Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tugas utama bagi seorang pendidik?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Surah al-Taubah (122)
Al-Alusi menjelaskan: “Hakikatnya, penggunaan ‘untuk mengajar’ (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding ‘memberi peringatan’ (لِيُنذِرُوا) dan ‘supaya mereka faqih’ (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding ‘berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah’ (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)
Pada hakikatnya, terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh seorang yang bernama guru. Kadang-kadang, dek kerana beratnya cabaran sehingga terlintas di benak fikiran mereka untuk meletak jawatan. Namun, tatkala dilihat wajah anak bangsa yang kecil molek mendambakan ilmu, maka dengan sendirinya terlerailah segala kekusutan yang bersarang di lubuk hatinya. Datang pula selepas itu perasaan ehsan dan rahmat terhadap muridnya, lalu dikuatkan tekad untuk mendidik mereka sehingga berjaya menuju ke puncak jaya, memasuki menara gading, seterusnya memimpin ummah dan masyarakat di satu masa nanti.
Proses globalisasi dan ledakan ICT sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap sosiobudaya masyarakat terutama dalam aspek sikap, pemikiran, nilai serta tingkahlaku pelajar sehingga mengakibatkan masalah keciciran moral, serta masalah disiplin berlaku di sekolah. Keadaan dan fenomena ini menjadikan guru berdepan tanggungjawab lebih berat dan mencabar, bukan sahaja untuk menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran kondusif, malah pemantapan moral dan etika murni pelajar.
Kami nyatakan di sini beberapa tugas utama seorang guru dan pendidik serta cabarannya. Bagi memudahkan perbincangan, kami kemukakan dalam bentuk nota agar kefahaman berkaitan tugas hakiki guru dapat difahami dengan baik. Antaranya:
Pertama: Menjadikan manusia sebagai manusia.
Ini kerana ramai yang berupa manusia tetapi tanpa tarbiyah dan asuhan guru yang bersifat rabbani, maka lahirlah manusia yang hanya berupa manusia sedangkan hatinya lebih bejat daripada binatang buas. Mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa pertimbangan akal yang sihat dan waras sementelahan lagi dinilai dan diukur dari segi iman.
Justeru, menjadikan manusia sebagai manusia yang sebenar atau insaniyyatul insan sudah pasti melayakkan ia sebagai khalifah Allah di muka bumi yang sentiasa patuh pada neraca Syariah serta memegang amanah dengan jayanya.
Kedua: Melahirkan pekerja mahir, professional dan bertanggungjawab.
Dalam isu ini, sebenarnya ia tidaklah terhad kepada mendapatkan kerjaya semata-mata. Yang lebih penting daripada itu untuk menjadikannya seseorang anak murid yang berakhlak baik. Apa-apa jawatan yang digalasnya akan dilaksanakan dengan penuh itqan dan profesional di samping rasa takutkan Allah. Sudah tentu, integritinya amat tinggi dan jati dirinya berada pada puncak.
Hal ini mengingatkan kita sabda Nabi SAW, seperti hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)
Ketiga: Menjadikan masyarakat berilmu.
Mendidik murid dan pelajar yang dapat menyumbangkan ilmu yang dipelajari hingga ke menara gading kepada masyarakat, negara, bangsa dan juga agama. Begitu juga diharapkan supaya murid tersebut berguna kepada orang lain. Membudayakan masyarakat yang berilmu bermula dari tokoh guru atau murabbi yang sentiasa cakna dan prihatin berkenaan ilmu untuk menjadi pedoman dan panduan masyarakat.
Keempat: Mengenal potensi murid.
Murid-murid mempunyai pelbagai kebolehan dan kemahiran. Guru-guru mesti bijak mengenal pasti potensi murid lebih awal supaya ia tidak mati sebelum masanya. Tokoh-tokoh yang hebat seperti guru yang bersifat murabbi, dengan firasatnya yang tajam boleh meletakkan sasaran pelajarnya serta menghalakannya mengikut potensi, bakat, karakter dan watak yang dipunyai oleh pelajar tersebut.
Kisah salafus soleh seperti Imam al-Syafi’i dapat mengenali potensi muridnya al-Rabi’ ibn Sulaiman al-Muradi walaupun pada asalnya pelajar tersebut lemah, tetapi akhirnya menjadi bintang utama dan penyebar utama mazhab Syafi’i.
Kelima: Mentarbiahkan anak didik.
