Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum jika sekiranya seorang suami meninggalkan isterinya tanpa memberi nafkah walau sedikit pun. Suami itu telah meninggalkan isteri tanpa khabar berita. Adakah status perkahwinan tersebut boleh bertukar menjadi bercerai dan terjatuh talak? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”[1]
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.”
Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:
- Memenuhi keperluan fitrah manusia
- Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
- Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
- Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
- Memelihara generasi manusia yang sejahtera
- Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama.[2]
Takrif Nafkah
Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.[3]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.[4]
Nafkah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nafkah)
Terdapat pelbagai nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”[5]
Tanggungjawab Suami Memberi Nafkah kepada Keluarga
Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:
أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ – أَوِ اكْتَسَبْتَ – وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهَ ، وَلاَ تُقَبِّحْ ، وَلاَ تَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ
Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”[6]
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:
- Makanan,
- Barang-barang dapur,
- Pakaian,
- Tempat tinggal,
- Alat-alat untuk membersihkan diri,
- Barangan rumah,
- Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.[7]
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”[8]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.[9]
Berdasarkan ayat di atas, para ulama mengatakan bahawa wajib ke atas seorang suami untuk memberikan nafkah kepada isterinya. Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini berkata:
وَالأَمْرُ بِالشَّيْء نَهْيٌ عَنْ ضِدِّهِ
Maksudnya: “Perintah melakukan sesuatu itu merupakan suatu larangan terhadap meninggalkannya.”[10]
Justeru, perintah untuk seorang suami memberikan nafkah kepada isteri apabila ianya ditinggalkan maka ia termasuk dalam perkara yang dilarang.
Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.
Bahkan meninggalkan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak dianggap sebagai satu dosa berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” [11]
Hikmah Wajibnya Nafaqah Suami kepada Isteri
Kami nyatakan di sini juga hikmah di sebalik kewajipan nafkah:
Kehidupan berumahtangga mesti dibina atas satu daripada tiga asas yang berikut:
- Suami bertanggungjawab mengetuai rumahtangga dan memberi nafaqah kepada isteri dan anak-anak.
- Isteri mengambil alih semua tanggungjawab tersebut menggantikan tanggungjawab duit.
- Suami isteri bekerjasama melaksanakan tanggungjawab mencari harta dan memberi nafaqah.
Persoalannya, apakah yang akan berlaku jika ditinggalkan asas pertama yang merupakan hukum syariat Islam, lalu mengambil asas yang kedua dan ketiga?
Beberapa perkara akan berlaku kesan daripada tindakan tersebut, iaitu:
- Ia melibatkan masalah mas kahwin, iaitu sama ada perempuan bertanggungjawab memberi mas kahwin semuanya kepada lelaki atau mereka bersama-sama bertanggungjawab menyediakan mas kahwin.
Kesan yang pasti berlaku hasil daripada keadaan ini ialah perempuan akan keluar mencari pasangan lelaki untuk dijadikan suami, sedangkan Allah telah memuliakan mereka dengan menjadikan lelaki mencari perempuan untuk dijadikan isteri.
Hal ini kerana orang yang memberi mas kahwin itulah yang sepatutnya mencari penerimanya. Sekiranya keadaan ini berlaku, perempuan akan berhadapan dengan pelbagai masalah penipuan dan pembohongan golongan lelaki demi mendapatkan suami yang boleh diharapkan dan mampu memberikan perlindungan.
- Perempuan terpaksa melibatkan diri untuk bekerja dan mencari rezeki. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing dengan golongan lelaki dalam pelbagai bidang pekerjaan.
Jika ini berlaku, golongan perempuan pasti terdedah kepada perkara yang negatif serta penyelewengan. Keadaan yang berlaku hari ini adalah bukti paling jelas terhadap kenyataan itu.
Kesannya, rumahtangga yang memerlukan seseorang untuk mengurus dan menjaga hal ehwalnya serta mendidik anak-anak tidak dapat dipenuhi. Malah, rumahtangga menjadi tidak terurus. Rumahtangga yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan, pencetus kedamaian, tempat berehat dan berkumpul, kini bertukar menjadi punca masalah dan kacau bilau.
- Jika rumahtangga dibina atas satu daripada dua rukun yang telah dinyatakan, sudah pasti hak berada di tangan isteri sama ada secara bersama atau bersendirian. Undang-undang ekonomi dan sosial menyatakan, sesiapa yang mengeluarkan belanja, maka dialah yang berkuasa. Dalam perbincangan tajuk telah dinyatakan bahawa terdapat hikmah yang amat besar apabila hak berada di tangan suami.
Status Perkahwinan Apabila Suami Meninggalkan Isteri Tanpa Nafkah
Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan seperti berikut:
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”[12]
Ini menunjukkan bergaul dengan cara baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami terhadap isteri adalah satu kewajipan. Justeru pengabaian nafkah dan meninggalkannya tanpa sebarang khabar berita serta tidak memberi sebarang nafkah maka hukumnya haram dan berdosa. Kami tegaskan di sini bahawa ijma’ ulama’ bersepakat menyatakan bahawa suami wajib memberi nafaqah kepada isterinya dengan syarat-syarat tertentu.
Antara dalil suami wajib memberi nafaqah kepada isteri adalah, firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.”[13]
Ayat ini menunjukkan bahawa suamilah yang bertanggungjawab untuk memberi dan menyediakan nafaqah.
Begitu juga firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.[14]
Manakala antara dalil daripada Sunnah pula, sepertimana diriwayatkan daripada Jabir RA, katanya:
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِى النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ. فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.”[15]
Berkenaan dengan status perceraian, ia tidak berlaku kecuali terdapat ta’liq yang jelas ketika akad nikah dan pengaduan dibuat di pejabat atau mahkamah. Kami syorkan dalam isu seperti ini hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
Semoga Allah SWT kurniakan rumah tangga kita semua menjadi baiti jannati. Amiin.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510
[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/13-16
[3] Lihat Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274
[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101
[5] (Surah al-Talaq: 7)
[6] Riwayat Abu Daud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)
[7] Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349
[8] (Surah al-Baqarah: 233)
[9] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/634
[10] Lihat Syarh al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, hlm. 115
[11] Riwayat Abu Daud (1692)
[12] (Surah al-Nisa’: 19)
[13] (Surah al-Nisa’: 34)
[14] (Surah al-Baqarah: 233)
[15] Riwayat Muslim (1218)