Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan Khalifah Umar bin Abdul Aziz? Bolehkah kita katakan bahawa beliau termasuk salah seorang tokoh muslih yang unggul? Apakah pembaharuan yang dibawa olehnya yang wajar dicontohi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Al-Qurtubi menukilkan pendapat Ibnu Mas’ud yang berkata, “Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini dan makna Allah SWT mengangkat golongan yang berilmu atas yang beriman yang tidak dikurniakan ilmu dengan beberapa darjat pada agama mereka apabila mereka melakukan apa-apa yang diperintahkan.”
Sebelum menjawab persoalan ini, kami nyatakan dua istilah. Pertama, soleh iaitu seseorang yang sifatnya baik serta patuh pada ajaran Islam yang sebenarnya. Orang seperti ini amat ramai.
Keduanya, muslih iaitu orang yang di samping dia baik, dia akan membaik dan mengubah rakan taulan dan masyarakatnya untuk menjadi baik. Orang yang kedua inilah, yang biasanya melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan sentiasa menasihati ummah. Biasanya golongan kedua ini amat dibenci oleh pemerintah dan ahli maksiat. Tidak peliklah, Allah SWT memuji golongan seperti ini kerana inilah amalan dan tugasan para Nabi dan Rasul alaihimussolatu wassalam.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, antara tokoh muslih yang nampak kesannya sampai sekarang dan sifatnya serentak sama ada dari segi agama mahupun pemerintahan negara ialah Khalifah Umar bin Abd al-’Aziz. Kami nyatakan di sini beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh Saidina Umar bin Abd al-’Aziz dalam mengislahkan pentadbiran yang hampir mirip kepada Khalifah Umar bin al-Khattab R.A. Antaranya:
Pertama: Memperkasakan Agama
Antara usaha yang dilakukannya ialah:
- Usaha Memulihkan Akhlak
Selepas berakhirnya zaman Khulafa al-Rasyidin, khalifah-khalifah yang muncul kemudiannya lebih berperanan sebagai raja dan pentadbir. Mereka tidak berupaya atau tidak ada masa untuk mengambil berat mengenai keadaan moral dan sosial rakyatnya. Para khalifah tidak bertindak untuk menasihati orang ramai dalam hal ehwal agama, atau bertindak memajukan keadaan rohani dan agama mereka, ataupun berperanan sebagai khatib di atas mimbar. Kerja tersebut dianggap sebagai bidang para ulama dan tokoh agama.
Umar Ibn Abdul Aziz menghapuskan sikap tersebut dan beliau membuktikan bahawa dirinya benar-benar sebagai pengganti Rasulullah SAW. Sebaik sahaja menjadi khalifah beliau mengeluarkan arahan-arahan panjang lebar yang lebih menekankan pembaharuan moral dan agama daripada hal ehwal pentadbiran semata-mata.
Dalam surat-suratnya, beliau membandingkan keadaan sosial dan moral rakyat di zamannya dengan keadaan yang wujud pada zaman Nabi SAW, dan para khalifah yang awal, serta menghuraikan sistem pentadbiran dan kewangan yang diperlukan untuk menghidupkan semula Islam dalam masyarakat. Beliau menekankan kepada para gabenor dan panglima perang mengenai kepentingan solat tepat pada waktunya serta mengimamkan solat berjemaah tersebut.
Beliau mengingatkan kakitangan awam supaya meningkatkan takwa mereka dan menjunjung perintah syariah. Beliau mempertanggungjawabkan pegawai-pegawai beliau dengan tugas menyebarkan Islam di daerah-daerah pentadbiran masing-masing. Beliau menganggap penyebaran risalah Islam tersebut sebagai tujuan tunggal wahyu Allah SWT dan kenabian Muhammad SAW.
Beliau sentiasa menyuruh rakyat jelatanya melaksanakan perkara yang makruf dan mencegah sebarang bentuk kemungkaran serta memberi amaran keras mengenai kesan buruk daripada kegagalan menunaikan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar tersebut. Umar Ibn Abdul Aziz juga menghuraikan undang-undang jenayah dalam Islam serta menyuruh para qadi supaya bersikap sederhana tatkala menjatuhkan hukuman. Beliau menarik perhatian terhadap penyelewengan dan bidaah serta adat istiadat dan tradisi asing yang telah meresap ke dalam kehidupan masyarakat.
Beliau mengharamkan perbuatan meratap yang berlebihan dan memberhentikan amalan yang menghendaki kaum wanita menyertai perarakan jenazah serta kehadiran mereka di khalayak ramai.
Beliau mengutuk sifat kepuakan, serta mencegah kecuaian dalam penggunaan air perahan anggur yang membawa kepada majlis minum arak dan kemungkaran yang lain.
- Pengumpulan Hadis
Pengajian dan pengembangan ilmu-ilmu agama juga mendapat perhatian Umar Ibn Abdul Aziz. Beliau menarik perhatian Abu Bakar Ibn Hazm, seorang ulama besar pada zaman itu terhadap pengumpulan hadis-hadis Rasulullah SAW dengan menulis warkah kepadanya: “Tuliskan apa-apa hadis Rasulullah SAW yang kamu dapat kumpulkan, kerana aku bimbang bahawa setelah meninggalnya para muhaddithin, ilmu hadis pun turut hilang.”
Beliau menyebut tentang hadis-hadis himpunan umrah Abd al-Rahman al-Ansariyyah dan Qasim Ibn Muhammad Ibn Abu Bakar yang beliau kehendaki supaya dicatatkan.
Tugas ini juga ditanggungjawabkan kepada gabenor-gabenor wilayah dan ulama-ulama terkenal yang lain melalui surat pekeliling yang mengarahkan mereka agar mengumpulkan semua hadis Rasulullah SAW di mana sahaja hadis-hadis tersebut dapat ditemui.
Pada masa yang sama Umar Ibn Abdul Aziz turut memberikan saguhati kepada mereka yang diberi tugas tersebut supaya mereka dapat melaksanakannya dengan sepenuh hati. Umar Ibn Abdul Aziz sendiri ialah orang yang berilmu dan beliau menaruh minat pada bidang pentafsiran hadis dan penghuraian hukum syariah.
