Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar kita tidak diperdaya dan dikuasai oleh syaitan ketika kita meninggal dunia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara kepercayaan yang wajib bagi kita adalah, semua dari kalangan kita akan meninggal dunia dan menemui Tuhan. Benarlah firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”
(Surah al-Ankabut: 57)
Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197
Dalam menjawab persoalan di atas, hendaklah kita berdoa kepada Allah supaya kita dimatikan dalam husnul khatimah dan bukan su’ al-khatimah. Sebuah doa yang diajar kepada kita:
اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة
Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.”
Apa yang dipersoalkan tadi, memang terdapat sebuah hadith di mana Rasulullah SAW sering berdoa berdasarkan riwayat Abdullah bin Sa’id, daripada Saifi maula Abi Ayyub, daripada Abi al-Yusr, daripada Nabi SAW yang berdoa:
وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِي الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada dikuasa dan dikalahkan oleh syaitan ketika mati.
Riwayat Abu Dawud (1552), al-Nasa’i (5531) dan Ahmad (8453). Hadis sahih.
Oleh kerana itu, tidak peliklah kita diajar untuk sentiasa berdoa agar kematian kita dalam keadaan baik dan husn al-khatimah. Membaca sejarah para ulama’ sementalahan lagi sirah Nabi SAW, kita dapati bagaimana Allah kurniakan kepada mereka husn al-khatimah.
Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”