Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kaedah untuk mengatasi masalah was-was?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Di antara kaedah dalam mengatasi waswas ialah:
Pertama: Berusaha Mempelajari Ilmu Agama dan Mendalaminya
Penekanan kepada ilmu syariat adalah penting kerana ia adalah tunjang dan merupakan satu ilmu teras yang wajib dikuasai oleh setiap orang Islam. Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syariat.
Islam sangat menitikberatkan isu keyakinan dalam ibadah dan juga syariat. Malah terdapat kaedah menyebutkan:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu)
Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang ataupun tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu (hukum asal). (Lihat Syarah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 45).
Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang penting di dalam fiqh. Bahkan al-Qadhi Husain al-Syafi‘i menyatakan bahawa fiqh terbina daripada empat kaedah utama dan antaranya adalah kaedah ‘keyakinan tidak dihilangkan dengan syak ini’. Kaedah ini mempunyai sandarannya daripada nas-nas syarak. Di antaranya adalah firman Allah SWT:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesungguhnya zan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.”
(Surah Yunus: 36)
Imam al-Tabari dalam tafsirannya ke atas ayat ini menyebutkan, sesungguhnya syak tidak memberi nilai walau sedikit pun ke atas keyakinan. Begitu juga syak sedikit pun tidak dapat menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan. (Lihat al-Jami‘ al-Bayan, 15/89).
Justeru, ilmu agama sangat penting untuk dipelajari dan membantu setiap individu dalam menjauhi dan menghindari perasaan syak, ragu-ragu dan waswas. Malah, ia turut membantu untuk kita sentiasa mengikuti petunjuk daripada al-Quran, Sunnah dan pandangan daripada ulama-ulama yang muktabar.
Kedua: Sentiasa Berdamping dengan Ulama dan Orang-Orang Soleh
Teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.
Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: “Seseorang menurut agama teman karibnya. Maka hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman karibnya”.
Riwayat Abu Daud (4835) dan Tirmizi (2552)
Syeikh Syams al-Haq dalam syarahnya menyebutkan, lelaki iaitu manusia yang pada kebiasaannya berkawan akan mengikut kawannya dari segi perbuatan, perjalanannya, maka perhatikanlah dan selidikilah sesiapa yang kamu ingin berkawan. Sesiapa yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya maka berkawanlah dengannya, sekiranya tidak, maka jauhilahnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 13/123).
Ketiga: Bersabar dan Terus Mencuba
Gangguan waswas merupakan satu ujian menentang syaitan kerana waswas itu sendiri adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit waswas. Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pandangan al-‘Izz bin Abd al-Salam yang menyebutkan:
دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ
Maksudnya: “Ubat bagi penyakit waswas ini adalah dengan beriktikad bahawa ia adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa waswas maka dia akan menghindarinya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150).
Keempat: Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan daripada-Nya
Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ
Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu lalu bertanya: ‘Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?’ Sehingga dia bertanya: ‘Siapakah yang menciptakan Rabb-mu.’ Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (was-was tersebut).”
Riwayat Muslim (362)
Imam al-Nawawi menyatakan, sesungguhnya bisikan (syaitan) itu terjadi untuk menyempurnakan iman dengan sempurna dan dalam haq (kebenaran), dan menafikan segala keraguan dan syak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/154).
Selain itu, amalan zikir juga amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim kerana amalan tersebut dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang dalam diri mereka. Dengan melazimi zikir, ia dapat menjadi benteng dan melindungi kita dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.”
(Surah al-A‘raf: 201)
Ibn Kathir menyatakan, Allah mengkhabarkan bahawa hamba-hamba-Nya yang bertaqwa untuk mentaati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya apabila ditimpa musibah yang berupa hasutan daripada syaitan, mereka mengingati iaitu balasan Allah dan juga pahalanya serta janji-Nya, maka mereka akan segera bertaubat, menyesal dan meminta perlindungan daripada Allah serta kembali kepada-Nya dengan dekat, dan mereka beristiqamah dengannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/483).
Selain itu, perbanyakkan membaca doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar ditetapkan hati kita. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A berkata: Adapun Nabi SAW banyak membaca:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ
Maksudnya: “Wahai Zat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah SWT yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.”
Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du‘a (1261). Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi
Kelima: Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Waswas
Iaitu dengan membiarkan perasaan waswas tersebut. Ini seperti mana yang ditanyakan kepada Imam Ibn Hajar al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit waswas. Maka beliau menjawab:
لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ – فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا
Maksudnya: “Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang diwaswaskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan waswas, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara waswas tersebut maka ia tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini seperti mana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas daripada penyakit waswas ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli waswas tersebut) dan mengikutinya, waswas tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit waswas yang mendengar dari bisikan syaitan.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/149).
Keenam: Sentiasa Optimis dalam Setiap Amalan Harian Kita
Umat Islam diseru untuk fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan sehari-harian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada waswas.
Terdapat riwayat daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”
Riwayat al-Tirmizi (2708)
Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 61).
Kami bacakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ﴿١﴾ مَلِكِ النَّاسِ ﴿٢﴾ إِلَٰهِ النَّاسِ ﴿٣﴾ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.
(Surah al-Nas: 1-6)