Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah batal solat sekiranya seseorang bersandar ketika solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Ibn Kathir berkata: Ayat ini merupakan arahan untuk meninggalkan bercakap semasa solat kerana ia bertentangan dengan tuntutan berdiam diri dalam solat. Ketika seseorang diperintahkan untuk khusyu’ dalam solat, maksudnya adalah arahan untuk berdiam diri, dan bercakap akan bertentangan dengan tuntutan khusyu’ ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/496)
Dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. (Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie,1/243)
Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: “Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu.” (Lihat al-Iqna’,hlm 184)
Sabda Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain R.Anhu katanya: aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak. Sekiranya dia membongkok tanpa sebab yang dimaafkan (عُذرٌ) hingga tapak tangannya menyentuh lutut, solatnya batal disebabkan tiada rukun berdiri pada satu bahagian solat tersebut. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/129-130)
Berdasarkan kenyataan ini, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang yang bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar dengan kaedah qiyas. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk merupakan ganti apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.
Justeru, kami katakan, kerusi terdapat dua jenis, ada yang ada tempat sandar, dan ada yang tidak ada tempat sandar. Sebaik-baiknya yang tidak ada tempat sandar, kecuali mereka yang uzur juga, yang memerlukan sandaran. Itulah yang sebaiknya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”