Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat doa daripada Nabi SAW ketika menghadapi bala?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Baqarah: 155)
Ibn Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/344)
Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah S.W.T dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi; 1/467)
Antara doa ketika bala ialah:
- Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: Nabi SAW biasa berdoa ketika menghadapi kesusahan atau kesulitan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَرَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
Maksudnya: “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Agung lagi Maha Penyantun, tiada tuhan melainkan Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi, serta Tuhan yang memiliki Arasy (singgahsana) yang agung.”
Riwayat al-Bukhari (6346) dan Muslim (2730)
- Daripada Abd al-Rahman bin Abi Bakrah, bahawa beliau berkata kepada bapanya: Wahai ayahku, sesungguhnya aku mendengar engkau berdoa setiap pagi:
اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah, peliharalah aku pada tubuhku, Ya Allah, peliharalah aku pada pendengaranku, Ya Allah, peliharalah aku pada penglihatanku, tiada tuhan melainkan Engkau.”
Engkau mengulanginya sebanyak tiga kali ketika petang dan tiga kali ketika pagi.
Dan engkau juga berkata:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, tiada tuhan melainkan Engkau.”
Engkau mengulanginya sebanyak tiga kali ketika petang dan tiga kali ketika pagi.
Maka ayahku menjawab: “Benar, wahai anakku. Aku mendengar Rasulullah ﷺ mengucapkan doa-doa ini, dan aku ingin mengikuti sunnah Baginda.”
Beliau berkata lagi, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa orang yang ditimpa kesulitan:
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، لَا إِلَهَ أَلَا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, rahmat-Mu yang aku harapkan. Janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata. Perbaikilah segala urusanku. Tiada tuhan melainkan Engkau.”
Riwayat Abu Dawud (5090) dan hadith ini hasan.
- Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: Nabi SAW biasa membaca doa berikut ketika menghadapi kesusahan atau kesulitan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ، اللَّهُمَّ اصْرِفْ شَرَّهُ
Maksudnya: “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Penyantun, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Tuhan yang memiliki Arasy (singgahsana) yang agung, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Tuhan langit, Tuhan bumi, dan Tuhan Arasy yang mulia. Ya Allah, jauhkanlah keburukan daripadanya.”
Riwayat al-Bukhari (6346) dan Muslim (2730)
Semoga Allah SWT lindungkan kita daripada sebarang bala yang kita tidak mampu menanganinya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”