Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud janin dari sudut istilah fiqh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Lisan al-Arab (2/230-231), Ibn Manzur menyebut beberapa maksud dan makna janin, antaranya:

  • Yang digugurkan atau mayat. Inilah tafsiran Ibn Barri.
  • Apa yang terdinding.
  • Yang terdinding pada jiwa mereka.
  • Setiap yang terdinding daripadamu atau yang tidak dapat dilihat.
  • Janin juga dengan maksud hamil.

Semuanya ini boleh dirujuk dalam al-Qamus al-Muhit (4/212), Asas al-Balaghah (hal.66) dan Mukhtar al-Sihah (hal. 114).

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4 (hal. 608), janin ialah sesuatu objek yang masih dalam kandungan, lembaga dan mudghah (manusia yang cukup sifat).

Janin daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud bayi yang berada dalam kandungan ibu atau rahimnya yang belum lahir lagi.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذْ أَنتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ ۖ

Maksudnya: “Dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu.”

(Surah al-Najm: 32)

Janin Dari Sudut Istilah Fiqh

Para fuqaha’ telah mengemukakan definisi janin dengan ibarat yang hampir sama antaranya:

  • Mazhab Hanafi: Janin ialah yang zahir kejadiannya daripada tangan, kuku, rambut. Jika belum zahir maka tidak dianggap janin. (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 1/200).

  • Mazhab Maliki: Setiap kandungan wanita yang diketahui itu anak sekalipun belum berupa lagi. (Lihat al-Muntaqa, 7/80).

  • Mazhab Hanbali: Bermula daripada bentuk manusia dianggap sebagai janin dan sebelum itu tidak dikira sebagai janin. (Lihat al-Mughni, 7/537).

  • Mazhab Syafie: Terdapat dua pandangan menurut mazhab al-Syafie, iaitu:
    1. Apa yang diketahui oleh bidan bahawa itulah kejadian manusia sama ada masih di peringkat mudghah atau ‘alaqah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/356)
    2. Bermula daripada masuknya mani ke dalam rahim dan bercampurnya sperma lelaki dengan ovum perempuan yang diiktibar sebagai permulaan janin sejak persenyawaan lagi. Inilah pendapat Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din (2/51).

Tarjih
Syeikh Umar bin Muhammad bin Ibrahim al-Ghanim dalam bukunya Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami (hlm. 38) mentarjihkan bahawa kehidupan hakiki bermula pada janin selepas berlaku persenyawaan secara langsung yang dipanggil sebagai nutfah amsyaj (mani yang bercampur) atau istilah moden sebagai zigot. Hal ini berbetulan dengan pendapat Imam al-Ghazali.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”