Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh berikan syor dan saranan dalam menuju keluarga bahagia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Melihat kepada kes-kes yang berlaku dan kemelut kehidupan yang dihadapi, kami kemukakan di sini beberapa syor dan saranan dalam menggapai kebahagiaan dalam rumah tangga tercapai matlamat Baiti Jannati. Di antaranya:

Menghadiri Majlis Ilmu

Menghadiri majlis ilmu walaupun sekali seminggu dengan membawa anak dan isteri. Dengan menghadiri majlis ilmu, ia akan membentuk keperibadian serta menambahkan nikmat dalam kehidupan. Ia juga dapat menjadi medan muhasabah diri secara tidak langsung dan menambahkan ilmu makrifat dalam kehidupan. Justeru, berusahalah untuk melazimi majlis-majlis ilmu secara mingguan atau berkala.

Tidak dapat dinafikan lagi, ilmu dapat meninggikan dan mengangkat darjat seseorang. Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi,17/299).

Tambahan lagi, ilmu juga adalah jambatan untuk seseorang itu ke Syurga. Hal ini kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk memastikan seseorang itu beramal dengan benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Oleh yang demikian, terdapat satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.

Riwayat Muslim (2699)

Hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar‘i dengan syarat diniatkan kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka. Selain itu, ada pendapat menyatakan, sakinah dalam hadith di atas adalah rahmat. Inilah pendapat yang dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh. Akan tetapi ia adalah pendapat yang lemah kerana “rahmat” telah digandingkan dengan sakinah. Selain itu, ada juga yang berpendapat, sakinah adalah tama’ninah dan kemuliaan. Ini adalah lebih baik dan ia juga mempunyai dalil atau petunjuk akan kelebihan berkumpul untuk membaca al-Quran di dalam masjid. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21).

Melakukan Rehlah

Rehlah dapat dilakukan dengan melancong ke tempat-tempat yang boleh mendatangkan ketenangan. Sebagai contoh, merancang untuk melakukan rehlah setahun sekali atau beberapa kali. Disyorkan untuk melakukan rehlah ibadah seperti melakukan umrah ke Makkah, kerana dalam masa yang sama ia menjadi satu ibadat, dan begitu juga berkunjung ke Madinah dan juga ke tempat-tempat lain. Lebih-lebih lagi, di Makkah dan Madinah juga terdapatnya Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di mana kita turut digesa untuk mengunjunginya. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Tidaklah dipersiapkan tunggangan (yakni janganlah kamu bermusafir dengan niat ibadah padanya), kecuali menuju kepada tiga buah masjid iaitu al-Masjid aI-Haram, Masjid Rasulullah SAW, dan Masjid al-Aqsa.

Riwayat al-Bukhari (1189) dan Muslim (1397) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Tambahan lagi, dengan melihat kesan dan tapak sejarah Islam sedikit sebanyak dapat menginsafkan kehidupan seseorang melalui iktibar atau pengajaran yang dapat diambil dan seterusnya menjadikannya ke arah lebih baik.

Solat Berjemaah di Masjid

Pergilah ke masjid untuk menghadiri solat berjemaah sekalipun sekali seminggu dengan membawa anak-anak dan isteri. Ketahuilah bahawa nikmat yang terindah dalam kehidupan berkeluarga adalah dapat hadir ke masjid bersama keluarga. Kemudian, semasa di masjid, berilah infaq walaupun RM1 atau RM2 supaya dengan itu, ia dapat membina hablum minallah dan hablum minannas.

Apatah lagi pergi ke masjid juga dianggap sebagai sedekah. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ، وَالْكَلِمَةُ الطَّـيِّـبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ، وَتُـمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ.

Maksudnya: “Setiap sendi tubuh manusia padanya terdapat sedekah, setiap hari  apabila matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang berbalah) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan  lalu engkau bantu dia untuk naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau  berjalan menuju  ke  masjid  untuk  solat  adalah sedekah  dan menghilangkan gangguan di jalan adalah sedekah.”

Riwayat al-Bukhari (2827) dan Muslim (1007)

Sedekah dalam hadith ini tidak bermaksud hanya apa yang disebut dalam hadith ini sahaja. Sebahagian ulama berpendapat sedekah di sini dengan maksud sedekah sunat atau galakan, bukannya wajib. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/95).

