Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Banyak  cabaran dalam isu mendidik akhir akhir ini. Bagaimana untuk mengatasinya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403), al-Baihaqi (2365) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/263). Imam al-Suyuti dalam Jami‘ al-Saghir (9/514) menyatakan sanad hadith ini sahih.

Dalam usaha mendidik anak bangsa mencapai sosok peribadi unggul, maka sudah tentu terdapat beberapa isu  dan cabaran yang timbul. Kami nyatakan di sini beberapa permasalahan tersebut:

  1. Pelajar atau murid tidak lagi menjadi.

Sifat ‘kemenjadian murid’ tampak kabur dan di luar sasaran. Jenayah kolar putih makin bertambah. Ini memaknakan ilmu yang dikutip tidak dapat menjadi benteng untuk dirinya dalam menghindari kancah maksiat, jenayah, rasuah. Penawarnya, tazkiahkan dulu guru sebagai murabbi. Sesungguhnya, seorang guru yang hebat akan melahirkan murid yang hebat dari pelbagai aspek, seperti:

  • Hebat ilmunya
  • Hebat peribadinya
  • Hebat pemikirannya
  • Hebat tindakannya
  • Hebat hikmahnya

Imam Syafie berbangga dengan gurunya Imam Malik. Dalam memuji gurunya, beliau pernah mengungkapkan:

إِذَا ذُكر العُلَمَاءُ فَمَالِكٌ النَّجْمُ ، وَمَا أَحَدٌ أَمَنُّ عَلَيَّ مِنْ مَالِكِ بْنِ أَنَسٍ

Maksudnya: “Apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintang yang paling bercahaya. Tiada seorang pun yang aku rasa lebih selamat dan percaya daripada Malik bin Anas. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 15/56; al-Hilyah, 6/318; al-Intiqa’, hlm. 23)

Beliau turut berkata:

مَالِكٌ حُجَّةُ اللهِ عَلَى خَلْقِهِ بَعْدَ التَّابِعِيْنَ

Maksudnya: “Malik adalah hujah Allah di atas muka bumi terhadap makhluknya selepas tabi’in.” (Lihat Tahzib Tahzib al-Kamal, 8/355)

  1. Isu akhlak adalah amat penting.

Beza antara patuh kerana peraturan dengan patuh dari dalaman jiwa yang bersih amat ketara. Ini kerana, apabila peraturan lemah atau penguatkuasaan lemah, tanpa segan silu akan disanggah dan dilanggar. Sebaliknya, jika daripada jiwa yang bersih, dia tetap patuh kerana terbit dari hati nurani yang takutkan Allah.

Tatkala pincangnya akhlak, ia akan melahirkan petaka kepada generasi seterusnya. Peri pentingnya akhlak, sehingga penyair dan pujangga Arab terkemuka dari Mesir pada kurun ini, Ahmad Syauqi pernah mengungkapkan:

إِنَّمَـا الأُمَـمُ الأَخْـلاقُ مَا بَقِيَـتْ           فَـإِنْ هُمُ ذَهَبَـتْ أَخْـلاقُهُمْ ذَهَبُـوا

“Sebuah peradaban itu akan tetap kekal selama adanya akhlak

Apabila akhlaknya telah lenyap maka lenyaplah peradaban itu.”

Dengan sebab itu Ibn Mubarak berkata:

نَحْنُ إِلَى قَلِيلٍ مِنَ الْأَدَبِ أَحْوَجُ مِنَّا إِلَى كَثِيرٍ مِنَ الْعِلْم

Maksudnya: “Kita lebih berhajat kepada adab (walau) sedikit berbanding dari memiliki ilmu yang banyak.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/356)

Kata Ibn al-Qayyim pula:

وَالْأَدَبُ هُوَ الدِّينُ كُلُّهُ

Maksudnya: “Adab itu merupakan agama keseluruhannya.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/356)

Akhlak dan adab inilah yang dituntut oleh ulama’ tasawwuf seperti Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin, Ibn Qayyim dalam Madarij al-Salikin, Imam al-Qusyairi dalam Risalah al-Qusairiyyah dan lain-lain lagi.

