Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dibolehkan bagi Majlis Agama Islam ataupun pihak Baitulmal memberikan sumbangan berbentuk haiwan korban kepada penduduk sesebuah kawasan untuk dikorbankan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban.”

(Surah al-Kauthar: 2)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Para Mufassir Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi menafsirkan ayat ini dengan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)

Pada asasnya, ibadah korban boleh dilakukan dengan diniatkan untuk seseorang dan menyertakan mereka di dalam niat bagi memperolehi ganjaran pahala. Ini berdasarkan sebuah hadith yang menyatakan bahawa ketika Nabi SAW menyembelih haiwan korban, baginda mengucapkan:

بِسْمِ اَللَّهِ اَللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Dengan nama Allah. Ya Allah, terimalah korban ini daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan umat Muhammad.”

Riwayat Muslim (1967)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini merupakan dalil bagi mereka yang membolehkan korban diniatkan untuk seseorang dan keluarganya, serta keikutsertaan mereka dalam mendapatkan pahala. Inilah mazhab kami dan mazhab Jumhur ulama’. Sedangkan al-Thauri memakruhkannya. Demikian juga Abu Hanifah dan ashabnya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 9/125)

Dalam isu ini, adalah sunat bagi pemerintah melakukan korban untuk umat Islam. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh al-Khatib al-Syarbini yang menyebut: “Disunatkan untuk pemerintah melakukan ibadah korban dari harta baitulmal ke atas orang Islam dengan seekor lembu di musolla (tanah lapang) dan hendaklah dia (pemerintah) sendiri yang menyembelihnya. Sekiranya sukar untuk mendapatkan seekor lembu, maka memadai dengan seekor kambing bagi tujuan ittiba’ (mengikut sunnah).” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/125)

Hal ini juga sepertimana ditegaskan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyatakan: Disunatkan untuk hakim atau pemerintah kaum muslimin melakukan ibadah korban ke atas mereka dengan menggunakan harta baitulmal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 1/236)

Meneliti pendapat badan fatwa semasa, Dar al-Ifta’ Jordan menerusi Samahah al-Mufti Dr. Naddhal Sultan pernah mengemukakan fatwa yang menyebut: “Tidak boleh untuk
seseorang lelaki melakukan korban untuk orang lain tanpa
keizinannya melainkan jika dia melakukan korban untuk ahli keluarganya, atau seorang wali melakukan korban untuk orang yang berada di bawah wilayahnya, atau pemerintah
menggunakan baitulmal melakukan ibadah korban untuk kaum muslimin.
” (Lihat Min Ahkam al-Udhiyah, diterbitkan pada 20/9/2015 di laman web http://aliftaa.jo/)[1]

Berdasarkan kepada beberapa pandangan di atas, kami ber-pendapat bahawa dibolehkan untuk pemerintah melalui baitulmal memperuntukkan haiwan korban untuk kaum muslimin. Kami juga menyatakan  bahawa isu ini wajar diberikan perhatian dan tumpuan kepada kawasan di mana golongan fakir dan miskin yang ramai dan tidak ada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban di tempat tersebut. Justeru, tindakan pemerintah melalui baitulmal mengeluarkan bantuan haiwan korban ada manfaat serta kebaikannya dalam menzahirkan syiar Islam.

Sebagai contoh kawasan yang sesuai adalah seperti di perkampungan orang-orang asli yang beragama Islam dan tidak mampu untuk membeli lembu ataupun haiwan korban yang lain. Tetapi jika di tempat-tempat yang biasa dan terdapat daripada
kalangan penduduknya yang mampu untuk melakukan ibadah korban maka hendaklah mereka lakukannya dengan tujuan untuk mengagungkan syiar Islam.

Rasulullah SAW telah memberikan peringatan tegas kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak mahu melakukan ibadah korban dengan sabda baginda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا

Maksudnya: Sesiapa yang memiliki kelapangan (kemampuan) dan tidak melakukan ibadah korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.

Riwayat Ibn Majah (3123)

Kami juga mencadangkan kepada orang yang menjadi wakil kepada pihak pemerintah dalam bahagian korban itu untuk berniat korban seperti berikut: “Inilah korban aku dan kaum Muslimin kerana Allah SWT.”

Ini berdasarkan kepada sabdaan Rasulullah SAW ketika hendak menyembelih korban:

بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّد

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah korban dari Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad.”

Riwayat Muslim (1967)

Semoga pencerahan ini akan menatijahkan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam melaksanakan ibadah korban dan menjadikan kita golongan yang meninggikan syiar Islam kerana ianya melambangkan taqwa yang berada di dalam dada. Firman Allah SWT:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia daripada tanda taqwanya hati.”

Surah Al-Hajj (32)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

 

[1] http://aliftaa.jo/ArticlePrint.aspx?ArticleId=307