Menziarahi Golongan yang Kurang Bernasib Baik

Dengan menziarahi golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim atau ibu tunggal, ia dapat mendatangkan dorongan untuk muhasabah diri. Begitu juga, dengan menziarahi keluarga yang sakit juga dapat mengingatkan kita akan kelebihan yang Allah telah kurniakan kepada kita. Maka dengan itu, ia akan mendorong kita untuk menggunakan sebaik mungkin nikmat-nikmat yang telah diberikan.

Lebih-lebih lagi, di antara hak sesama Muslim adalah menziarahinya ketika sakit. Hal ini sebagaimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَقُّ المُسْلِمِ عَلَى المُسْلِمِ خَمْسٌ: رَدُّ السَّلاَمِ، وَعِيَادَةُ المَرِيضِ، وَاتِّبَاعُ الجَنَائِزِ، وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ، وَتَشْمِيتُ العَاطِسِ

Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).

Riwayat al-Bukhari (1240) dan Muslim (5778)

Hadith ini menunjukkan kewajipan. Dapat difahami juga daripadanya bahawa ia adalah fardhu kifayah seperti memberi makan orang yang lapar dan membebaskan tawanan. Imam al-Nawawi menukilkan, para ulama menyatakan ijma‘ bahawa ia adalah tidak wajib. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari (10/117) menyatakan, maksudnya adalah terhadap (setiap) jiwa.

Begitu juga di sana terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan kelebihan menziarahi orang sakit. Di antaranya, rriwayat daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِى خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia berada dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang.”

Riwayat Muslim (6717)

Lafaz “خُرْفَةِ الْجَنَّةِ” bermaksud menuainya. Ia diibaratkan seperti orang yang pulang dan mendapat pahala seperti orang yang menuai buah.[1] Ini juga adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi, dan seterusnya beliau menyatakan, para ulama telah bersepakat akan kelebihan dan fadhilat menziarahi orang sakit. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/124).

Tambahan juga, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan bahawa menziarahi orang sakit termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Namun ini tidak bermakna pesakit dalam kalangan non-Muslim tidak perlu diziarahi. Aktiviti ziarah-menziarahi tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama merupakan amalan yang berteraskan kepada asas kemanusiaan. Malah Islam menganggapnya sebagai ibadah dan amal soleh yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT.

Meskipun asas akidah antara orang Islam dan orang bukan Islam adalah berbeza, namun hak dan tanggungjawab antara satu sama lain tidak seharusnya diabaikan khususnya apabila melibatkan hubungan kejiranan, persahabatan dan sebagainya. Oleh itu, dapat difahami bahawa seorang Muslim dibolehkan untuk menziarahi orang bukan Islam yang sakit. Tambahan pula, moga-moga dengan asbab ziarah itu, hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Baginda SAW dan kanak-kanak Yahudi yang memeluk Islam pada akhir hayatnya. (Lihat Fatawa Mu‘asirah, 2/545)

Melazimi Solat Berjemaah

Lazimilah solat berjemaah kerana ia dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Berdasarkan pengamatan kami juga, mereka yang memelihara solat khususnya di awal waktu, berjemaah dan banyak solat di masjid atau surau di samping memerintah kaum keluarganya untuk solat adalah antara sebab rezeki dimurahkan dan dimudahkan serta mendapat pertolongan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Taha: 132)

Al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia merupakan perintah kepada Nabi Muhammad SAW dan juga kepada kepada semua umatnya supaya sabar dalam mendirikan solat dan memerintahkan ahli keluarga untuk melaksanakannya. Apabila turunnya ayat ini, Rasulullah SAW akan pergi ke rumah Ali dan Fatimah R.Anhuma pada setiap waktu Subuh untuk mengejutkan mereka bagi mendirikan solat. (Lihat Al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 14/164).

Ayat selepas perintah kepada keluarga untuk solat dan bersabar diakhiri dengan kenyataan bahawa Allah SWT yang memberi rezeki kepada para  hamba-Nya dan Dia tidak meminta rezeki kepada mereka, jelas menunjukkan bahawa betapa dekatnya perkaitan solat dengan rezeki.

Selain itu, ganjaran pahala yang cukup besar diberikan kepada mereka yang mendirikan solat secara berjemaah. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

Di dalam riwayat lain menyatakan:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kamu secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang mendapat 25 darjat dan ada yang mendapat 27 darjat berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/183).

