Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan nikmat kubur berdasarkan al-Quran?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara asasnya, tidak terdapat dalam al-Quran yang menyebutkan tentang nikmat kubur secara jelas melainkan nas daripada sunnah, tetapi dari segi dalalahnya terdapat ayat yang menunjukkan adanya nikmat kubur. Firman Allah SWT:
يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱلْقَوْلِ ٱلثَّابِتِ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ
Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri), dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
(Surah Ibrahim: 27)
Ibu Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyebut hadis riwayat ahmad Ibn Hanbal dimana Rasulullah SAW bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah dari seksa kubur.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/494)
Al-Sabuni di dalam Sofwah al-Tafasir berkata: “Allah SWT menetapkan pendirian mereka atas kalimah tauhid لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله dan atas iman dalam kehidupan ini sehingga mereka tidak boleh dikelirukan dan diperdaya, manakala di akhirat, Allah SWT menetapkan mereka ketika disoal oleh malaikat di dalam kubur.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 4/489)
Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin (hlm. 52) berkata: “Ketetapan itu terjadi dalam tiga masa” iaitu:
- Ketika melihat Malaikat Maut.
- Ketika menghadapi pertanyaan Munkar dan Nakir
- Ketika menghadapi hisab pada hari kiamat.
Ketetapan ketika melihat Malaikat Maut berdasarkan kepada tiga perkara:
- Terpelihara daripada kekafiran, mendapat taufiq dan istiqamah di atas tauhid sehingga keluar rohnya dalam keadaan Islam.
- Diberi keselamatan oleh Malaikat dengan mendapat rahmat.
- Melihat tempatnya di syurga.
Ketetapan dalam kubur pula ada tiga, iaitu:
- Diberi ilham oleh Allah SWT untuk menjawab dengan jawapan yang diredhai Allah SWT.
- Hilang rasa takut dan gementar.
- Melihat tempatnya di syurga sehingga kuburnya menjadi salah satu daripada taman syurga.
Adapun ketetapan ketika hisab juga mempunyai tiga perkara:
- Allah SWT memberinya ilham sehingga dapat menjawab segala pertanyaan dengan benar.
- Hisabnya dipermudahkan dan diringankan.
- Diampunkan segala dosanya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”