Pada permulaan khilafahnya beliau mengedarkan satu pengisytiharan yang berbunyi: “Islam telah meletakkan batas-batas, tugas dan tanggungjawab tertentu. Sesiapa yang menurutinya akan dibalas dengan iman yang benar, tetapi mereka yang lalai daripadanya, imannya tidak menjadi sempurna. Jika Allah SWT melanjutkan usiaku, nescaya aku akan mengajar kamu asas-asas agama dan membuat kamu menurutinya. Akan tetapi jika aku mati terlebih dahulu, maka aku tidak peduli, kerana aku tidak ingin bersama-sama kamu.”
- Pembela Agama
Pemikiran dan semangat Islam sejati yang cuba diserapkan oleh Umar Ibn Abdul Aziz di kalangan umat Islam, dan dilaksanakan dalam pentadbirannya, dapat dinilai berdasarkan surat-surat dan arahan-arahan beliau kepada pelbagai jabatan dalam kerajaannya. Surat-surat tersebut menunjukkan kefahaman beliau yang mendalam mengenai Islam tanpa bercampur sedikit pun dengan unsur-unsur jahiliyyah atau kepentingan keluarga diraja Bani Umayyah.
Beliau menerima laporan bahawa beberapa ketua qabilah dan orang bangsawan Bani Umayyah telah menghidupkan semula adat jahiliyyah dengan membuat pakatan saling bantu membantu ketika berlaku perang, berdasarkan semangat Abasiyyah. Adat ini menggugat konsep persaudaraan dalam Islam dan sistem sosial yang hendak dibentuknya.
Pemerintah-pemerintah yang terdahulu mungkin tidak mengendahkan hal tersebut ataupun menggalakkan amalan tersebut demi muslihat siasah, akan tetapi Umar Ibn Abdul Aziz amat menyedari kesan buruk amalan itu. Beliau mengarahkan Dahhak Ibn Abdul Rahman membendung kejahatan tersebut dengan menyatakan:
“Segala puji bagi Allah dan Rasul-Nya. Adapun kemu¬dian daripada itu, maka hendaklah kamu ketahui bahawa Allah SWT hanya redha dengan agama Islam, agama yang dipilih-Nya bagi hamba-hamba-Nya.” Allah SWT telah memuliakan agama-Nya dengan sebuah Kitab, yang telah membezakan Islam daripada agama lain. Allah SWT berfirman:
قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ۚ قَدْ جَاءَكُم مِّنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُّبِينٌ ﴿١٥﴾ يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.”
(Surah al-Maidah: 15-16)
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT juga berfirman:
وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ ۗ وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا مُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Maksudnya: “Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan al-Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran ia diturunkan, dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).”
(Surah al-Isra’: 105)
Allah SWT mengurniakan pangkat Nubuwwah ke atas Nabi SAW, dan memberinya sebuah al-Kitab (al-Quran al-Karim). Maka wahai bangsa Arab, sebagaimana yang kamu ketahui, kamu hidup dalam kejahilan, keberhalaan dan kekotoran, kamu tenggelam dalam kemiskinan, kehuru-haraan dan kekeliruan, peperangan dan pencabulan. Tidak ada jenis kekejian dan kerendahan akhlak yang tidak ditemui pada diri kamu. Jika kamu hidup, maka kehidupan kamu diseliputi kejahilan dan kekejian, dan jika kamu mati, nescaya kamu dihumbankan ke dalam neraka.
Akhirnya Allah SWT menyelamatkan kamu daripada segala kekejian tersebut, daripada keber-halaan, kehuru-haraan dan peperangan. Walaupun ramai di antara kamu mengingkari dan melawan Nabi Allah, namun Nabi SAW tetap bersabar dan meneruskan usahanya sehingga beberapa orang miskin menyahut seruannya.
Orang-orang ini sentiasa dalam ketakutan dan mereka mencari perlindungan sehingga Allah melindungi mereka dan memberikan kekuatan kepada mereka dengan ber¬tambahnya orang yang dipilih oleh-Nya untuk menerima petunjuk-Nya. Kemudian Nabi SAW, berpindah daripada dunia ini dan Allah terus menunaikan janji-Nya kepada utusan-Nya. Janji Allah SWT tidak berubah sekali-kali, tetapi tiada orang kecuali sebilangan kecil mereka yang beriman dengan apa yang telah dijanjikan Allah. Firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”
(Surah al-Taubah: 33)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: “Allah SWT menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
(Surah al-Nur: 55)
Allah SWT telah menunaikan janji-Nya kepada Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Maka, wahai kaum Muslimin ingatlah bahawa apa jua nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT ke atas kamu, maka itu semata-mata kerana keIslaman kamu. Kamu perolehi kemenangan terhadap musuh-musuh kamu di dunia dan kamu akan dibangkitkan sebagai saksi ke atas umat lain di akhirat kelak.
Kalau tidak kerana Islam, nescaya kamu tidak memperolehi perlindungan di dunia mahupun di akhirat, kamu tidak memiliki apa¬-apa pun yang menguatkan kamu, menyokong kamu atau melindungi kamu. Sekiranya kamu bernasib baik melihat janji yang dibuat oleh Allah SWT, maka hendaklah kamu mengharapkan kehidupan akhirat, kerana Allah SWT berfirman:
تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan, dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
(Surah al-Qasas: 83)
Aku mengingatkan kamu tentang bencana yang akan menimpa kamu jika kamu tidak bertindak menurut ajaran al-Quran. Pertumpahan darah, huru-hara, percakaran dan malapetaka yang kamu alami kerana meninggalkan petunjuk al-Quran, adalah sejarah yang baru berlalu.
Oleh itu, kamu hendaklah menjauhkan diri daripada larangan Allah SWT yang dinyatakan dalam kitab-Nya. Aku terpaksa menulis surat ini kerana beberapa laporan telah sampai kepadaku dari pedalaman mengenai mereka yang baru dihantar ke sana sebagai pegawai dan pentadbir.