Alangkah baiknya, jika kita dapat mengajak anak isteri dan kaum keluarga pergi ke masjid untuk solat berjemaah sekurang-kurangnya sekali seminggu agar mereka dekat dengan rumah Allah SWT.

Membaca al-Quran Secara Berjemaah

Bacalah al-Quran secara berjemaah setiap hari walaupun satu ayat. Perkara yang lebih baik adalah dengan kita memahami maksud dan maknanya agar kita dapat menjadikannya sebagai pedoman dalam kehidupan. Dengan membaca al-Quran secara berjemaah atau beramai-ramai bersama ahli keluarga walau seminggu sekali, maka ia dapat mendekatkan kita dengan kalamullah. Selain itu, kita juga boleh memilih sekurang-kurang satu ayat untuk ditadabbur dan dihayati maknanya bersama ahli keluarga.

Secara ringkasnya, tadabbur boleh difahami sebagai memerhati dan merenung lafaz nas supaya dapat difahami sehingga ke penghujung maksudnya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/273; al-Ta‘rifat, hlm. 76). Lafaz tadabbur adalah dari wazan “التَّفعّل” yang menunjukkan perbuatan yang memerlukan kesungguhan dan proses yang berulang-ulang. Tadabbur merupakan usaha untuk mencari makna di sebalik zahir suatu perkara. Kalimah tadabbur juga digunakan pada setiap usaha manusia untuk mendalami hakikat satu perkara. (Lihat Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir oleh Dr. Musa‘id al-Tayyar, hlm. 185)

Imam al-Nawawi menyebutkan, dengan tadabbur dan khusyuk ketika membaca al-Quran akan melapangkan dada dan menerangkan hati. Begitu juga, ia seperti yang disebut oleh Ibrahim al-Khawwas RA bahawa ubat bagi hati ada lima di antaranya adalah membaca al-Quran dengan tadabbur. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalati al-Quran, 1/82-84).

Membaca Hadith Nabi SAW

Membaca hadith-hadith Nabi SAW. Di antara kitab himpunan hadith yang terkenal dalam kalangan masyarakat kita adalah seperti buku Hadith 40 yang ditulis oleh Imam al-Nawawi berserta huraiannya. Kami nyatakan di sini, beberapa keistimewaan hadith 40 atau Matan Arba‘in karya Imam al-Nawawi ini. Di antaranya:

  • Ia mencakupi semua hadith berkaitan kehidupan manusia.
  • Hadith-hadithnya menjadi asas kepada kaedah agama yang penting.
  • Ramai para ulama yang mensyarahkan hadith ini.
  • Kitab ini menjadi kitab yang amat masyhur dalam kalangan ulama dan orang awam di segenap pelusuk dunia.
  • Kitab ini dipelajari oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam menekuni kitab ini, kami mendapati bahawa ia amat baik serta boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua mahupun yang muda. Ia juga telah bertapak di Malaysia sejak ratusan tahun yang lampau. Kitab Hadith 40 ini telah diajar di pondok-pondok, masjid-masjid, surau, pejabat kerajaan, bahkan sampai ke peringkat universiti. Selain itu, ia bukan hanya semata-mata di Malaysia ini, bahkan di dunia Arab termasuklah di Masjidil Haram, Masjid al-Nabawi, Jami‘ al-Azhar, malah di universiti-universiti terkemuka di dunia. Inilah unik dan istimewanya Hadith 40 karya Imam al-Nawawi dan kami yakin pengarangnya telah mengikhlaskan diri dalam menghasilkan karya tersebut.

Sekalipun begitu, kami juga tidak menafikan di sana terdapatnya kitab himpunan hadith atau karya hadith yang lain, yang juga tidak kurang hebatnya. Namun, kami sebutkan sebahagian keistimewaan kitab hadith 40 karya Imam al-Nawawi di sini disebabkan kemasyhurannya dalam kalangan masyarakat kita, tidak kira awam mahupun para asatizah.

Dengan membaca hadith-hadith Nabi SAW, secara tidak langsung kita akan dapat mengetahui sunnah Baginda SAW. Sunnah itu adalah sangat luas merangkumi setiap sudut dan nilai yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sama ada daripada segi perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan Baginda SAW sama ada sebelum perutusan baginda SAW menjadi rasul sebagaimana yang telah ditakrifkan oleh Ahli Hadith. (Lihat Qawaid al-Tahdith, hlm. 61).

Seterusnya, mudah-mudahan ia akan menatijahkan keberkatan dalam kehidupan berumah tangga dan merealisasikan Baiti Jannati.

