Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana menangani konflik rumah tangga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan bahawa ‘لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا’ dalam ayat ini bermaksud tenang jiwa dan fizikal. Dalam konsep perkahwinan, ketenangan fizikal adalah sebagai permulaan dalam kehidupan suami isteri, manakala ketenangan jiwa pula merupakan objektif dan matlamat utama apabila seseorang telah memasuki alam perkahwinan. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 2/100).

Konflik dalam rumah tangga akan berlaku apabila kehendak atau tujuan yang ingin dicapai adalah bertentangan. Antara punca yang membawa kepada berlakunya konflik adalah perbezaan fahaman, kepercayaan, adat istiadat, kepentingan diri dan seumpamanya. Konflik ini akan dizahirkan melalui kemarahan, kebencian, pergaduhan dan kekerasan. Ia mestilah ditangani dengan baik supaya masalah yang lebih serius dapat dielakkan.[1]

Dalam isu ini, antara perkara yang boleh dilakukan dalam menangani konflik rumah tangga adalah:

  • Mengenalpasti punca timbulnya konflik dalam rumahtangga. Hal ini penting kerana ia akan menyebabkan kesan terhadap hubungan jangka panjang dalam perkahwinan.
  • Mengesan perubahan awal di peringkat awal dengan memerhati air muka, gerak geri dan percakapan pasangan.
  • Elakkan daripada bersangka buruk terhadap pasangan. Begitu juga apabila menyedari timbul isu-isu atau masalah yang berpotensi untuk mengeruhkan hubungan suami isteri, segera tanganinya. Jangan tunggu atau bertangguh-tangguh sehingga keadaan menjadi bertambah parah.
  • Pasangan suami isteri hendaklah berfikiran terbuka, bersikap positif dan bersedia untuk melakukan apa sahaja cara bagi tujuan meredakan konflik yang dihadapi.
  • Bantu pasangan untuk membuat perubahan atau memperbaiki kesilapan, semangat dan motivasi, bukannya kritikan dan leteran.
  • Apabila berhadapan dengan sesuatu isu atau masalah, pasangan perlu menyatakan pendapat secara terbuka. Jangan kritik mengkritik atau salah-menyalahi. Bawalah berbincang dan perbanyakkan sikap tolak ansur.
  • Berkomunikasi dengan baik di mana ia dapat membantu dalam mengurangkan tekanan yang dihadapi.
  • Sesuaikan dengan kehendak diri kepada kehendak bersama, yakni sesuatu yang berfaedah untuk kedua belah pihak. Hal ini dapat dicapai dengan bersikap terbuka dan bertolak ansur, sedia menerima pandangan dan mengakui kelemahan diri, tidak cepat melenting dan sentiasa meminta maaf apabila menyedari kesalahan sendiri.
  • Jangan dapatkan nasihat atau panduan daripada orang yang tidak memahami. Jika perlu mendapatkan nasihat orang ketiga, pastikan beliau mempunyai kepakaran dalam hal ehwal rumah tangga dan boleh menyimpan rahsia. Elakkan daripada melibatkan seseorang yang tidak disukai, sama ada oleh suami atau isteri.

Alangkah baiknya, diadakan solat berjemaah sebagaimana firman Allah SWT:

‏‏حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ‏

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

(Surah al-Baqarah: 238)

Ini sudah pasti dapat mengukuhkan ikatan rumahtangga. Begitu juga, baikilah akhlak masing-masing terutamanya ketika berhubungan dengan pasangan masing-masing dengan penuh kasih sayang, rahmat serta tasamuh. Benarlah sabda Nabi SAW: Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu semua adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.”

Riwayat Ibn Majah (1977), Riwayat al-Tirmizi (3895)

Antara perkara yang penting dalam menangani isu ini adalah supaya diwajibkan kaunseling kepada setiap pasangan yang hendak memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah. Cadangan ini juga telah diutarakan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi  Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

[1] Lihat Mariam Abd Majid, et. al. Pendekatan Mengurus Konflik dalam Rumah Tangga Bermadual-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues 5, no. 1 (2020): 253-265.