Mereka tersebut adalah orang-orang yang jahil, bodoh dan tidak menyedari akan perintah Allah SWT. Mereka telah lupa tentang kurniaan Allah SWT ke atas mereka ataupun mereka tidak mensyukuri nikmat-nikmat Allah SWT yang mereka itu memang tidak layak menerimanya. Aku diberitahu bahawa mereka mencari pertolongan orang-orang Mudhar dan Yaman, kerana sangkaan mereka bahawa kabilah¬-kabilah tersebut adalah sekutu mereka. Maha Suci Allah, hanya Dialah yang berhak dipuji.
Sesungguhnya mereka ini merupakan kaum yang tidak mengenang budi, dan betapa mereka begitu cenderung kepada kematian, kemusnahan dan kebina¬saan! Mereka tidak mempunyai mata untuk melihat tempat hina yang dipilih oleh mereka, dan mereka tidak menyedari bagaimana mereka telah terlucut keamanan dan persauda¬raan. Sekarang aku menyedari bahawa orang jahat dan fasiq dibentuk oleh niatnya sendiri dan sesungguhnya neraka tidak diciptakan dengan sia-sia. Tidakkah pernah mereka mendengar perintah Allah SWT:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudaramu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Surah al-Hujurat: 10)
Dan tidakkah mereka mendengar petikan maksud ayat ini juga?
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
Aku diberitahu bahawa sesetengah kabilah telah membuat pakatan menolong satu sama lain menghadapi musuh-musuh mereka, sebagaimana yang biasa dilakukan mereka pada zaman jahiliyyah dahulu, sedangkan Rasulullah SAW telah melarang pakatan tolong menolong yang tidak bersyarat.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada pakatan (kepuakan) dalam Islam.” Pada zaman jahiliyyah, sekutu-sekutu mengharapkan pertolongan daripada sesama sendiri dalam setiap perjuangan yang zalim, tidak kira sama ada hal demikian membawa kepada penindasan atau kemungkaran, pencabulan perintah Allah SWT dan Nabi SAW.
“Aku memberikan amaran kepada sesiapa yang membaca suratku atau mendengar isi kandungannya, supaya jangan mencari perlindungan selain perlindungan Islam atau mencari persahabatan sesiapapun selain Allah SWT dan Rasul-Nya. Sekali lagi aku memberikan amaran kepada setiap orang dengan segala keupayaan yang ada pada arahanku, dan aku menjadikan Allah SWT sebagai saksi terhadap orang-orang tersebut, kerana sesungguhnya Dia menguasai di atas setiap makhluk dan Dia lebih hampir kepada setiap orang daripada urat lehernya.”
Arahan-arahan yang dikirim oleh Umar Ibn Abdul Aziz kepada panglima satu ekspedisi tentera, yang menggambarkan sejauh mana beliau menghayati ajaran al-Quran dan bagaimana beliau berbeza daripada pemimpin dan raja-raja yang lain pada zamannya.
- Penyebaran Islam
Usaha Umar Ibn Abdul Aziz tidak hanya terhad kepada penguatkuasaan hukum syariah sebagai hukum negara atau terhad kepada pemulihan umat Islam. Beliau juga mengambil berat tentang penyebaran Islam di kalangan orang bukan Islam. Usaha beliau ini juga berjaya disebabkan contoh peribadinya dengan hidupnya yang sederhana, sifat takwanya, keadilan dan ketulusan hatinya.
Al-Balaziri Rahimahullah menulis dalam Futuh al-Buldan: “Umar Ibn Abdul Aziz menulis tujuh pucuk surat kepada raja-raja di India, menjemput mereka memeluk Is¬lam. Beliau berjanji bahawa jika mereka berbuat demikian, beliau akan menjamin keselamatan kerajaan mereka, dan hak-hak serta kewajipan mereka akan sama dengan umat Islam lain.”
“Nama dan kemasyhuran Umar Ibn Abdul Aziz telah sampai kepada negeri-negeri tersebut dan apabila mereka menerima perutusan Umar, mereka memeluk Islam dan mengambil nama-nama Arab.”
“Ismail Ibn Abdullah Ibn Abi al-Muhajir, Gabenor Maghribi (di barat daya Afrika), telah mentadbir negeri itu dengan adil dan menunjukkan peribadi dan akhlak yang baik. Beliau mengadakan usaha dakwah di kalangan kabilah-kabilah Barbar. Kemudian Umar Ibn Abdul Aziz mengirim surat mengajak penduduk tempatan itu memeluk Islam. Surat ini dibacakan dalam perhimpunan-perhimpu¬nan yang besar oleh Ismail. Ramai orang memeluk Islam dan akhirnya Islam menjadi agama rasmi di negeri itu.”
“….Umar Ibn Abdul Aziz juga menulis surat kepada para ketua dan pemerintah di Transoxiana (Ma Waraa’ al-Nahri) dan mengecualikan saudara-saudara baru daripada membayar jizyah. Beliau juga memberikan ganjaran dan saguhati kepada mereka yang memeluk Islam serta beliau mendirikan rumah-rumah rehat bagi pengembara.”
- Menyusun dan Menyebar Ilmu
Dikatakan bahawa antara kewajipan sesebuah kerajaan ialah memudahkan dapatan dan carian ilmu bagi semua yang mampu. Tanggungjawab ini termasuk dalam fardu kifayah yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan seperti yang disebutkan di dalam Nizam al-Islam (hal. 114). Antara tindakan yang dilakukan oleh Umar Ibn Abdul Aziz ialah:
- Menghantar seorang ulama Madinah yang terkemuka, Nafi’ Rahimahullah, iaitu maula kepada Ibn Umar ke Mesir untuk mengajar mereka ilmu sunnah.
- Menghantar 10 orang fuqaha Mesir di kalangan tabiin ke Negeri Afrika untuk mengajar mereka dan menyebarkan hadis Rasulullah. Sepuluh orang tersebut ialah:
- Abu Thumamah Bakar bin Sawadah Rahimahullah, seorang yang thiqah lagi faqih dan merupakan seorang mufti.
- Abdul Rahman bin Rafi’ al-Tanukhi Rahimahullah, yang menjadi qadi di Afrika.
