Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah nabi-nabi zaman dahulu takutkan Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebenarnya mereka adalah golongan yang amat takutkan Allah. Benarkah firman Allah SWT:

وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ

Maksudnya: Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 41)

Firman Allah SWT:

فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ

Maksudnya: Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu).

(Surah Ali ‘Imran: 175)

Wahb berkata: Nabi Adam AS menangisi kehilangan syurga selama tiga ratus tahun, dan baginda tidak pernah mengangkat kepalanya ke langit selepas melakukan kesalahan.

Wuhaib bin al-Ward pula berkata: Ketika Allah Ta’ala menegur Nabi Nuh AS berkenaan anaknya dengan firman-Nya:

 إِنِّي أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Aku menasihatimu agar kamu tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang jahil”

(Surah Hud: 46)

Dikatakan Nabi Nuh AS menangis selama tiga ratus tahun sehingga di bawah kedua matanya terbentuk aliran seperti sungai kecil akibat tangisan tersebut.

Abu Darda R.A berkata: Apabila Nabi Ibrahim AS bangkit untuk solat, dada baginda akan mengeluarkan bunyi seperti gemuruh akibat rasa takut kepada Allah SWT.

Mujahid berkata: Ketika Nabi Daud AS melakukan kesalahan, baginda bersujud kepada Allah selama empat puluh hari sehingga daripada tangisan matanya tumbuh tumbuhan kecil yang menutupi kepalanya. Kemudian baginda merintih, “Ya Tuhanku, dahi ini telah terluka, mata ini telah membeku, tetapi Daud masih tidak menemui jalan keluar daripada dosanya.” Lalu terdengar seruan: “Adakah engkau sedang lapar sehingga perlu diberi makan? Atau sakit sehingga perlu disembuhkan? Atau dizalimi sehingga perlu dibela?” Maka baginda menangis dengan tangisan yang sangat kuat sehingga tumbuhan-tumbuhan kecil itu bergoncang. Pada saat itulah Allah mengampunkan baginda.

Dikatakan bahawa Nabi Daud AS sering mengunjungi manusia, dan mereka menyangka baginda sedang sakit, sedangkan baginda hanya dilanda rasa takut yang sangat mendalam kepada Allah SWT.

Nabi Isa AS, apabila mengingatkan tentang kematian, kulit baginda akan mengeluarkan titisan darah.

Nabi Yahya bin Zakaria Alaihimassalam menangis sehingga kelihatan gigi gerahamnya. Lalu ibunya membuatkan dua kepingan kain tebal (daripada bulu), kemudian melekatkannya pada kedua pipi baginda. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 296)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”