Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca sebuah hadith yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ Nabi SAW ke Baitul Maqdis, ketika Baginda mengimamkan para nabi lain. Persoalan yang timbul, macam mana solat itu didirikan sedangkan Baginda belum Mi’raj ke langit untuk mengambil kefardhuan solat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kisah ini ada disebutkan dalam hadith yang disampaikan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي الْحِجْرِ وَقُرَيْشٌ تَسْأَلُنِي عَنْ مَسْرَايَ، فَسَأَلَتْنِي عَنْ أَشْيَاءَ مِنْ بَيْتِ الْمَقْدِسِ لَمْ أُثْبِتْهَا، فَكُرِبْتُ كُرْبَةً مَا كُرِبْتُ مِثْلَهُ قَطُّ. قَالَ: فَرَفَعَهُ اللَّهُ لِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ مَا يَسْأَلُونِي عَنْ شَيْءٍ إِلاَّ أَنْبَأْتُهُمْ بِهِ وَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي جَمَاعَةٍ مِنَ الأَنْبِيَاءِ فَإِذَا مُوسَى قَائِمٌ يُصَلِّي فَإِذَا رَجُلٌ ضَرْبٌ جَعْدٌ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ، وَإِذَا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ قَائِمٌ يُصَلِّي أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ الثَّقَفِيُّ وَإِذَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ قَائِمٌ يُصَلِّي أَشْبَهُ النَّاسِ بِهِ صَاحِبُكُمْ – يَعْنِي نَفْسَهُ –، فَحَانَتِ الصَّلاَةُ فَأَمَمْتُهُمْ. فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنَ الصَّلاَةِ، قَالَ قَائِلٌ: يَا مُحَمَّدُ هَذَا مَالِكٌ صَاحِبُ النَّارِ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَبَدَأَنِي بِالسَّلاَمِ

Maksudnya: “Aku melihat ketika aku berdiri di al-Hijr (Hijr Isma‘il), dan kaum Quraisy bertanya tentang perjalanan Isra’ku. Mereka bertanya tentang ciri-ciri Bait al-Maqdis yang mana aku tidak mengingatinya. Maka aku dilanda kesedihan yang amat kerana tidak dapat menjawab pertanyaan mereka. Lalu, Allah memperlihatkan kepadaku apa yang mereka tanyakan dengan jelas sehingga aku boleh menjawab apa yang mereka tanyakan itu. Antara yang aku lihat ialah sekumpulan para nabi, antaranya Musa A.S yang sedang solat, rambutnya kerinting seperti orang daripada Bani Syanu’ah, aku juga melihat ‘Isa bin Maryam A.S juga sedang solat, wajahnya seperti Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi, aku juga melihat Nabi Ibrahim A.S yang juga sedang solat, wajahnya serupa sahabat kalian – yakni diri Baginda sendiri –. Apabila tiba waktu solat, aku mengimami mereka semua. Setelah selesai solat, seorang malaikat (dikatakan Jibril A.S) berkata: ‘Wahai Muhammad, ini malaikat yang menjaga Neraka, maka berikanlah salam kepadanya.’ Aku pun menoleh ke arahnya, tetapi dia memberikan salam terlebih dahulu.”

Riwayat Muslim (172)

Adapun kaifiyat solat itu, ia pada hakikatnya bukanlah perkara yang baru bagi Rasulullah SAW, kerana Baginda telah dituntut untuk mendirikan solat qiamullail sejak dari awal kedatangan Islam. Firman Allah SWT kepada Nabi-Nya:

قُمِ ٱلَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat).”

(Surah al-Muzzammil: 2)

Fakhruddin al-Razi membawakan riwayat Ibn ‘Abbas R.A bahawa solat qiamullail dahulu telah difardhukan ke atas Baginda SAW, kemudian kewajipan tersebut dimansukhkan menjadi sunat sahaja. Terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama’ tentang perkara yang memansukhkan solat tersebut, dan salah satu darinya mengatakan ia diganti dengan solat lima waktu. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/581)

Ibn Rejab juga mengatakan bahawa hadith-hadith yang menceritakan tentang Rasulullah SAW mendirikan solat sebelum berlakunya peristiwa Isra’ amatlah banyak, dan ini membuktikan bahawa ibadah solat secara umumnya telah disyari‘atkan sejak dari awal kenabian lagi, tetapi solat pada lima waktu yang khusus masih belum diwajibkan sebelum peristiwa Isra’. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rejab, 2/102-103)

Imam al-Nawawi sendiri telah menjelaskan isu berkenaan solat Rasulullah SAW bersama para nabi ini di dalam fatwa beliau. Katanya, telah sabit bahawa Nabi kita SAW telah mengimamkan para nabi – selawat dan salam Allah ke atas mereka semua – dalam solat pada malam Isra’ di Baitul Maqdis. Kemudian, ada kemungkinan bahawa solat itu dilakukan sebelum Baginda naik ke langit (Mi‘raj), dan ada juga kemungkinan ia dilakukan selepas Baginda turun darinya. Para ulama berbeza pendapat mengenai bentuk solat yang didirikan itu:

  • Sebahagian mereka berpendapat bahawa ia adalah solat dari sudut bahasa, iaitu doa dan zikir.
  • Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa ia adalah solat yang telah sedia maklum, dan pendapat ini lebih sahih. Ini kerana sesuatu lafaz hendaklah ditafsirkan berdasarkan hakikat syara‘ sebelum menurut hakikatnya secara bahasa. Ia hanya boleh ditafsirkan secara bahasa jika mustahil untuk memahaminya mengikut makna syara‘, sedangkan dalam kes ini ia tidak mustahil, maka wajib ditafsirkan sebagai solat menurut syara‘.

Solat telah diwajibkan sebelum malam Isra’, dan kewajipan ketika itu ialah mendirikan sebahagian daripada waktu malam sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam Surah al-Muzzammil. (Lihat al-Masa’il al-Manthurah, hlm. 19)

Kesimpulan

Kami katakan sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh Imam al-Nawawi, bahawa solat nabi bersama para nabi itu adalah sebagaimana solat yang telah kita ketahui hari ini – dan Allah SWT serta Rasul-Nya jua yang lebih mengetahui akan kebenarannya. Tidak ada sebarang isyarat atau hujah yang kuat untuk mengatakan bahawa sifat solat Nabi SAW semasa peristiwa Isra’ itu berbeza dengan sifat solat setelah menerima kefardhuan solat lima waktu.

Semoga penjelasan ini dapat mengangkat kekeliruan kita, serta menjadi asbab penghayatan kita terhadap peristiwa Isra’ dan Mi‘raj. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam