penyembelihan haiwan korban pula ialah:

Pertama: Tidak boleh menjual suatu apa pun daripada bahagian haiwan korban sama ada dagingnya, kulit, lemak dan sebagainya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ بَاعَ جِلْدَ أُضْحِيَّتِهِ فَلاَ أُضْحِيَّةَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tidak ada korban baginya.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3468) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19708)

Kedua: Tidak boleh memberi bahagian daripada haiwan korban kepada penyembelih  atau pelapah sebagai upah.

Terdapat hadith sahih yang melarang daripada memberi upah kepada penyembelih daripada bahagian korban itu. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada
‘Ali bin Abu Talib R.A, beliau menceritakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ علَى بُدْنِهِ وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkannya untuk menguruskan unta-unta sembelihannya,dan membahagikan semuanya termasuk daging dan kulitnya serta apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Begitu juga, tidak boleh memberikan sesuatu apa pun (daripada sembelihan korban itu) kepada penyembelihnya (sebagai upah).”

Riwayat al-Bukhari (1717) dan Muslim (1317)

Manakala di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A yang menyebut: “Kami memberikan upah kepada penyembelih daripada (harta) kami sendiri.”

Dalam menjelaskan hadith di atas, Imam al-Nawawi berkata: “Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian haiwan korban kepada tukang sembelih dan inilah mazhab kami. Ini juga merupakan pendapat ‘Atho’, al-Nakha’i, Malik, Ahmad, Ishaq. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/65) Pendapat yang sama juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab.

Justeru, jelas bahawa upah hendaklah diberikan menggunakan harta daripada pemilik korban sendiri dan bukannya daripada bahagian korban. Sekiranya tukang sembelih itu sendiri termasuk daripada kalangan fakir miskin maka pemberian daging korban kepadanya dibolehkan atas dasar dirinya sebagai seorang fakir miskin di samping upah menyembelih yang diberikan bukan daripada bahagian korban.

Ketiga: Berkenaan Pembahagian Daging Korban.

Berkenaan isu ini, jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan semua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’i, 2/485)

Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya:

  • Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.

  • Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.

  • Namun, cara yang lebih afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’i, 2/485)

Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syatiri di dalam kitabnya turut menyatakan bahawa yang afdhalnya dalam pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit sahaja untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Lihat Syarh al-Yaqut al-Nafis, hlm. 826)

Tuntasnya, kita hendaklah menjaga adab-adab dalam melakukan ibadah korban supaya ibadah ini menjadi lebih sempurna dan baik seterusnya diterima dan diberkati oleh Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”