Melakukan Solat Malam (Qiamullail)

Dari segi bahasa, qiam (قِيَام) bermaksud tidak duduk atau berdiri. Manakala al-lail (اللَّيْل) (malam) pula maksudnya apabila tenggelam matahari sehingga keluar fajar sadiq. Dalam istilah fuqaha’, ia memberi maksud menunaikan solat dan amal ibadat lain walaupun sedikit pada sebahagian waktu malam.

Dalam kitab Maraqi al-Falah (hlm. 158) menyebut, makna qiam (قِيَام) adalah seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan ketaatan pada sebahagian besar malam.

Lazimi solat malam kerana dalam nas hadith ada disebutkan bahawa Allah SWT akan merahmati suami atau isteri yang mendirikannya. Ia adalah kunci penyelesaian masalah dalam kehidupan. Binalah keluarga dengan qiamullail pada setiap malam dan solat berjemaah. Nabi SAW bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً قَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّى ثُمَّ أَيْقَظَ امْرَأَتَهُ فَصَلَّتْ فَإِنْ أَبَتْ نَضَحَ فِي وَجْهِهَا الْمَاءَ وَرَحِمَ اللَّهُ امْرَأَةً قَامَتْ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّتْ ثُمَّ أَيْقَظَتْ زَوْجَهَا فَصَلَّى فَإِنْ أَبَى نَضَحَتْ فِي وَجْهِهِ الْمَاءَ

Maksudnya: “Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya juga solat. Jika isterinya enggan maka si suaminya memercik wajah isteri dengan air. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan maka si isterinya memercik wajah suami dengan air.”

Riwayat al-Nasa’i (1610)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, lelaki itu bangun pada waktu malam bagi mendirikan solat tahajjud meskipun dia masih ada kewajipan solat yang perlu digantikan (qadha’), maka solat tahajjud itu adalah lebih utama untuk ditunaikan. Begitu juga bagi wanita (si isteri) untuk melakukan solat, iaitu apa yang Allah tetapkan untuknya, walaupun hanya dua rakaat. Namun, jika dia enggan disebabkan nyenyak tidur dan malas, maka renjislah air pada mukanya. Dalam erti kata lain, bersikap lemah lembut dengannya (ketika mengejut pasangan), di samping berusaha dalam melaksanakan ketaatan kepada Tuhannya iaitu qiamullail semampu mungkin.

Selain itu, hadith ini juga mengandungi penjelasan tentang pergaulan yang baik antara suami isteri, kesempurnaan kelembutan dan kasih sayang, dan persefahaman yang baik sesama mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/928).

Saling Memberi Hadiah

Saling memberi hadiah antara pasangan dan kaum keluarga secara tidak langsung akan melahirkan lagi perasaan kasih dan cinta sesama mereka. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

تَهَادَوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”

Riwayat al-Baihaqi (6/169); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (7240); al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini sanadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Menurut al-Munawi, terdapat riwayat daripada al-Baihaqi bahawa saling memberi hadiah akan menambahkan lagi kecintaan di dalam hati. Hal ini kerana pemberian hadiah adalah sebahagian daripada akhlak Islam yang ditunjukkan oleh para nabi dan dianjurkan oleh mereka yang dekat dengan Allah SWT — iaitu para auliya’. Ia melunakkan hati  dan memadamkan perasaan dendam di dalam dada. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/271).

Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”

Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan.

Syeikh Mustafa al-Nadwi menyebutkan, Rasulullah SAW dengan sifat tawaduknya menerima hadiah walaupun harganya yang murah dan pemberinya orang fakir dari kalangan orang Islam. Beliau sekali-kali tidak takabur dan memandang rendah kepada orang ramai. Ini merupakan sifat kesempurnaan akhlak Rasulullah SAW. (Lihat Jawab al-Sa’il ‘an Syarh al-Syama’il, hlm. 364)

Sentiasa Berbincang dan Melakukan Syura

Jika berlaku salah faham dan juga ingin membuat keputusan yang besar hendaklah berbincang atau bermesyuarat di antara suami isteri. Lazimilah musyawarah[2] dengan cara yang baik. Firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali ‘Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi menyatakan, berbincang itu mengandungi banyak faedah antaranya menampakkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/987).

