Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya melihat golongan OKU sering diabaikan. Mohon pandangan dato’ berkenaan kewajiban menyantuni golongan OKU ini.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU bahkan terdapat banyak gesaan di dalam Al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan yang kurang upaya. Firman Allah SWT:
لَّيْسَ عَلَى الْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا
Maksudnya: Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
(Surah al-Fath: 17)
Imam al-Qurtubi menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma mengenai turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dikalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang. Lantaran dari soalan tersebut, maka turunlah ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini dengan tidak menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 16/273)
Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan OKU adalah melibatkan persekitaran dan juga sikap mentaliti sesetengah masyarakat umum. Dari aspek persekitaraan, dapat kita lihat kebanyakan insfrastruktur dan kemudahan yang sedia ada masih lagi kurang mesra OKU. Golongan OKU tidak dapat mengakses kebanyakan kemudahan yang sedia ada dan ini menyebabkan keterbatasan mereka dalam melakukan aktiviti harian dan bersosial.
Seharusnya pihak berwajib perlulah menambah baik segala insfrastruktur serta kemudahan sedia ada agar lebih mesra OKU bagi memudahkan kehidupan seharian mereka.
Mentaliti atau sikap sesetengah masyarakat umum yang menganggap OKU ini sebagai satu bebanan hidup bagi mereka juga menjadikan perjalanan hidup OKU itu sendiri satu cabaran yang perlu mereka atasi. Sikap masyarakat umum yang normal ini amatlah tidak wajar. Sebagai seorang muslim yang beriman, mereka akan melihat konteks OKU ini sebagai ladang untuk menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka.
Islam mengajar kita agar tolong menolong ke arah kebaikan dan tanpa syak lagi bahawa membantu dan menyantuni golongan OKU ini termasuk di dalam kebaikan yang perlu disegerakan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Maidah: 2)
Islam juga mengajarkan agar bersikap adil terhadap semua. Islam sama sekali tidak menyetujui jika terdapat sesetengah golongan dinafikan haknya, ditindas dan tidak diendahkan. Lihatlah ketika mana Rasulullah SAW sedang sibuk berdakwah kepada golongan bangsawan Quraisy dan pada waktu itu telah datang Abdullah bin Umm Maktum ingin bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW telah memalingkan mukanya dari Abdullah bin Umm Maktum. Allah SWT telah menegur Baginda SAW melalui firman-Nya di dalam Surah ‘Abasa rentetan dari sikap Rasulullah SAW tersebut.
Justeru, teguran Allah SWT ini sebagai satu isyarat golongan OKU ini perlu dilayani dengan saksama dan tidak boleh dinafikan hak mereka dalam urusan agama, ilmu dan seumpamanya. Apatah lagi jika berkaitan dengan urusan-urusan menyambung kehidupan kerana mereka juga berhak hidup sebagaimana mereka berhak dilahirkan dan dibesarkan dengan adil.
Daripada Abdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (2442)
Ujian Allah terhadap manusia adalah sebagai ujian untuk kita semua. Bagaimana sikap kita untuk menolong saudara-saudara kita sehingga dalam hadis ini menyebut dua ibarat sama ada menolong dan juga memudahkan saudara-saudara kita yang lain. Inilah sifat muslim sejati yang sentiasa menolong saudara-saudaranya yang lain sama ada dengan harta, tubuh badan, tenaga, buah fikiran dan lain-lain. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 337)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”