Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita perlu bersikap proaktif dalam mencari pekerjaan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Jumu’ah: 10)

Imam al-Baghawi berkata: Iaitu apabila telah selesai daripada solat maka bertebaranlah di muka bumi untuk melakukan perniagaan dan menyelesaikan urusan-urusan kamu. (Lihat Tafsir al-Baghawi,8/123)

Setiap diri individu hendaklah berusaha mengubah nasibnya sendiri dengan berusaha mencari pekerjaan dan bekerja mencari harta. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

(Surah al-Ra’d: 11)

Al-Tabari berkata: Maksudnya, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan kesihatan dan nikmat suatu kaum jika mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka dengan perbuatan kezaliman dan permusuhan kepada sesama mereka, sehingga azab-Nya menimpa mereka dan perubahan pun terjadi.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 14/178)

Al-Baghawi berkata: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sama ada dalam keadaan ‘afiyat dan nikmat, sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada dalam diri mereka, daripada keadaan yang mulia kepada menderhakai Tuhan mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 4/303)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Musykilah al-Faqr wa Kaifa ‘Alajaha al-Islam menyebut bahawa salah satu kaedah utama dalam membasmi kemiskinan adalah mengenai peribadi si fakir atau miskin itu sendiri, iaitu kewajipannya untuk bekerja apabila memperoleh peluang dan berupaya menjalankannya. Dalam masa yang sama, menjadi kewajipan masyarakat dan kerajaan pula untuk membantunya sama ada dengan wang atau latihan, sehingga dia dapat menjalankan satu-satu kerja yang sesuai baginya. (Lihat Musykilah al-Faqr wa Kaifa ‘Alajaha al-Islam, hlm. 142)

Tanggungjawab bagi setiap individu dalam bekerja dan mencari harta juga disebut sebagai satu polisi utama dalam membasmi kemiskinan. Dalam kajian bertajuk Poverty in Secular and Islamic Economics: Conceptualization and Poverty Alleviation Policy oleh Karima Korayem, beliau menjelaskan bahawa dalam ekonomi Islam, terdapat dua alat dalam membasmi kemiskinan; iaitu yang wajib (mandatory) dan pilihan (optional). Tanggungjawab yang wajib terletak pada setiap diri orang Islam iaitu bekerja dan mencari harta. Justeru, bekerja adalah satu polisi utama membasmi kemiskinan dalam Islam. Selain itu, zakat juga termasuk polisi penting yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang kaya. Manakala kewajipan pilihan terbahagi kepada tiga, iaitu Sedekah, Wakaf dan Tawzif (menyusun jawatan atau peranan). (Lihat Poverty in Secular and Islamic Economics, hlm. 8)

Justeru, sewajarnya setiap individu bekerja dengan bersungguh-sungguh dalam berusaha membasmi masalah kemiskinan yang dihadapi. Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Islam menuntut setiap individu dalam masyarakat untuk bekerja, dan memerintah supaya menjelajah ke seluruh penjuru bumi dan memakan dari rezeki kurniaan Allah. Ini seperti mana firman-Nya:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).”

Surah al-Mulk (15)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Musykilah al-Faqr wa Kaifa ‘Alajaha al-Islam  (hlm. 50) menyatakan bahawa kerja adalah merupakan senjata yang pertama untuk memerangi kemiskinan. Ia juga adalah faktor yang pertama bagi menghasilkan kekayaan serta unsur yang pertama dalam pengimarahan bumi. Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai khalifah-Nya dengan diperintahkan untuk membangun dan memakmurkannya. Allah SWT berfirman melalui lisan Nabi Soleh kepada kaumnya:

قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: “Dia berkata: ‘Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.’”

(Surah Hud: 61)

Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan, firman-Nya ‘وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا’, yakni, menjadikan kamu sebagai orang yang akan memakmurkannya dan memanfaatkannya dengan bercucuk tanam, aktiviti perindustrian, pembangunan dan lain-lain. Sifat bumi yang dapat dimakmurkan untuk kegunaan manusia, dan sifat manusia yang mampu untuk melakukan hal demikian merupakan dalil atas adanya Yang Maha Pencipta dan Maha Bijaksana. Dia telah menentukan kadar masing-masing dan memberi petunjuk, serta menganugerahkan akal kepada manusia, yang dengannya dapat menjadi petunjuk dan alat untuk mengelola apa yang ada di dunia ini, dan memberi kekuatan kepada manusia untuk berusaha dan bekerja. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/352).

Galakan supaya berusaha mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya“Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Tambahan lagi, Islam sangat menuntut atau menggalakkan penganutnya untuk berusaha dan bekerja berbanding daripada dirinya duduk bersahaja, tidak membuat apa-apa dan meminta sedekah.

Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat al-Zubair bin al-Awwam R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya bahawa salah seorang daripada kamu memikul kayu api pada belakangnya lalu menjualnya, dan Allah mencukupkan (rezekinya) dengan (hasil jualan) kayu api, itu lebih baik baginya daripada dia mengemis dan meminta-minta daripada orang lain, sedangkan boleh jadi orang itu memberi kepadanya atau tidak memberi apa-apa.”

Riwayat al-Bukhari (1471)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, dalam hadith di atas mengandungi dalil yang menunjukkan kepada haramnya meminta-minta sedangkan dia berkemampuan untuk bekerja — mencari rezeki bagi menampung kehidupannya.

Begitu juga lafaz “lebih baik baginya” dalam hadith di atas, bukanlah bermaksud perbuatan ini lebih utama daripada asalnya; kerana meminta-minta dalam keadaan dia berkemampuan untuk bekerja bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai baik. Berkemungkinan lafaz ini disampaikan berdasarkan keyakinan orang yang meminta dan menamakan apa yang diberikan kepadanya sebagai kebaikan (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/411).

Justeru, setiap individu wajib berusaha dengan melakukan apa juga bidang pekerjaaan yang boleh memberi manfaat. Maka dengan kerja yang dijalankan itu, dia dapat mengkayakan dirinya dengan sendiri dan meliputi keperluan dirinya dan ahli keluarganya tanpa memerlukan bantuan dari orang perseorangan atau mana-mana yayasan kebajikan atau kerajaan. Dengan itu, ia boleh menyelamatkan dirinya dari kemiskinan dan seterusnya memberi sumbangan pula dalam usaha memberi kekayaan kepada masyarakat seluruhnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”