- Abdullah bin Yazid al-Mu’afiri Rahimahullah, seorang yang thiqah, soleh lagi fadhil.
- Talaq bin Ja’ban Rahimahullah, dihantar ke Maghribi.
- Sa’d bin Mas’ud al-Tujaibi Rahimahullah, dihantar kepada penduduk al-Qairawan.
- Ismail bin Abdullah al-Ansari Rahimahullah, yang membina Masjid Besar Qairawan
- Ismail bin Ubaidillah bin Abi al-Muhajir Rahimahullah, seorang yang thiqah.
- Abu Said Ju’sul bin Ha’an al-Ru’aini Rahimahullah, dihantar untuk mengajar al-Quran.
- Hibban bin Abi Jabalah al-Qurasyi Rahimahullah.
- Mauhab bin Hayy al-Mu’afiri Rahimahullah.
- Menghantar Yazid bin Abi Malik al-Dimasyqi Rahimahullah dan Harith bin Yamjud Rahimahullah untuk mengajar orang pedalaman dan Badwi.
- Mengirim dan menghantar buku-buku agama berkaitan sunnah dan fiqh serta memerintahkan mereka menghidupkan sunnah Nabi dan beriltizam dengan syariat.
- Sebab-sebab yang mendorong penyebaran ilmu adalah tiga perkara, iaitu:
- Memberi sagu hati dan gaji yang besar dengan mencukupkan keperluan kehidupan mereka sama ada mereka terdiri daripada golongan faqih, qari’, muhaddith termasuk pelajar yang menumpukan kepada ilmu semata-mata.
- Menggesa dan menggalakkan ulama untuk menyebarkan ilmu secara berterang-terangan di samping menjadikan masjid sebagai markaz pengajaran manusia dalam urusan berkaitan agama.
- Menggalakkan orang ramai mencintai ilmu, duduk dalam halaqah ilmu serta mendengar majlis ilmu.
Kedua: Ekonomi
Antara dasar yang dilaksanakan ialah:
- Menghapuskan Cukai
Umar Ibn Abdul Aziz tidak hanya cermat pada dirinya sahaja, malah beliau sentiasa bersikap berhati-hati dalam segala urusan yang melibatkan harta negara. Gabenor Madinah, Abu Bakar Ibn Hazm telah membuat permohonan kepada Khalifah Sulaiman Ibn Abdul Malik untuk mendapatkan lilin dan cermin lampu pelita bagi kerja-kerja rasmi. Apabila permohonan tersebut sampai kepada khalifah, Sulaiman telah meninggal dunia, dan permohonan itu dibawa untuk perhatian Umar.
Umar Ibn Abdul Aziz menulis: “Wahai Abu Bakar, aku masih ingat hari-hari bila kamu merayau-rayau pada malam musim sejuk yang gelap gelita tanpa lilin dan cahaya, dan adakah kamu pada ketika itu berada dalam keadaan lebih baik dari sekarang? Aku berharap kamu sekarang memiliki lilin yang cukup untuk mengasingkan beberapa batang lilin bagi urusan negara.”
Untuk permohonan lain seperti membekalkan kertas bagi kerja-kerja rasmi, beliau berkata: “Tajamkan lagi mata penamu, tulis rapat-rapat dan ringkas, kerana kaum Muslimin tidak memerlukan kepada laporan yang sangat terperin¬ci sehingga membebankan kewangan negara.”
Selain daripada sikap peribadinya yang sangat berhati¬-hati, sederhana dan bertakwa, beliau juga mengubah sikap kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat tunggal pentadbiran. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad terutamanya pada pemungutan hasil cukai dan membelanjakannya, tanpa memberikan perhatian kepada pembangunan kerohanian dan keagamaan rakyat.
Pepatah Umar Ibn Abdul Aziz yang masyhur ialah: “Muhammad diutus sebagai Nabi bukan sebagai pemungut cukai.”
Dengan tepatnya gambaran diberikan tentang matlamat negara yang diletakkan oleh Umar bagi pentadbirannya. Sepanjang masa pemerintahannya, beliau berusaha melaksanakan tuntutan pepatah tersebut. Beliau sentiasa mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik serta tidak menghiraukan langsung kerugian duniawi yang dialami oleh negara daripada dasar yang direstui oleh agama.
Sewaktu pemerintahannya, orang bukan Islam semakin ramai memeluk Islam dan ini bererti pendapatan negara daripada hasil jizyah akan berkurangan. Hasil yang berkurangan itu akan membahayakan keutuhan kewangan negara, dan Umar Ibn Abdul Aziz beralih kepada masalah tersebut dengan menyelesaikannya secara bijaksana.
Akan tetapi beliau berkata bahawa keadaan tersebut adalah sesuai dengan tujuan kerasulan Muhammad SAW. Beliau menulis kepada salah seorang pegawainya: “Aku gembira jika semua orang bukan Islam memeluk Islam dan (kerana pendapatan yang berkurangan) kita terpaksa bercucuk tanam untuk menyara hidup.”
Sebelum ini, kerajaan daerah Yaman dikehendaki mengirimkan pendapatan hasil tanah yang ditetapkan, sama ada tanaman itu cukup hasilnya atau tidak. Kemudian Umar Ibn Abdul Aziz memerintahkan supaya pendapatan itu hendaklah dikira berdasarkan kepada hasil pertanian setiap tahun.
Umar Ibn Abdul Aziz berkata lagi bahawa beliau bersedia menerima walaupun hanya segenggam bijirin yang dikirimkan kerana menunaikan arahannya. Beliau berhenti memungut cukai barangan di seluruh empayarnya dengan berkata bahawa hal itu dilarang oleh al-Quran.
Firman Allah SWT:
وَيَا قَوْمِ أَوْفُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
Maksudnya: Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.
(Surah Hud: 85)
Umar Ibn Abdul Aziz berkata bahawa manusia telah menghalalkan cukai barangan (yang dibawa masuk ke bandar-bandar) dengan mengubah namanya. Kecuali beberapa jenis cukai yang dibenarkan oleh syariah, beliau telah menghapuskan semua cukai dan duti yang dikenakan oleh khalifah-khalifah sebelumnya. Semua laluan darat dan laut dibuka bagi perdagangan tanpa sebarang sekatan.