  1. Jiwa murabbi

Ada yang menjadi guru tapi belum sempurna jiwa ‘keguruan’ dan murabbi padanya. Natijahnya, pembelajaran menjadi kaku seperti melepaskan batuk di tangga.

Dikisahkan Imam Abdul Qadir Jailani mewakilkan anaknya berceramah. Dihafaznya dalil-dalil dan hujah. Tetapi murid-muridnya tidak berasa apa-apa. Kemudian Syeikh mengambil tempat ceramah dengan menceritakan kisah isterinya memasak ikan dan seekor kucing naik ke tempat penyimpanan ikan itu, lalu memakannya. Terus murid-muridnya menangis. Inilah keikhlasan dan tautan hati. Sifat ‘murabbi’ terwujud dalam diri Syeikh Abdul Qadir Jailani.

  1. Penambahan ilmu

Membaca, mengkaji, dan menambah ilmu adalah permulaan kepada lakaran kejayaan dalam kamus guru atau murabbi. Jika dilihat tokoh-tokoh yang hebat, buku tidak lekang dari tangan mereka. Bacalah sejarah mereka, maka sudah pasti kita akan berasa kagum dan takjub, bagaimana sikap mereka terhadap ilmu dan buku. Saya telah kemukakan sebuah buku bertajuk ‘Kuasa Iqra’. Ia amat sarat dengan contoh dan himmah mereka dalam menuntut ilmu serta membaca.

Sebagai contoh, Imam al-Syaukani dalam kitabnya, al-Badru al-Tali’ menyebut biografi Ibn al-Rifa’ah yang nama sebenarnya Ahmad bin Muhammad bin Ali al-Misri, seorang yang faqih bermazhab Syafi’e. Lahir pada tahun 645 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 710 Hijrah. Beliau adalah amat menekuni ilmu sekalipun ketika sakit dan dalam keadaan jika bajunya tersentuh tubuhnya akan merasa sakit. Walaupun begitu, beliau sentiasa melihat kepada kitab, membaca dan kadang-kadang mukanya menekuni kitab untuk mentelaah. Itulah kesungguhan beliau dalam membaca. (Lihat Masa: Peliharalah, hlm. 38-39)

  1. Kefahaman ilmu

Kefahaman adalah satu elemen terpenting dalam proses mendapatkan ilmu. Disebut dalam satu ungkapan:

أُوتُوا عُلُومًا وَلَمْ يُؤتُوا فُهُومًا وَأُوتُوا ذَكَاءً وَلَمْ يُؤتٌوا زَكَاءً

Maksudnya: Mereka (ahli kalam itu), dikurniakan ilmu tetapi tidak dikurniakan kefahaman. Begitu juga mereka dikurniakan kecerdikan, tetapi tidak dikurniakan kebersihan jiwa. (Lihat Maqalat fi al-Mazahib wa al-Firaq, hlm. 71)

Saidina Umar pernah menulis surat kepada Abu Musa al-Asy’ari, dan disebut:

الْفَهْمَ الْفَهْمَ

Maksudnya: “Fahamilah, maka fahamilah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20844)

Imam al-Qarafi pernah menyebut, kefahaman dalam berinteraksi dengan nas itu terbahagi kepada dua, iaitu:

  • Fahm al-Nas (memahami nas)
  • Fahm murad al-Nas (memahami kehendak nas)

Kedua-duanya amat penting dalam kefahaman satu-satu bidang ilmu. Ia tidaklah sama antara seseorang dengan yang lain kerana tahap kefahaman dan kemampuan mencerap ilmu adalah tidak sama.

