Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apa hukum adik beradik biar kan abang yang sedang uzur tanpa hulur bantuan jauh sekali nak datang ziarah. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

(Surah al-Nisa’:1)

Ibn ‘Asyur menyatakan bahawa: Tujuan terpenting daripadanya adalah ketakwaan orang mukmin dengan berhati-hati daripada bersikap sambil lewa dalam menunaikan hak-hak kaum kerabat serta anak-anak yatim, sama ada dari kalangan perempuan atau lelaki. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/215)

Menjaga silaturrahim serta membantunya adalah pahala yang besar serta akan memperolehi banyak kurniaan Allah SWT. Antaranya, seseorang itu akan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan diberkati dalam kehidupan. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Dalam menjawab persoalan di atas, perlu difahami bahawa seorang Muslim tidak sepatutnya membiarkan saudara seagamanya, apatah lagi kaum kerabat terdekat, berada dalam kesusahan tanpa sebarang bantuan. Sikap tidak mengambil peduli dan bersikap acuh tak acuh terhadap penderitaan orang lain mencerminkan akhlak yang tidak terpuji serta sifat buruk yang mementingkan diri sendiri. Islam menekankan nilai kasih sayang dan tanggungjawab sosial dalam kalangan umatnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

‏‏ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu kecuali setelah dia mencintai apa-apa yang dikecapi saudaranya sebagaimana dia mencintai apa-apa yang dikecapi olehnya.”

Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)

Selain itu juga Baginda SAW turut bersabda:

‏ الْمُسْلِمُونَ كَرَجُلٍ وَاحِدٍ إِنِ اشْتَكَى عَيْنُهُ اشْتَكَى كُلُّهُ وَإِنِ اشْتَكَى رَأْسُهُ اشْتَكَى كُلُّهُ ‏

Maksudnya: “Orang Islam sama seperti seorang lelaki yang apabila matanya mengadu sakit, maka semua tubuhnya mengadu sakit, jika kepalanya mengadu sakit, maka semua tubuhnya mengadu sakit.”

Riwayat al-Bukhari (6011) dan Muslim (2586)

Hadith ini menegaskan kepentingan mengagungkan hak-hak sesama Muslim, mendorong mereka untuk berkasih sayang, saling membantu tanpa terlibat dalam dosa atau perkara yang dilarang, serta memberi pertolongan dan mempertahankan hak saudara seagama. Ia juga menekankan kepentingan menyebarkan salam, menziarahi orang sakit, menghadiri jenazah, dan menjalankan pelbagai bentuk kebajikan terhadap sesama Muslim. Selain itu, hadith ini turut menggariskan kepentingan menjaga hak sahabat, pekerja, jiran, teman dalam perjalanan, serta setiap individu yang mempunyai hubungan dengan kita, hatta terhadap haiwan peliharaan seperti kucing dan ayam, sebagaimana disebut oleh al-Zamakhsyari.

Ibn ‘Arabi menjelaskan bahawa perumpamaan ini mengajarkan bahawa setiap individu perlu diperlakukan mengikut kedudukannya, sebagaimana setiap anggota tubuh berfungsi sesuai dengan tugasnya. Misalnya, mata tidak dapat melakukan tugas telinga, dan sebaliknya, telinga tidak dapat menggantikan fungsi mata. Begitu juga dengan tangan dan kaki, masing-masing menjalankan tugas yang diciptakan untuknya. Oleh itu, dalam memperlakukan sesama Muslim, seseorang hendaklah memberikan hak yang sewajarnya kepada setiap individu sesuai dengan kedudukannya. Orang alim hendaklah dihormati dan diberikan perhatian terhadap ilmu yang disampaikannya, sementara orang yang jahil hendaklah ditegur dan dididik agar mencari ilmu serta mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Seseorang yang lalai hendaklah disedarkan daripada kelalaiannya dengan peringatan tentang perkara yang diketahuinya tetapi tidak diamalkan. Pemerintah pula berhak ditaati dalam perkara yang dibolehkan oleh syariat, anak kecil berhak diperlakukan dengan kelembutan, kasih sayang, dan perhatian, manakala orang tua pula berhak dihormati dan dimuliakan sesuai dengan kedudukannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/259)

Justeru, sesiapa yang membantu seseorang yang berada dalam kesulitan termasuklah dalam kalangan ahli keluarga, sama ada dengan memberikan bantuan kewangan atau mempermudah urusannya, Allah SWT akan memudahkan kehidupannya di dunia dan akhirat. Ini menunjukkan bahawa amalan tolong-menolong membawa keberkatan dalam hidup.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW yang bersabda:

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Siapa yang melepaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (1455), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427)

Kita dapat mengambil manfaat daripada hadith ini tentang keutamaan meringankan kesusahan orang beriman, yang merangkumi segala bentuk kesusahan sama ada berkaitan fizikal, kewangan, atau keadaan mereka secara umum. Contohnya, membantu seseorang dengan memberikan pinjaman wang, membebaskannya daripada kesulitan, atau berdiri bersama dalam menghadapi ujian dan kesusahan hidup. Hadith ini menjadi bukti bahawa membantu dan melepaskan kesulitan sesama Muslim adalah salah satu sebab Allah SWT akan meringankan kesusahan seseorang di hari kiamat serta menyelamatkannya daripada kesulitan yang lebih besar pada hari tersebut. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, oleh al-Luhaimid, 4/531)

Kesimpulan

Islam sangat menekankan kepentingan menjaga hubungan silaturrahim dan membantu saudara seagama, lebih-lebih lagi dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang sedang menghadapi kesusahan. Seseorang Muslim tidak sepatutnya bersikap tidak peduli atau acuh tak acuh terhadap penderitaan saudara-maranya, kerana sikap sebegini mencerminkan akhlak yang tidak baik dan bertentangan dengan nilai kasih sayang serta persaudaraan dalam Islam. Hadith-hadith Rasulullah SAW dengan jelas menyatakan bahawa sesiapa yang membantu saudaranya di dunia, Allah SWT akan membantunya di akhirat, dan sesiapa yang mempermudahkan urusan orang lain, Allah akan mempermudahkan kehidupannya di dunia dan akhirat. Oleh itu, bagi mereka yang masih bersikap tidak prihatin terhadap ahli keluarga yang berada dalam kesulitan, ambillah peluang untuk berbuat baik, kerana setiap kebaikan yang dilakukan kepada orang lain bukan sahaja mendatangkan keberkatan dalam hidup, tetapi juga menjadi sebab pertolongan Allah pada hari kiamat. Janganlah kita menjadi individu yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil berat tentang kesusahan ahli keluarga, kerana hakikatnya, ikatan darah bukan sekadar hubungan duniawi, tetapi juga satu amanah yang perlu dipelihara dan dihargai.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Wallahu a‘lam