- Pembaharuan Ekonomi
Banyak pembaharuan besar telah diperkenalkan ke dalam pentadbiran negara. Sebahagian daripada langkah¬-langkah yang diambil ialah: Sukatan dan timbangan diselaraskan, pegawai-pegawai kerajaan ditegah daripada melibatkan diri dalam perniagaan atau pertukangan, tenaga buruh yang tidak diberi upahnya diharamkan, tanah-tanah rumput dan kawasan simpanan binatang buruan yang dikhaskan bagi kerabat diraja atau orang kenamaan yang lain dibahagi-bahagikan kepada petani yang tidak mempunyai tanah atau dijadikan harta awam.
Langkah-langkah yang ketat diambil bagi memberhentikan amalan rasuah di kalangan kakitangan kerajaan dan ditegah daripada menerima sebarang bentuk hadiah. Semua pegawai berjawatan tinggi di¬arahkan menyediakan aduannya secara peribadi, pengisyti¬haran dibuat pada setiap musim haji bahawa sesiapa yang melaporkan tentang penyelewengan mana-mana pegawai atau memberikan cadangan berguna akan dihadiahkan sebanyak seratus hingga tiga ratus dinar.
- Pembaharuan dalam Sistem Kewangan
Pembaharuan kewangan yang dilancarkan oleh Umar Ibn Abdul Aziz, iaitu pemansuhan pelbagai cukai yang diharamkan oleh syarak, tidak menimbulkan masalah kewangan atau kekurangan dalam perbendaharaan negara. Sebaliknya, rakyat hidup dengan penuh kemakmuran sehingga sukar untuk berjumpa dengan pengemis dan fakir miskin yang berhak menerima zakat.
Yahya Ibn Said meriwayatkan bahawa Umar Ibn Abdul Aziz telah melantiknya memungut zakat di Afrika. Apabila zakat sudah dipungut, beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tetapi beliau gagal bertemu seorang pun yang boleh diberikan bantuan kepadanya. Seterusnya beliau berkata bahawa dasar-dasar pembaharuan Umar Ibn Abdul Aziz telah membuat semua orang cukup keperluannya, dan dengan itu beliau tidak ada pilihan kecuali membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum Muslimin amnya.
Seorang lagi daripada kaum Quraisy meriwayatkan bahawa semasa pemerintahan Umar Ibn Abdul Aziz yang amat singkat itu, orang ramai biasa mengeluarkan jumlah zakat yang banyak kepada Bendahari Negara untuk diagihkan kepada fakir miskin, tetapi zakat tersebut terpaksa dipulangkan kepada mereka kerana tidak ada orang yang ditemui yang berhak menerima bantuan zakat tersebut. Beliau berkata bahawa semua orang hidup dalam keadaan aman damai dan makmur ketika pemerintahan Umar Ibn Abdul Aziz sehingga tiada seorangpun yang berada dalam kesusahan yang memerlukan kepada bantuan zakat.
Selain daripada kemakmuran rakyat, perubahan yang lebih penting yang dicapai oleh Umar Ibn Abdul Aziz ialah perubahan dalam kecenderungan terhadap sikap rakyat jelata. Masyarakat yang hidup sezaman dengannya meriwayatkan bahawa apabila beberapa orang kawan bertemu pada zaman Khalifah al-Walid, mereka berbual-bual mengenai bangunan dan seni bina, kerana itulah keasyikan al-Walid.
Khalifah Sulaiman pula berminat kepada perempuan dan majlis makan yang besar-besar, dan itulah yang menjadi keasyikan rakyat jelata pada zamannya. Akan tetapi ketika pemerintah Umar Ibn Abdul Aziz, tajuk-tajuk perbualan berkisar tentang solat, munajat, doa dan ibadah, sama ada perkara yang fardhu atau yang sunat. Setiap kali beberapa orang berhimpun, mereka akan saling bertanyakan mengenai solat-solat sunat yang dikerjakan untuk manfaat kerohanian, bahagian-bahagian al-Quran yang sudah dibaca atau dihafaz, puasa yang dikerjakan setiap bulan dan sebagainya.
Cahaya pembimbing bagi Umar Ibn Abdul Aziz dan daya penggerak di sebalik usahanya ialah keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah SWT dan keyakinan terhadap Hari Perhitungan. Apa jua yang dilakukannya adalah semata-mata untuk menuntut keredaan Allah SWT. Itulah yang menyebabkan pemerintah empayar yang terbesar dan terluas pada masa itu memilih hidup sederhana dan zuhud.
Sekiranya ada orang yang menasihatinya agar menaikkan taraf hidupnya, sesuai dengan pangkat dan jawatannya, beliau akan membaca ungkapan al-Quran:
قُلْ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ
Maksudnya: Katakanlah sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat).
(Surah al-An’am: 15)
Umar Ibn Abdul Aziz pernah berkata kepada pembantunya: “Allah SWT telah mengurniakan ke atasku sifat bercita-cita dan berhemah tinggi. Sebaik sahaja aku capai sesuatu matlamat yang aku amat kehendaki, nescaya hatiku inginkan matlamat yang lebih tinggi lagi. Sekarang aku telah sampai ke satu martabat di mana tiada lagi sesuatupun yang hendak diidamkan. Sekarang aku hanya bercita-cita untuk memperolehi syurga.”
Beliau juga pernah bertanya kepada seorang yang soleh supaya menasihatinya, maka orang itu berkata: “Apakah keuntungan bagi kamu sekalian manusia masuk syurga, dan kamu masuk neraka? Begitu pula, apakah kerugian kamu, jika sekalian manusia masuk neraka dan kamu masuk syurga?”
Tatkala mendengar hal itu, Umar Ibn Abdul Aziz begitu bimbang sehingga beliau menangis dengan sekuat hatinya hinggakan api yang menyala dalam pelita jerami itu terpadam dengan air mata tangisannya.