Mengasuh dan mendidik pelajar serta murid menjadi insan yang benar-benar bertanggungjawab, integriti, amanah, benar dan segala sifat-sifat mahmudah sebagai pakaian mereka. Ini sudah tentu mereka menjadi role model kepada masyarakat dan dapat memimpin mereka ke arah yang lebih gemilang. Saya teringat sebuah buku yang bertajuk Ma’alim Irsyadiah li Sina’ah Talib al’-Ilmi karya al-Allamah Syeikh Muhammad Awwamah. Dalam buku tersebut, beliau mengisahkan bagaimana gurunya, al-Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah mendidiknya sekalipun kecil seperti cara memegang kitab ketika berjalan untuk belajar ilmu.
Keenam: Membentuk generasi berwawasan.
Hasil didikan seorang pendidik menjadikan seseorang itu tahu hala tujuan dan matlamat hidupnya. Inilah antara cabaran yang terpenting kerana nawaitu dan matlamat hidup perlu diperjelaskan terlebih dahulu ibarat bangunan memerlukan pasak yang kukuh dan ampuh sebelum dibina batu-bata di atasnya. Berapa ramai manusia yang tidak mempunyai hala tuju yang akhirnya menempah kerugian dalam hidup mereka.
Apa yang kita harapkan adalah sebagai generasi seterbaik ummah, sebagaimana firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah Ali ‘Imran: 110)
Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)
Ketujuh: Melahirkan generasi yang bijak pandai.
Melahirkan masa depan yang benar-benar berwibawa dan mempunyai ciri kepimpinan Islam yang sejati. Mantan Rektor Universiti Islam Madinah, Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika menyampaikan ceramah, pesanan dan nasihat kepada murid-murid yang baru datang ke Universiti itu dari seantero dunia antara lain berkata: “Jadilah kamu pemimpin dan janganlah kamu menjadi orang yang dipimpin.”
Kelapan: Memperkasakan ilmu.
Melengkapkan ilmu pengetahuan dan maklumat dengan fahaman yang betul dan benar. Hal ini cukup bahaya jika seseorang belajar dan membaca tanpa adanya guru. Imam al-Ghazali cukup tegas dalam hal ini melalui kitabnya Ihya’ Ulum al-Din (8/136). Sehingga terdapat ungkapan seperti: “Sesiapa yang tidak berguru, maka syaitanlah gurunya.”
Kesembilan: Sebagai pemangkin membina jati diri.
Pemberi motivasi dan dorongan semangat yang tinggi kepada murid-muridnya. Dalam catatan sejarah menunjukkan, kehebatan murid yang menguasai dunia dalam pelbagai bidang dan lapangan kerana mempunyai mentor, murabbi, dan guru yang hebat. Bacalah sejarah tokoh yang terkemuka dunia seperti Imam al-Syafie, Imam Abu Hanifah, Nuruddin al-Zanki[1], Salahuddin al-Ayubi[2], Muhammad al-Fateh[3] dan ramai lagi di mana guru merekalah yang membentuk hala tuju perjalanan dan menambahkan kehebatan mereka.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan
[1] Beliau ialah Nuruddin Mahmud bin Atabik Qasim al-Daulah Abi Sa’id Zanki bin al-Amir al-Kabir Aq Sunqur. Lahir pada bulan Syawal 511H/ 1117M. (Lihat al-Siyar, 20/531) Nuruddin mula memegang tampuk pemerintahan pada bulan Rabiul Akhir, tahun 541H / 1146M. Ketika Nuruddin menggantikan kedudukan ayahnya, beliau berjaya menguasai pelbagai wilayah dan menyatukannya di bawah pemerintahannya. Pada 1154M, beliau berjaya menyatukan Damsyiq ke dalam wilayah kekuasaannya, dan seterusnya menjadikan Damsyiq sebagai pusat pemerintahannya. (Lihat al-Daulah al-Zankiyyah oleh al-Solabi, hlm. 237)
[2] Salahuddin al-Ayyubi berasal dari keluarga Kurdi yang memiliki nasab dan kedudukan yang mulia. Dilahirkan pada 532H/1137M di Tikrit. Beliau mempelajari hadith daripada al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi, Abu Tahir bin ‘Auf, Syeikh Qutbuddin al-Naisaburi dan beberapa ulama lain. Beliau seorang yang sangat memahami agama. Diceritakan, beliau menghafaz al-Quran, kitab al-Tanbih dalam bidang Feqah dan kitab al-Hamasah dalam bidang syair. Beliau dilantik memegang kepimpinan ketika berusia 32 tahun. (Lihat Salahuddin al-Ayyubi oleh Abdullah Nasih Ulwan, hlm. 24)
[3] Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Murad bin Beyazid. Beliau lahir pada bulan Rejab 835H / 1432M di kota Erdine. Baginda merupakan Sultan ke-7 daripada kerajaan Uthmaniyah. Mula memerintah pada tanggal 16 Muharram 855H. Beliau menguasai pelbagai bidang ilmu seperti ilmu falak dan mantik, geografi, matematik serta mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan termasuk ilmu memanah dan strategi peperangan.