Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah wajib zakat terhadap harta-harta yang haram? Contohnya wang hasil judi, wang hasil rasuah dan seumpamanya. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Zakat

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[1]

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia.[2]

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”[3]

Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”[4]

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.[5]

Larangan Mengumpul Harta yang Haram

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” [6]

Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa kesatuan umat Islam serta saling bertanggungjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting. Umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat.[7]

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).[8]

Batil di sini menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya.

Demikian juga sabda Nabi SAW ketika khutbah al-wada’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertimana haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.[9]

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”[10]

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.[11]

Agama Islam amat menitikberatkan perihak baik dan bersih dalam semua perkara. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ‏}‏ وَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏}‏ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Maksudnya“Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”[12]

Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan perkataan (لاَ يَقْبَلُ) ini bermaksud Allah SWT tidak menerima di sisinya apa-apa amalan atau harta yang bersumberkan kepada yang haram dan tidak bersih. Hal ini termasuk dalam aspek makan, minum serta pemakaian seharian kita. (Rujuk ) bermaksud Allah SWT tidak menerima apa-apa amalan dan harta kecuali yang datang daripada sumber yang bersih sahaja.[13]

Adakah Perlu Dikeluarkan Zakat Terhadap Harta yang Haram?

Berbalik kepada persoalan di atas, harta yang haram tidak wajib dan tidak sah dibayar zakat daripadanya. Hal ini kerana, zakat hanya diwajibkan ke atas pemilik yang sah dan apabila wujud pemilikan yang penuh (milk al-tam), sedangkan orang yang memegang harta tersebut tidak dikira sebagai pemilik yang sah.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا

MaksudnyaSesungguhnya Allah SWT itu Maha Baik, dan tidak menerima sesuatu kecuali ia perkara yang baik.[14]

Selain itu, hal ini turut dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyyah (23/249) bahawa tidak diwajibkan zakat ke atas harta haram seperti harta yang dicuri, dirompak, harta riba, harta dari sumber rasuah dan lain-lain tidak dimiliki oleh pemegangnya. Ini kerana matlamat zakat adalah untuk penyucian harta dan pemberi zakat itu sendiri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَ

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”[15]

Justeru, sekiranya pemilik harta haram itu ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram tersebut, Imam al-Ghazali menjelaskan: “…jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul, masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam.”

Menurut beliau lagi, tidak diwajibkan bagi pemegang harta haram untuk melaksanakan haji, menunaikan zakat dan menunaikan kaffarah. Pandangan ini juga yang dinyatakan oleh Ibn Abidin dari kalangan Hanafiyyah.

Mantan Mufti Jordan, iaitu Syeikh Nuh Ali Salman juga turut berpegang dengan pandangan yang sama, dan menambah bahawa selepas harta haram itu dikembalikan kepada pemiliknya yang sebenar, maka barulah zakat diwajibkan ke atasnya.[16]

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, dapat difahami bahawa harta yang haram seperti harta hasil perjudian, harta hasil curian atau rompakan, hasil faedah riba dan seumpamanya adalah tidak wajib zakat, bahkan tidak sah untuk dikeluarkan zakat daripadanya. Kesemua harta haram seperti ini hendaklah dikembalikan kepada pemiliknya atau diinfaqkan untuk maslahat umat Islam.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Surah al-Taubah (103)

[2] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913

[3] Riwayat al-Bukhari (1496)

[4](Surah al-Syams: 9)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[6] (Surah al-Baqarah: 188)

[7] Lihat Tafsir al-Maraghi1/374

[8] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29

[9] Riwayat al-Bukhari (6043)

[10] Riwayat Muslim (2564)

[11] Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137

[12] Riwayat Muslim (1015)

[13] Lihat al-Fath al-Mubin, 1/286

[14] Sahih Muslim (1015)

[15] Surah al-Taubah: 103

[16] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/351-352; Hasyiyah Ibn Abidin 2/291 dan Fatawa al-Syeikh Nuh Ali Salman dalam bab zakat, fatwa nombor 36

Leave a Reply