Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana tatacara solat duduk di atas kerusi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

(Surah al-Mu’minun: 9)

Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.”  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)

Sabda Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain R.Anhu katanya: aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

Riwayat al-Bukhari (1066)

Imam al-Khattabi berkata: “Makna hadith ini adalah pedoman bagi seseorang yang hendak melaksanakan solat-solat fardhu. Secara asalnya, dia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu berdiri dan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan-keadaan yang disebutkan selepas itu.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 1/630-631)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310)

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214)

Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:

Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, wajib baginya dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dirinya duduk dan melakukan rukuk dan sujud. Ini kerana rukun berdiri semasa qiyam wajib dilaksanakan. Kami tegaskan bahawa tidak boleh dan tidak sah sekiranya dia terus duduk sekiranya dia mampu berdiri.

Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai, dan duduk secara iftirasy lebih utama berbanding duduk secara tawarruk dan tarabbu`.

Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi. Solat duduk di atas kerusi ini menyerupai solat tarabbu’ (bersila) dan solat di atas binatang tunggangan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً صَلاَةَ اللَّيْلِ، إِلَّا الفَرَائِضَ وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah bersolat ketika musafir di atas tunggangannya. Ke mana arah pun tunggangannya itu menghadap, baginda melakukan isyarat untuk solat malam. Baginda tidak melakukan demikian dalam solat fardhu. Baginda juga bersolat witir atas tunggangannya.”

Riwayat al-Bukhari (1000)

Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.

Ini kerana kaedah menyebut orang yang solat mampu melakukan sesuatu perbuatan yang wajib maka wajib dilakukannya, dan sesiapa yang lemah melakukannya maka gugur daripada melakukannya.

Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.

Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.

Menurut pendapat ashab al-Syafie seperti mana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Rif`ah (w.710) dalam Kifayah al-Nabih (4/97):

لَوْ كَانَ قَادِرًا عَلَى الرُّكُوعِ الْكَامِلِ، وَجَبَ عَلَيْهِ أَنْ يَرْتَفِعَ إِلَى حَدِّ الرَّاكِعِينَ، نَعَمْ لَوْ كَانَ يَعْجِزُ عَنْ ذَلِكَ أَيْضًاً، رَكَعَ، وَهُوَ جَالِسٌ، وَأَقَلُّهُ أَنْ يَنْحَنِيَ حَتَّى يُقَابِلَ وَجْهُهُ مَا وَرَاءَ رُكْبَتَيْهِ مِنْ الْأَرْضِ أَدْنَى مُقَابَلَةٍ

“Sekiranya seseorang itu mampu untuk rukuk secara sempurna, maka wajib ke atasnya untuk (rukuk) tinggi pada had orang-orang yang rukuk. Benar, sekiranya dia tidak mampu juga, maka dia rukuk dalam keadaan duduk. Had yang paling kurang ialah dia turun sehingga bertentangan mukanya pada permukaan bumi yang berada di hadapan dua lututnya dalam keadaan yang boleh dimaksudkan dengan sekurang-kurang pertentangan.”

Ini menunjukkan bahawa sekiranya seorang itu mampu rukuk secara berdiri, maka hendaklah dia rukuk secara berdiri. Ini sesuai dengan kaedah fiqh yang berbunyi:

إِذَا بَطَلَ الأَصْلُ يُصَارُ إِلَى البَدَلِ

Maksudnya: “Jika batal hukum asal maka berpindah kepada hukum ganti.”

Berkata Syeikh Ahmad al-Zarqa dalam Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah (ms. 287):

إِذا بَطل الأَصْل بِأَن صَار متعذراً يُصَار إِلَى الْبَدَل أما مَا دَامَ الأَصْل مُمكنا فَلَا يُصَار إِلَى الْبَدَل

“Jika batal hukum asal dengan jadinya seseorang itu uzur maka berpindah hukum kepada hukum ganti. Adapun selama mana hukum asal itu boleh dilakukan maka tidak boleh berpindah kepada hukum ganti.”