  1. Membumikan ilmu

Inilah cabaran terbesar dalam kehidupan. Setiap yang diletak secara ‘nazari’ teori belum tentu mudah dan senang untuk ditatbiqkan (dilaksanakan) dalam alam realiti kerana cabarannya amat berbeza. Kemampuan mengolahkannya tidak sama. Seorang yang handal dalam teori, tidak semestinya mudah apabila ditaklifkan pelaksanaannya dalam lapangan kehidupan. Inilah realiti yang perlu difahami.

Kerana itu, Abdullah ibn al-Mu’taz berkata:

عِلْمٌ بِلَا عَمَلٍ كَشَجَرَةٍ بِلَا ثَمَرَ

Maksudnya: “Ilmu tanpa amal samalah seperti pohon kayu yang diharapkan buahnya, tetapi tidak berbuah.”  (Lihat Lawami’ al-Durar, 4/158)

  1. Guru (murabbi) sebagai pendakwah

Kisah antaranya telah ditanya oleh seorang pelajar dengan penuh semangat kepada Syeikh Muhammad al-Ghazali tentang hukum orang meninggalkan solat. Dalam isu ini, ulama’ feqah terbahagi kepada dua pendapat:

  • Sebagaimana pendapat mazhab Hanbali dan sebahagian ahli hadis berdasarkan kepada zahir nas.
  • Inilah pendapat jumhur termasuk Imam Syafie.

Menariknya, Syeikh Muhammad al-Ghazali tidak menjawab seperti di atas, tetapi menjawab sebagai pendakwah seraya berkata: “Kau pergi kepada orang tersebut dan pimpin tangannya serta bawalah dia ke masjid, berwuduklah bersamanya, dan kamu menjadi imam, dia menjadi makmum untuk solat berjemaah.” Jawapan penuh dengan hikmah dan terserlah sifat pendakwah yang ulung dan unggul. Inilah yang kita dambakan kepada guru sebagai murabbi ummah.

Penutup

Isu  pendidikan serta mewajahkan pelajar dengan sifat insani dan ehsani yang akhirnya mentahqiqkan ubudiyyah kepada Allah adalah amat penting. Itulah antara peranan para Rasul dan Nabi Alaihimussolatu wassalam. Manusia sifatnya boleh diajar, diasuh, dididik, dibentuk sehingga kemenjadiannya sebagai hamba Allah yang soleh dan khalifah-Nya di muka bumi dapat direalisasikan. Ini bersumberkan kepada murabbi atau guru yang mempunyai sifat-sifat yang unggul sehingga terkesannya murid dalam membentuk peribadi yang agung.

Contoh yang terbaik, Rasulullah SAW melalui madrasahnya, maka lahirlah tokoh siyasah yang terbaik dan terunggul di sepanjang zaman seperti Abu Bakar dan Umar dengan bersumberkan wahyu Ilahi dan Hadyun Nabawi. Panglima tentera yang luar biasa seperti Khalid al-Walid, al-Qa’qa’ dan ramai lagi yang begitu mentaati titah perintah Allah dengan sebaik mungkin juga lahir daripada madrasah yang sama. Usahawan yang luar biasa dengan kekayaan yang melimpah-ruah, yang sentiasa patuh kepada sistem muamalat Islam tanpa sebarang pelanggaran hukum seperti riba dan lain-lain juga sama. Contoh yang terbaik, kita boleh lihat pada sosok Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan.

Semoga jawapan ringkas ini dapat memberi satu pencerahan kepada seluruh para pendidik dan menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan dalam mendidik pelajarnya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اهْدِنَا لِأَحْسَنِ الْأَعْمَالِ وَأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَقِنَا سَيِّئَ الْأَعْمَالِ وَسَيِّئَ الْأَخْلَاقِ لَا يَقِي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukilah kami amal dan akhlak yang terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkan kami kepadanya kecuali Engkau. Jauhkanlah kami dari amal dan akhlak yang buruk. Tidak ada yang dapat menjauhkanku darinya kecuali Engkau.”