Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hak-hak pekerja dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam menjelaskan ayat ini menyatakan, maksudnya bekerjalah, sesungguhnya perbuatan kamu tidak akan terlepas daripada penglihatan Allah dan para hamba-Nya, sama ada ia perbuatan baik atau buruk. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/42)

Hak-hak pekerja termasuk dalam kesyumulan Islam itu sendiri. Islam meraikan kepelbagaian pekerjaan supaya manusia mampu beradaptasi dan saling memberi sumbangan demi meraih kesejahteraan, memenuhi keperluan diri, keluarga dan masyarakat. Terdapat pelbagai kelebihan bekerja, di mana ia mencakupi seluruh pekerjaan sama ada bekerja sendiri seperti bercucuk tanam, berniaga, sebagai nelayan, mahupun pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam seperti guru, tentera, polis dan bekerja di jabatan dan lain-lain lagi. Apa yang penting dan utamanya ialah, apabila kita bekerja, pastikan kerja tersebut adalah halal dan menepati syariat Islam.

Berkenaan dengan hak pekerja yang mesti diberikan oleh majikan, antaranya ialah:

  • Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian dan istilah yang digunakan dalam hadithiaitu sebelum kering peluhnya. Daripada Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata, bahawa Rasullulah SAW bersabda:

أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya: “Berikanlah kepada seorang pekerja upahnya, sebelum kering keringatnya.”

Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (11988) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)

Imam al-Munawi berkata: “Haram Hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)

Menurut Syeikh ‘Atiyyah Salim pula, pembayaran upah kepada pekerja disyariatkan untuk dipercepatkan setelah ia selesai melaksanakan tugasan atau pekerjaannya yang mana dengan upah tersebut ia menyara kehidupannya. Oleh itu jelaslah, adalah suatu kezaliman sekiranya tidak diberikan kepada pekerja apa yang sepatutnya menjadi hak mereka. (Lihat Syarah Bulugh al-Maram, 222/9)

Walaupun begitu, penggajian adalah berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ini kerana, ada juga yang dibayar dalam bentuk sekali gus dan ada juga yang mengikut jam.

Selain itu, terdapat juga hadith yang menyebut ancaman bagi mereka yang tidak membayar upah kepada pekerja yang telah melaksanakan tugasnya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang firman Allah dalam hadith qudsi: “Tiga golongan Aku musuhi mereka di Hari Kiamat dan siapa yang Aku musuhinya nescaya Aku kalahkannya: (Lalu disebut ketiga-tiganya, di mana salah satunya adalah):

ورَجُلﹲاستَأجَرَ أجيراً فاسْتَوفىَ منه ولم يُعْطِهِ أَجْرَه

Maksudnya: “Lelaki yang mengupah seseorang, lalu orang itu melaksanakan tugasnya kemudian dia tidak membayar upahnya.”

Riwayat Bukhari (2227) dan Ahmad (8677)

  • Kemudahan kesihatan juga perlu diambil kira melalui Takaful dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peruntukan yang termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Dalam Seksyen 15 (1) menyebut bahawa: Adalah menjadi kewajipan setiap majikan dan setiap orang yang bekerja-sendiri untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua pekerjanya di tempat kerja.
  • Hak untuk berpersatuan bagi membela dan memperjuangkan hak mereka hendaklah dibenarkan selama mana tidak membawa kepada unsur negatif.
  • Tidak membebankan pekerja di luar kemampuannya sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu melakukan tugas dengan sebaiknya. Dalam sebuah hadithyang diriwayatkan oleh Abu Zar R.A, Rasullulah SAW bersabda:

وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (30) dan Ibn Majah (2991)

Imam Nawawi berkata: “Secara umumnya, ijma’ ulama bahawa tidak harus mentaklifkan seseorang daripada amalan atau pekerjaan yang di luar kemampuannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/190)

  • Penghargaan, pangkat dan kenaikan gaji hendaklah dilakukan seadilnya bukan melalui pilih kasih tetapi mengikut kelayakannya. Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan serta tidak memungkirinya. Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”

Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/26)

  • Hak untuk berehat atau cuti mengikut persepakatan dan terma perjanjian antara mereka.
  • Memberi peluang kepada pekerja untuk menambahkan lagi kemahiran agar benar-benar menepati dan mencapai ke tahap profesional atau pekerja mahir. Dengan itu, ia sudah pasti dapat memberi pulangan yang baik kepada syarikat, majikan, dan juga negara.
  • Menepati perjanjian sepertimana dinyatakan di dalam kontrak pekerjaan serta menjaga hak-hak pekerja dengan baik. Allah SWT berfirman:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Allah SWT turut berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Maidah: 1)

Ayat di atas menerangkan tentang akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Oleh itu para ulama menggariskan bahawa hukum bagi kedua-dua belah pihak yang berjanji seharusnya meredhai satu sama lain dengan isi kandungan perjanjian itu selagimana ia tidak menyalahi hukum syarak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”