Yazid bin Hausyab pernah berkata bahawa Umar begitu takut kepada Allah sehingga seolah-olah syurga dan neraka itu dicipta oleh Allah hanya bagi beliau.
Sekiranya Allah SWT mentakdirkan supaya Umar Ibn Abdul Aziz menikmati pemerintahan yang lama sebagaimana khalifah¬-khalifah sebelumnya, nescaya dunia Islam akan dapat menyaksikan satu perubahan menyeluruh dan kekal yang akan mengubah jalan sejarahnya. Akan tetapi Umar Ibn Abdul Aziz meninggal dunia dalam pertengahan tahun 101H, setelah memerintah hanya selama dua tahun lima bulan. Dikatakan bahawa ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa seorang hamba dalam perkhidmatan Umar telah diupah oleh Bani Umayyah untuk meracuninya.
Bagi sesiapa yang ingin mendapat maklumat yang lebih terperinci dan mendalam, sila rujuk buku yang bertajuk al-Khalifah al-Rasyid wa al-Muslih al-Kabir Umar bin Abdul Aziz RA, karya Dr. Ali Muhammad Muhammad al-Salabi terbitan Dar Ibn Kathir.
Ketiga: Membaiki Sistem Politik dan Pemerintahan
Antara dasar yang dilaksanakannya ialah:
- Arahan Khalifah kepada Tenteranya
Dalam satu arahan lain yang ditujukan kepada Mansur Ibn Ghalib, beliau menulis: “Ini satu arahan daripada hamba Allah dan Pemimpin Orang-orang Beriman kepada Mansur Ibn Ghalib. Tatkala Amir al-Mukminin telah memerintahkan Mansur melancarkan perang terhadap mereka yang menentangnya, dia juga mengarahkan Mansur agar menanamkan takwa kepada Allah dalam hati, kerana takwalah sebagai bekalan sebaik-baiknya bagi strategi yang paling berkesan, dan kekuatan yang sebenar.”
Sesungguhnya maksiat dan dosa lebih merbahaya daripada tipu helah musuh. Maka Amir al-Mukminin menyuruh Mansur agar takut melanggar suruhan Allah SWT dan jangan takut terhadap musuh. Kita mengalahkan musuh kita di medan perang hanya kerana kejahatan dan dosa mereka.
Kalau bukan kerana itu, nescaya kita tidak berani menghadapi mereka. Tentera kita tidak seramai tentera musuh, dan kita tidak memiliki kelengkapan perang seperti kelengkapan perang mereka.
Oleh itu, sekiranya kita bersama-sama dengan musuh melakukan kemungkaran dan penca-bulan, nescaya mereka tentu mengalahkan kita disebabkan bilangan dan kekuatan mereka yang lebih besar. Ketahuilah, sekiranya kita gagal mengatasi musuh kita berdasarkan ketakwaan kita, nescaya kita tidak akan dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan kita sekali-kali. Kita hanya perlu mengawasi permusuhan kejahatan diri kita, dan kita hanya perlu mengawal keganasan diri kita.
Kamu seharusnya sedar bahawa Allah SWT telah menghantar malaikat penjaga ke atas kamu yang tidak sekali-kali berpisah daripada kamu dan mereka sedar tentang apa jua yang kamu buat di dalam khemah-khemah dan markas kamu, sama ada yang tersembunyi mahupun yang nyata. Maka janganlah kamu menghina diri sendiri dengan melanggar hak-hak Allah SWT.
“Hendaklah kamu mengasihi orang lain, lebih-lebih lagi apabila kamu telah meninggalkan rumah halaman kamu kerana menuntut keredhaan Allah SWT. Jangan sekali-kali kamu berasa lebih hebat daripada musuh-musuhmu, atau menganggap mudah kemenanganmu disebabkan kemungkaran musuhmu, kerana banyak kaum yang lebih teruk daripada musuhnya telah diberi kemenangan pada masa-masa dahulu. Oleh itu, mohonlah pertolongan Allah untuk menghadapi nafsu syahwatmu, sebagaimana kamu inginkan pertolongan Allah untuk menghadapi seterumu. Aku juga akan memohon rahmat Allah SWT bagiku dan bagimu.”
Amir al-Mukminin juga menyuruh Mansur Ibn Ghalib supaya melayani tenteranya dengan baik. Beliau tidak seharusnya menyuruh tenteranya melakukan perjalanan yang sangat memenatkan atau enggan mendirikan khemah tatkala mereka perlu berehat.
Tentera yang dipenatkan dengan kerja berat dan perjalanan jauh, tidak sepatutnya dikerahkan menghadapi musuh yang tenteranya dan binatangnya mendapat rehat di tempat sendiri. Maka sekiranya Mansur tidak melayani tenteranya dengan peri kemanusiaan, nescaya seterunya akan mengatasi tentera Mansur dengan mudah sekali. Sesungguhnya pertolongan hanya daripada Allah SWT jua.
Amir al-Mukminin mengarahkan Mansur Ibn Ghalib supaya tidak keluar sepanjang hari pada setiap Jumaat agar tentera dan binatang tunggangannya dapat berehat serta kelengkapan senjata yang rosak dapat dibaiki. Mansur juga diperintahkan supaya berkhemah jauh daripada kawasan yang penduduknya telah mengikat perjanjian dengan kita, supaya dia tidak membenarkan seorang pun daripada tenteranya melawat rumah, pasar atau perhimpunan mereka.
Hanya askar-askar yang teguh agama dan kepercayaan serta tidak bersikap buruk atau melakukan dosa terhadap penduduk sahaja dibenarkan melawat kawasan tersebut untuk memungut pembayaran yang halal. Kamu wajib menjamin hak-hak mereka sebagaimana mereka wajib menunaikan kewajipan mereka, iaitu kamu hendaklah menunaikan kewajipanmu selagi mereka menunaikan kewajipan mereka.
Kamu tidak sekali-kali dibenarkan mengatasi musuhmu dengan menindas mereka yang telah masuk ke dalam perlindunganmu, kerana kamu telah ada habuan (dalam bentuk jizyah) dalam pendapatan mereka, dan kamu tidak perlu menaikkannya, dan mereka tidak perlu membayar lebih.