Abu Hurairah R.A juga pernah berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak melakukan perbincangan selain Nabi SAW.” (Lihat Fath al-Bari, 5/334)

Justeru, luangkan masa berkualiti bersama keluarga untuk bermesyuarat dan berbincang dalam mencari penyelesaian. Jangan besarkan perkara yang kecil, sebaliknya perkecilkan masalah yang besar. Hal ini supaya masalah dapat diselesaikan dengan baik.

Selain itu, elakkan daripada mengadu permasalahan kepada kedua ibu bapa atau mentua. Akan tetapi cubalah untuk selesaikan dengan cara yang baik. Ingatlah masing-masing mempunyai banyak kelemahan. Apa yang penting adalah saling redha dan lihatlah kelebihan yang ada pada pasangan masing-masing, di samping turut melihat kelemahan yang ada pada pasangan masing-masing dari sudut yang positif.

Memperbaiki Cara Berkomunikasi

Saling memperbaiki cara berkomunikasi dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Begitu juga saling bertolak-ansur sehingga menjadikan hubungan lebih akrab.  Di samping itu, budayakan amalan saling meminta maaf antara pasangan kerana ia akan mengendurkan ketegangan dan kemarahan.

Membina Hubungan Baik dengan Kaum Keluarga Masing-masing

Binalah hubungan yang baik dengan kaum keluarga daripada kedua-dua belah pihak dengan menyantuni dan menziarahinya.

Menghindari Sikap Cepat Marah

Jangan cepat marah dan melenting. Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Wasiatkan kepadaku.” Maka, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَغْضَبْ، فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: لَا تَغْضَبْ

Maksudnya: “Janganlah marah.” Kemudian beliau berulang kali bertanya. Baginda bersabda: “Janganlah marah.”

Riwayat al-Bukhari (6116)

Mengawal kemarahan merupakan satu sikap yang sangat terpuji. Lebih-lebih lagi ia juga merupakan antara ciri-ciri orang yang beriman dan bertaqwa. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya:Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

(Surah Ali ‘Imran: 134)

Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa antara ciri-ciri orang yang bertaqwa ialah orang yang menyembunyikan (menahan) kemarahannya serta mengawal dirinya agar tidak menyakiti orang lain dalam keadaan dia mampu untuk melakukannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya, maka Allah akan memenuhkan di dalam jiwanya keamanan dan keimanan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/238).

Selain itu, orang yang dapat mengawal kemarahan juga disifatkan oleh Baginda SAW sebagai seorang yang kuat. Hal ini adalah sepertimana riwayat Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ

Maksudnya:Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat mengalahkan orang lain, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.”

Riwayat al-Bukhari (6114)

Begitu juga orang yang dapat mengawal kemarahannya itu dijanjikan ganjaran, di mana dia boleh memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Mu‘az bin Jabal R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنْفِذَهُ، دَعَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ اللَّهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ مَا شَاءَ

Maksudnya:Sesiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melepaskannya. Maka Allah ‘Azza wa Jalla akan memanggilnya di Hari Akhirat di hadapan makhluk-makhluk-Nya sehingga dia diberi pilihan oleh Allah untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya.”

Riwayat Abu Daud (4777) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini sebagai hasan.

Dalam erti kata lain, orang yang menahan kemarahan ini akan diperkenalkan kepada sekalian manusia dan dipuji-puji disebabkan oleh sifatnya yang hebat — yakni berjaya mengawal kemarahan. Oleh itu, dia diberi pilihan untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya. Hal ini juga merupakan kinayah bahawa dia akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan memperoleh kedudukan yang tertinggi. Di samping itu, al-Tibi menyebutkan bahawa orang yang mampu mengawal kemarahannya diberi pujian disebabkan oleh kejayaannya dalam menundukkan hawa nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Oleh yang demikian, Allah SWT memuji mereka menerusi firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 134 dengan menyebutkannya sebagai antara ciri-ciri orang yang bertaqwa. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 13/95)

Mengelakkan daripada Berhutang

Jauhkanlah diri daripada berhutang kerana ia akan merunsingkan jiwa dan menggerhanakan kehidupan. Ini kerana, hutang menjadikan seseorang sedih pada waktu malam dan takut pada waktu siang. Kehidupannya sentiasa dalam kehinaan. Justeru, amat wajar seseorang itu mengelakkan diri daripada berhutang. ‘Uqbah bin ‘Amr R.A pernah memberi wasiat kepada anaknya ketika beliau sedang nazak sebagaimana katanya:

