Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam (non-Muslim)?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Hajj: 36)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)
Begitu juga, nas ini menunjukkan agar sebahagian daging korban diberikan kepada golongan tertentu.
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Maksudnya: “Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.”
(Surah al-Hajj: 36)
Dalam menjawab isu seperti ini, kami nyatakan terlebih dahulu di sini pendapat-pendapat ulama’, antaranya:
- Mazhab Hanafi mengharuskan untuk memberi makan kepada orang kafir daripada bahagian korban. Ini juga merupakan pendapat al-Hasan dan Abu Thaur. Namun Imam Malik berpendapat: “Memberi makan kepada selain mereka adalah lebih kami sukai.”
- Imam Malik dan al-Laith berpendapat, makruh mem-berikan kulit daripada haiwan korban mahupun sedikit daripada dagingnya kepada Nasrani.
- Ibn al-Munzir berpendapat, sekiranya daging tersebut dimasak, maka tidak mengapa kafir zimmi memakannya bersama kaum Muslimin.
- Ibn Qudamah dan Imam al-Nawawi berpendapat hukumnya harus memberi makan kepada orang kafir zimmi daripada bahagian daging korban yang sunat, dan bukannya yang wajib. (Lihat al-Majmu’ Syarh al- Muhazzab, 8/425 dan al-Mughni, 9/450).
- Imam al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa tidak diharuskan memberi makan daripada bahagian korban kepada selain kaum Muslimin sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Buwaiti. (Lihat al-Iqna’, 2/593) Hal ini juga disebutkan oleh Imam al-Ramli, Imam Ibn Hajar al- Haitami, Syeikh al-Jamal dan Syeikh al-Bujairami di dalam kitab mereka. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/141; Tuhfah al-Muhtaj, 9/363; Tuhfah al- Habib, 4/340 dan Hasyiyah al-Jamal, 5/259)
- Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Harus memberi makan kepada orang kafir zimmi yang fakir daripada bahagian daging korban yang sunat, dan bukannya yang wajib.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al- Syafi’i, 2/490)
- Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika ditanya berkenaan hukum memberi bahagian daripada haiwan korban kepada orang bukan Islam, mereka menjawab: “Tidak mengapa memberikan bahagian daging korban kepada orang bukan Islam kerana kefakiran mereka, atau mereka daripada kalangan kaum kerabat dan jiran tetangga, atau untuk tujuan melembutkan hati mereka bagi menerima Islam.” (Lihat Fatwa no. 3450)[1]
Dalam konteks Malaysia pula, jawatankuasa fatwa negeri-negeri juga seperti Majlis Fatwa Negeri Sabah[2], Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis[3], dan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak[4]mengharuskan untuk memberi makan, mengagihkan, menghadiahkan daging korban yang sunat kepada orang bukan Islam. Manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor[5] pula menyatakan bahawa harus untuk menjamu daging korban sunat yang dimasak kepada orang bukan Islam dengan mengambil pendapat Imam al-Nawawi dalam hal ini.
Berkenaan isu ini, secara dasarnya kami tetap berpegang dengan pandangan masyhur mazhab Syafi’e yang tidak mengharuskan daging korban diagihkan kepada orang bukan Islam, kerana korban merupakan satu ibadah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Namun demikian, kami turut berpendapat bahawa di dalam isu ini, ia hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat majmuk di samping menjadi satu usaha dakwah yang berkesan kepada masyarakat bukan Islam. Justeru, kami nyatakan:
- Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat, terdapatnya jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, dan dalam masa yang sama terdapat lebihan daripada hasil korban yang sunat, maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka. Ini berdasarkan salah satu pandangan dalam mazhab Syafi’i serta mazhab-mazhab lain yang mengharuskannya. Ada-pun korban wajib, maka ia tetap tidak dibenarkan untuk diagihkan kepada orang bukan Islam.
- Namun jika hasil korban tersebut hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan.
Secara umumnya, pandangan ini berdasarkan kepada ayat al-Quran yang menyebut berkenaan berbuat baik kepada orang bukan Islam. Allah SWT berfirman:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Surah al-Mumtahanah (8)
Dalam menjelaskan ayat ini, Imam al-Qurtubi berkata: “Ayat ini merupakan keringanan daripada Allah SWT untuk membina hubungan silaturahim dengan orang-orang yang tidak memusuhi kaum Mukminin dan tidak pula memerangi mereka. Allah tidak melarang orang Islam untuk berbuat baik kepada orang- orang yang tidak memerangi mereka.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/355)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula berkata: “Allah SWT tidak melarang kalian untuk bersikap baik kepada orang-orang kafir yang bersikap damai dengan kalian dan tidak memerangi kalian kerana agama. Allah SWT juga tidak melarang kalian berbuat baik kepada mereka seperti menyambung hubungan kekerabatan, berbuat baik kepada tetangga, menjamu dan menerima kunjungan dengan baik.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/505)
Dalam konteks ini, memberikan daging korban kepada orang bukan Islam adalah termasuk di dalam perbuatan baik yang dibenarkan oleh Allah SWT.
Selain itu, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka daripada kalangan orang bukan Islam. Ia berdasarkan hadith Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana beliau telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: “Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? Ini kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُه
Maksudnya: “Jibril A.S sentiasa berwasiat kepadaku agar memperhatikan jiran tetangga, sehingga aku menyangka bahawa jiran tetangga itu akan mendapat bahagian harta waris.”
Riwayat al-Bukhari (6014) dan Muslim (2625)
Imam al-‘Aini menjelaskan: “Perkataan (jiran tetangga) di sini mencakupi orang Islam, orang kafir, ahli ibadah, orang fasiq, orang jujur, orang jahat, orang luar, orang asli pribumi, orang yang memberi manfaat, orang yang suka mengganggu, kerabat karib, ajnabi, baik yang dekat rumahnya atau agak jauh. (Lihat Umdah al-Qari, 22/108)
Di samping itu, terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma di mana Rasulullah SAW menyuruhnya untuk menyambung silaturahim dengan ibunya. Sedangkan, diketahui bahawa ibunya adalah daripada kalangan orang kafir Quraisy. Sabda Nabi SAW kepadanya:
صِلِي أُمَّكِ
Maksudnya: “Sambungkanlah silaturahim dengan ibumu.”
Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003)
Begitu juga dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksudnya: “(Menolong) setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala.”
Riwayat al-Bukhari (2363) dan Muslim (2244)
Semoga dengan pencerahan ini dapat menambahkan kefahaman kita dalam beragama serta menyemarakkan lagi keharmonian hidup dalam konteks masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara kita tercinta ini.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/ViewResearch.aspx?sec=fatwa&ID=13021
[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15446
[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/12147
[4] Lihat https://muftinegeri.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=news&sub=news_view&nid=248
[5] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16046