“Kami juga tidak memotong bekalan makananmu, atau menahan apa-apa daripada kamu yang boleh menguatkanmu. Kamu diberi pimpinan ke atas tentera kami yang terbaik serta dibekalkan dengan semua keperluan bagi tugasmu. Sekarang kamu perlu memberikan perhatian kepada negeri¬-negeri penyembah berhala.”
“Mereka musuh kita dan kamu tidak perlu memberikan tumpuan kepada orang yang telah mencapai perlindungan kita. Setelah membuat persediaan yang sebaik-baiknya bagimu, kami berserah kepada Allah SWT. Tiada daya dan tiada upaya kecuali daripada Allah SWT.”
“Amir al-Mukminin seterusnya mengarahkanmu agar melantik perisik-perisik daripada kalangan Arab dan bukan Arab yang jujur dan diberi kepercayaan, kerana maklumat yang diterima melalui perisik yang belot tidak berguna. Walaupun seorang pembelot menyampaikan maklumat yang benar, namun dia tetap juga dikira sebagai perisik bagi pihak seteru dan bukan bagimu. Semoga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan ke atasmu.”
Dalam surat lain yang diedarkan kepada penguasa-penguasa daerah, beliau menulis dengan katanya:
“Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan amanah pentadbiran ke atasku. Aku tidak menerima tanggungjawab ini kerana inginkan kekayaan atau keseronokan syahwat, makanan atau pakaian, kerana Allah SWT telah mengurniakan kekayaan rohani ke atasku yang hanya dimiliki oleh sebahagian orang.”
“Aku sedar sepenuhnya tanggungan tugas yang diamanahkan kepadaku. Aku telah menerima tugas ini dengan penuh rasa bimbang dan hisab diri. Aku tahu bahawa diriku akan dipanggil menghadapi hisab di hadapan Allah SWT, apabila pendakwa dan yang didakwa, sama-sama akan berlawan hujah pada hari pembalasan. Selamatlah mereka yang dicurahi rahmat Allah SWT dan dilindungi-Nya daripada cubaan yang dahsyat itu.”
“Aku menasihati kamu semua supaya berhati-hati dan bertakwa dalam semua hal ehwal negara yang diserahkan kepadamu untuk diuruskan. Aku meminta agar kamu tunaikan kewajipanmu, melaksanakan yang disuruh Allah SWT serta menjauhi segala larangan-Nya. Kamu hendaklah memerhatikan diri dan amalanmu sendiri. Jagailah perkara-perkara yang berkaitan di antara kamu dengan Allah dan di antara kamu dengan anak buah kamu. Kamu tentu sedar bahawa kejayaan dan keselamatan hanya terletak dalam penyerahan sepenuhnya kepada Allah. Maka matlamat terakhir setiap usaha hendaklah untuk memperolehi kejayaan pada hari kiamat.”
“Kalau kamu ingin, maka kamu boleh mendapat pengajaran daripada peristiwa di sekitarmu. Hanya dengan itu aku dapat menyampaikan kebenaran kepadamu melalui ucapan-ucapanku. Semoga Allah SWT merahmatimu.”
- Menubuhkan Sistem Syura
Berdasarkan nas daripada al-Quran,iaitu:
وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Maksudnya: Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka.
(Surah al-Syura: 38)
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ
Maksudnya: Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah SWT.
(Surah ali-Imran: 159)
Hal ini jelas sejak perlantikannya menjadi gabenor di Madinah, beliau telah menubuhkan Majlis Syura di Madinah. Antara anggotanya ialah fuqaha Madinah, iaitu Urwah bin al-Zubair, Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah, Abu Bakar bin Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisyam, Abu Bakar bin Sulaiman bin Abi Khaithamah, Sulaiman bin Yasar, al-Qasim bin Muhammad, Salim bin Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abdullah bin Umar, Abdullah bin Amir bin Rabiah dan Kharijah bin Zaid bin Thabit.
- Bertanggungjawab dalam Pemerintahan
Umar Ibn Abdul Aziz sangat bertanggungjawab dalam pemerintahannya. Beliau hanya melantik mereka yang benar-benar beramanah sahaja dalam sistem pentadbirannya.
Hal ini dapat diketahui melalui banyak tindakan dan kenyataannya yang tegas seperti yang dikemukakan dalam Tarikh al-Tabari menyebut bahawa surat yang dihantar oleh Umar Ibn Abdul Aziz kepada gabenor-gabenornya, antara lain katanya: “Jangan kamu melantik sesuatupun pada urusan orang Islam kecuali yang benar-benar ma’ruf dengan nasihat terhadap mereka, melaksanakan amanah dengan sejujur-jujurnya dan merahmati mereka.”
Antara mauqif amanahnya seperti yang disebut dalam Siar A’lam al-Nubala’ (5/595) menyatakan bagaimana beliau menghantar surat kepada gabenornya yang bernama Abi Bakar bin Hazim, antara lain isi kandungannya berbunyi: “Tajamkanlah mata penamu, dan tulislah rapat-rapat pada kertas kerana aku tidak suka menggunakan daripada harta orang Islam secara mereka tidak mendapat manfaat dengannya (membazir).”
- Menegakkan Keadilan
Hal ini amat jelas dalam pemerintahannya kerana beliau mewarisi sifat tersebut daripada datuknya, Umar Ibn al-Khattab. Beliau telah menempa pada matawangnya perkataan “أَمَرَ اللهُ بِالوَفَاءِ وَالْعَدْلِ” yang membawa maksud: “Allah perintahkan dengan bersifat amanah dan berlaku adil.”
Umar Ibn Abdul Aziz pernah menulis surat kepada gabenornya yang bernama al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami yang menjadi gabenor di Khurasan dengan berkata: Wahai Ibn Ummi Jarrah, janganlah kamu memukul orang-orang yang beriman dan kafir mu’ahad (membuat perjanjian dengan orang Islam) dengan menggunakan tongkat atau rotan kecuali pada kebenaran. Awasilah kamu daripada melaksanakan qisas kerana ia membawa kepada banyaknya khianat dan perkara yang tersembunyi. Baca semua surat dan jangan disembunyikan atau diabaikan kecil atau besar urusan kecuali hendaklah dihitungkannya.