Dalam masalah solat duduk, jika seseorang itu mampu rukuk dan sujud seperti bentuk asalnya, maka hendaklah dia melakukan seperti mana bentuk asalnya. Contohnya, seseorang yang mampu untuk rukuk dalam keadaan asalnya yakni secara berdiri hendaklah melakukannya dalam keadaan berdiri.

Begitu juga bagi sifat sujud. Terdapat riwayat dalam Sahih al-Bukhari (no. 4171) daripada sahabat Nabi SAW yang bernama Uhban bin Aus RA yang sujud dengan meletakkan bantal di bawah lututnya:

إِذَا سَجَدَ جَعَلَ تَحْتَ رُكْبَتِهِ وِسَادَةً وَلَعَلَّهُ كَانَ كَبُرَ فَكَانَ يَشُقُّ عَلَيْهِ تَمْكِينُ رُكْبَتِهِ مِنَ الْأَرْضِ فَوَضَعَ تَحْتَهَا وِسَادَةً لَيِّنَةً لَا تَمْنَعُ اعْتِمَادَهُ عَلَيْهَا مِنَ التَّمْكِينِ لِاحْتِمَالِ أَنَّ يُبْسَ الْأَرْضِ كَانَ يَضُرُّ رُكْبَتَهُ

“Dia (Uhban) apabila dia sujud, dia meletakkan bantal di bawah lututnya. Mungkin kerana dia sudah tua dan sujud menjadikannya sukar untuk menetapkan lututnya di atas bumi lalu dia meletakkan bantal lembut dibawahnya agar dia boleh beri`timad padanya. Mungkin juga kerana tanah kering (atau keras) yang memudaratkan lututnya.” (Lihat Fath al-Bari, 7/452)

Diwajibkan bagi orang yang mampu rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud untuk sujud dalam bentuk rukuk dengan menundukkan kepala lebih daripada hak kesempurnaan rukuk, sekiranya mampu. Sekiranya tidak mampu, maka sujudlah dalam bentuk rukuk. Perkara ini diterangkan oleh Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/469):

وَلَوْ قَدَرَ الْمُصَلِّي عَلَى الرُّكُوعِ فَقَطْ كَرَّرَهُ لِلسُّجُودِ، وَمَنْ قَدَرَ عَلَى زِيَادَةٍ عَلَى أَكْمَلِ الرُّكُوعِ تَعَيَّنَتْ تِلْكَ الزِّيَادَةُ لِلسُّجُودِ لِأَنَّ الْفَرْقَ وَاجِبٌ بَيْنَهُمَا عَلَى الْمُتَمَكِّنِ وَلَوْ عَجَزَ عَنْ السُّجُودِ، إلَّا أَنْ يَسْجُدَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ أَوْ صُدْغِهِ وَكَانَ بِذَلِكَ أَقْرَبَ إلَى الْأَرْضِ وَجَبَ

“Sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja (tanpa sujud seperti biasa) maka dia perlu mengulangi rukuk bagi sujud. Dan barangsiapa yang mampu untuk menambah (turun) lebih (bawah) daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia menambah tunduk itu bagi sujud. Ini kerana mewujudkan perbezaan (antara rukuk dan sujud) itu wajib bagi orang yang berkuasa melakukannya sekalipun dia tidak mampu sujud (seperti biasa). Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya, atau dengan pelipisnya, dan itulah bentuk yang yang menjadikan (kepalanya) lebih rapat ke bumi maka wajib dia melakukannya.”

Had paling minimum untuk rukuk bagi orang yang solat berdiri adalah had turunnya badan apabila kedua-dua tapak tangannya memegang lututnya manakala had kesempurnaannya pula adalah menurunkan badan sehingga rata tulang belakangnya.

Adapun had paling minimum rukuk bagi orang yang solat duduk ialah menundukkan kepala sehingga dahinya setentang dengan kawasan di hadapan lututnya. Manakala had paling sempurna pula ialah apabila dahinya setentang atau berhampiran dengan tempat sujudnya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/469).