 يَا بَنِيَّ، إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ثَلَاثٍ فَاحْتَفِظُوا بِهَا: لَا تَقْبَلُوا الْحَدِيثَ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلَّا مِنْ ثِقَةٍ، وَلَا تَدَّيَّنُوا وَإِنْ لَبِسْتُمُ الْعَبَاءَ، وَلَا تَكْتُبُوا شِعْرًا تُشْغِلُوا بِهِ قُلُوبَكُمْ عَنِ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Wahai anakku, sesungguhnya aku melarang kamu daripada tiga perkara, maka berjaga-jagalah daripadanya. (Perkara itu adalah) janganlah kamu mengambil hadith daripada Rasulullah SAW kecuali daripada orang yang dapat thiqah, janganlah berhutang sekalipun terpaksa pakai baju bulu, dan janganlah menulis syair yang akan membuatkan hati kamu sibuk daripada al-Quran.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (737); al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (1/145) menyatakan, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Ibn Lahi‘ah dan ada kemungkinan pada sanadnya dha‘if.

Menjauhi Benda-benda yang Haram

Jauhi daripada perkara yang haram terutama sumber rezeki dan makanan agar keberkatan rumah tangga sentiasa diperoleh dan diraih. Inilah yang dilakukan oleh para sahabat hasil didikan Rasulullah SAW dan salafussoleh selepas itu.

Tambahan lagi, memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ: ‏{‏يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ‏}‏ وَقَالَ: ‏{‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏}‏.‏ ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan orang Mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT berfirman (yang bermaksud): ‘Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.’ Allah SWT berfirman lagi (yang bermaksud): ‘Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.’” Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.’ Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia juga diberi makan dengan yang haram. Maka, bagaimana mungkin doanya dikabulkan?

Riwayat Muslim (1015)

Ibn Hajar al-Haitami ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, perkataan (لاَ يَقْبَلُ) bermaksud Allah SWT tidak menerima di sisinya apa-apa amalan atau harta yang bersumberkan kepada yang haram dan tidak bersih. Hal ini termasuk dalam aspek makan, minum serta pemakaian seharian kita. Dalam erti kata lain, Allah SWT tidak menerima apa-apa amalan dan harta kecuali yang datang daripada sumber yang bersih sahaja.  (Lihat al-Fath al-Mubin, 1/286).

Elakkan Buruk Sangka Terhadap Pasangan

Elakkan wasangka dan buruk sangka terhadap pasangan kerana syaitan akan was-waskan kita dalam kehidupan. Jauhilah daripada cita-cita untuk berpisah. Hal ini kerana hal tersebut adalah cita-cita syaitan terhadap setiap pasangan dalam kalangan orang Islam.

Bahkan tidak dapat dinafikan, salah satu punca kelemahan keluarga Islam pada hari ini secara khususnya sehingga timbul salah faham sesama suami isteri dan pergolakkan dalam rumah tangga atau kelemahan umat Islam secara umumnya sehingga terlerainya ikatan ukhuwah dan kesepaduan ummah amat terkait rapat dengan fenomena prejudis dan prasangka buruk sesama sendiri. Sikap berprasangka buruk sewajarnya dijauhi dalam menjamin keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga. Sebaliknya lagi jika budaya berprasangka buruk ini tidak dibendung akan menjadikan manusia saling bercakaran dan bermusuhan kerana terhakisnya rasa percaya antara satu sama lain.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

[1] Lihat https://islamqa.info/ar/answers/71968/عيادةالمريضوبعضادابها. Diakses pada 2 Januari 2024.

[2] Syura merupakan istilah yang secara ringkas membawa erti sebagai amalan bermesyuarat. Ia merupakan satu proses komunikasi yang mengandungi perbincangan, perundingan, percambahan fikiran, pengumpulan dan pertukaran maklumat, pengumpulan fakta dan data serta pengumpulan dan pertukaran pelbagai idea dari setiap sudut. Intipati daripada saripati idea yang terbaik disimpulkan menjadi keputusan. Ia merupakan keputusan majoriti dan bersama untuk mencapai matlamat iaitu kebenaran. Keputusan itu dilaksanakan dalam bentuk tindakan oleh setiap individu – bersama, menyeluruh dan bersepadu. Dalam kehidupan suami isteri, bermesyuarat dan berbincang adalah amat penting dalam memutuskan sesuatu perkara agar ianya lebih baik dan berkesan.