- Menghormati Hak Kepada yang Bukan Islam (Ahlu Zimmah)
Hal ini dengan jelas menunjukkan keadilan Umar Ibn Abdul Aziz. Beliau banyak menasihati gabenor dan umat Islam yang menjadi rakyatnya supaya jangan menceroboh rumah ibadah dan menyakiti hati mereka. Antara isi kandungan surat yang dihantar kepada gabenor-gabenornya berbunyi: “Jangan kamu robohkan gereja, biara dan rumah api yang menjadi tempat ibadat kepada orang-orang yang bukan Islam yang telah kamu membuat perjanjian perdamaian dengan mereka.” Lihat buku Sirah dan Manaqib Umar (Hal. 107-108)
Beliau juga meringankan beban cukai dan segala bentuk pembayaran yang dikenakan terhadap orang bukan Islam yang telah ditetapkan oleh pemerintah sebelumnya. Di samping itu, memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk menjalankan perniagaan sama ada di laut atau di darat.
- Menghidupkan Asas Amar Makruf dan Nahi Munkar
Berdasarkan maksud dan matlamat khalifah yang ditegakkan di muka bumi semata-mata memelihara agama. Umar Ibn Abdul Aziz mengambil satu sikap yang tegas dengan menjulang prinsip ini dan mengangkat benderanya untuk mentahqiqkan segala cita-cita pelaksanaan amar makruf dan nahi munkar semata-mata takut yang amat sangat kepada Allah dan mencari serta menuntut keredhaannya. Ini menjadi lebih baik apabila ramai para ulama solihin di kalangan tabiin dan imam mujtahid membantunya dalam pelaksanaan amar makruf itu.
Dengan sebab itu, beliau dapat melaksanakannya dengan mudah dalam memerangi bidaah dan hawa nafsu. Beliau amat menitikberatkan agama, rakyat serta nilai etika mereka. Antara arahan kepada gabenor-gabenornya ialah: Jauhilah kamu daripada perkara-perkara yang menyibukkan ketika waktu solat kerana siapa yang mengabaikan solat, maka sebenarnya beliau telah mengabaikan semua syariat Islam kerana solat adalah paksinya.
- Mauqif yang Tegas dalam Pemerintahannya
Antara dasar yang dilakukan oleh Umar Ibn Abdul Aziz dalam membaiki sistem pemerintahan Islam ialah mauqifnya yang tegas, antaranya:
- Memelihara daripada pembohongan. Antara ketegasannya ialah beliau pernah berkata kepada Maimun bin Mihran, antara lain kenyataan seseorang yang berkata: “… aku tidak dapati saksi yang dusta kecuali aku potong lidahnya.” Umar Ibn Abdul Aziz tidak menyukai perkataan ini kerana berkemungkinan seseorang itu tidak melakukan perbuatan tersebut dan hal ini akan terjerumus kepada pembohongan.
- Menolak daripada menerima hadiah dan angpau. Beliau dengan tegas tidak menerima sebarang bentuk hadiah sekalipun dikatakan bahawa Rasulullah SAW menerima hadiah dengan berhujah: “Tetapi bagi kami dan orang selepas kami dianggap sebagai rasuah.” Begitu juga beliau membatalkan pemberian hadiah kepada semua gabenor yang kebiasaannya menerima hadiah tersebut pada setiap kali perayaan Nairuz dan Mahrajan.
- Melarang pembaziran. Antara tindakannya yang pertama ketika dilantik menjadi khalifah ialah beliau tidak menaiki binatang atau kenderaan yang khusus kepada khalifah, tetapi mencari baghalnya dan berkata kepada pembantu setianya: “Hai Muzahim, ambillah kenderaan ini dan serahkan kepada Baitul Mal.” Begitu juga dengan tempat duduk yang penuh dengan kemewahan dan kerusi yang empuk digantikan dengan tikar.
- Menegah gabenor dan pegawai kerajaan daripada terlibat dengan aktiviti perniagaan. Beliau menghantar surat kepada gabenornya dengan menegaskan bahawa pemimpin, gabenor atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Ini kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan mereka sibuk dengan perniagaan dan akan berlakunya pilih kasih serta mendapat habuan daripada sumber yang kurang elok.
- Beliau menganggap hal ini sebagai suatu tindakan yang paling besar dan jika dibiarkan akan boleh membawa kepada rosaknya pentadbiran dan pelbagai implikasi yang malang akan timbul. Hal ini diakui oleh Ibn Khaldun selepas lapan kurun melalui kenyataan yang benar dan hikmah yang tinggi nilainya, iaitu:
إِنَّ التِّجَارَةٌ مِنَ السُّلْطَانِ مَضَرَّةٌ بِالرَّعَايَا، مَعْسَرَةٌ لِلجَبَايَة
Maksudnya: “Sesungguhnya perniagaan daripada pemerintah boleh membawa mudharat terhadap rakyat dan menyukarkan berkenaan dengan hasil atau percukaian.”
- Membuka talian perhubungan secara langsung antara gabenor dan rakyat. Hal ini jelas menunjukkan betapa prihatinnya Umar Ibn Abdul Aziz sehingga rakyat merasa terbela dan mudah untuk mengadu segala kelemahan dan kecurangan pemimpin. Beliau juga mengarahkan semua pemimpin dan gabenor supaya mendapat maklumat dan menerima sebarang bentuk aduan daripada rakyat jelata. Inilah dasar Islam yang sebenarnya.
- Mengadakan audit dan muhasabah terhadap gabenor dan mahu supaya kewangan gabenornya disemak. Hal ini supaya tidak berlaku pengambilan wang secara haram yang menjadi hak orang Islam, bahkan beliau pernah mengarahkan supaya menangkap seorang gabenor Khurasan yang bernama Yazid bin Muhallab kerana melakukan penipuan. (Lihat Umar Abdul Aziz, 63-98)
Justeru, tidak peliklah, Umar ibn Abdul Aziz juga bukan seorang muslih tetapi juga mujaddid. Semoga Allah SWT merahmati beliau dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”