Persoalan; adakah wajib tankis, yakni menjadikan punggung lebih tinggi daripada kepala bagi gambaran di atas? Jawapannya adalah tidak kerana sudah hilang haiah (bentuk) sujud, bahkan hanya wajib untuk menurunkan badan pada membezakan sahaja antara rukuk dan sujud sekiranya mampu, pada had sempurna rukuk. Sekiranya tidak mampu, maka sujudlah dalam keadaan rukuk. Perkara ini diisyaratkan oleh Imam Ibrahim al-Baijuri dalam Syarh Fath al-Qarib, dan disebut juga oleh Imam Khatib al-Syirbini dalam al-Iqna`. Kata al-Baijuri:

فَإِنْ أَمْكَنَهُ السُّجُودُ عَلَى نَحْوِ وِسَادَةٍ يَضَعُهَا تَحْتَ جَبْهَتِهِ مَعَ التَّنْكِيسِ لَزِمَهُ لِحُصُولِ هَيْئَةِ السُّجُودِ بِذَلِكَ وَإِنْ كَانَ بِلَا تَنْكِيسٍ لَمْ يَلْزَمْهُ السُّجُودُ عَلَيْهَا لِفَوَاتِ هَيْئَةِ السُّجُودِ بَلْ يَكْفِيهِ مَا أَمْكَنَهُ مِنْ الِانْحِنَاءِ

“Sekiranya seseorang itu mampu bersujud atas suatu seumpamanya bantal yang dia letakkan di bawah dahinya beserta tankis maka wajib dia lakukannya kerana dapat menghasilkan bentuk sujud dengan demikian itu. (Namun) sekiranya demikian itu berlaku tanpa mendapat tankis, maka tidak wajib dia sujud atas bantal lantaran hilangnya bentuk sujud. Bahkan, cukup baginya melakukan apa yang dia mampu dengan menunduk.” ( Lihat Hasyiah al-Baijuri `Ala Fath al-Qarib ,1/293)

Sekiranya tidak mampu, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila bersujud.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Rasulullah SAW melawat seorang sahabat yang sakit. Baginda melihat sahabat itu bersolat (yakni bersujud) atas bantal lalu baginda mengambilnya dan mencampaknya. Sahabat itu mengambil kayu pula dan bersolat atas kayu itu lalu baginda tetap mengambilnya dan mencampaknya, seraya bersabda:

صَلِّ عَلَى الأَرْضِ إِنِ استَطَعْتَ وَإِلَّا فَأَوْمِ اِيْمَاءَ وَاجَعَلْ سُجُودَكَ أَخْفَضَ مِن رُكُوعِكَ

Maksudnya: “Solatlah kamu (yakni sujudlah) di atas bumi sekiranya kamu mampu. Jika tidak mampu, maka tundukkanlah kepala (untuk rukuk dan sujud), dan jadilah sujud kamu lebih rendah daripada rukuk.”

Riwayat Imam al-Baihaqi Rahimahullah dalam Ma`rifah al-Sunan wa al-Athar (no. 1083).

Imam Al-Baihaqi berkata: “Ini kerana berkemungkinan bantal tersebut ditinggikan dan diletakkan terlalu tinggi daripada permukaan bumi. Wallahua`lam.” Seperti yang dibincangkan sebelum ini, meletakkan bantal hanya wajib sekiranya memperolehi bentuk tankis.

Berkata Syeikh al-Ramli:

فَإِنْ عَجَزَ أَوْمَأَ بِرَأْسِهِ وَالسُّجُودُ أَخْفَضُ مِنْ الرُّكُوع

“Sekiranya dia tidak mampu, maka dia menundukkan kepalanya dan sujud itu lebih rendah (tunduknya) berbanding rukuk.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/469-470)

Orang yang tidak mampu tankis dalam sujud kerana ada illah (sakit dan seumpamanya) maka sujudnya tetap sah. Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullah dalam Fath al-Mu`in (ms.45):

نَعَم إِن كَانَ بِهِ عِلَّةٌ لَا يُمكِنُهُ مَعَهَا السُجُودُ إِلَّا كَذَلِكَ أَجْزَأَهُ

Maksudnya: “Benar, sekiranya seseorang itu memiliki illah yang tidak membolehkannya sujud melainkan tanpa tankis, maka memadai sujudnya.”

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku