Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, selepas kota Bait al-Maqdis jatuh ke tangan Salahuddin al-Ayyubi, bagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Salahuddin terhadap musuh yang telah ditawan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Surah al-Baqarah: 195)
Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri berkata: Ihsan ialah konsisten dalam ketakwaan dan menyucikannya daripada kotoran kesyirikan, serta melakukan amalan kebajikan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/211)
Dalam peristiwa bersejarah ini, dicatatkan seramai lebih daripada 100,000 orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh tentera Islam. (Lihat Kitab al-Fath al-Qussi fi al-Fath al-Qudsi oleh Imad al-Din al-Isfahani, hlm. 43)
Berbanding apa yang telah dilakukan oleh tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini yang telah dikenakan hukuman bunuh, Salahuddin sebaliknya mengambil sikap memaafkan kepada masyarakat Kristian. Malah, kesemua mereka dibebaskan setelah membayar wang tebusan diri iaitu bagi lelaki 10 dinar, perempuan sebanyak 5 dinar dan kanak-kanak dikenakan 2 dinar. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan, hlm. 144)
Orang-orang miskin seramai 7000 orang juga telah dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar secara sekaligus. Walaubagaimanapun, sekiranya wang tebusan diri tersebut tidak mampu dibayar oleh sebahagian mereka, maka secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.
Hal ini mencerminkan kebaikan, keselamatan dan keamanan Islam itu sendiri kerana pendekatan yang diambil oleh Salahuddin tersebut menjadikan pertempuran dan pertentangan dapat dielakkan. Ini sekaligus menatijahkan tragedi kehilangan nyawa dan pertumpahan darah yang dahsyat dapat dielakkan.
Dicatatkan bahawa Salahuddin turut membekalkan sejumlah wang dan haiwan tunggangan apabila beliau melihat ada para tebusan yang membawa ibu bapa dan saudara tetangga yang telah berumur. Ini berlaku dalam kalangan mereka yang telah membayar wang tebusan diri untuk bebas. (Lihat al-Islam wa al-Qadiyyah al-Filistiniyyah oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan) Bahkan, bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju, Salahuddin turut mengarahkan tenteranya agar mengiringi para tebusan tersebut.
Al-Malik ‘Adil telah memohon kepada Salahuddin al-Ayyubi untuk dihadiahkan kepadanya sebanyak seribu orang Kristian bagi tujuan dibebaskan kerana Allah SWT. Lantas Salahuddin al-Ayyubi pun memenuhi permintaannya. Apabila perkara ini tersebar dan diketahui oleh Patrick dan Balian, lalu mereka pun menemui Salahuddin memohon untuk dibebaskan orang-orang Kristian sepertimana al-Malik al-Adil. Seterusnya, Raja Muzaffaruddin juga meminta untuk dibebaskan sebanyak seribu orang Armenia, dengan alasan bahawa mereka semua berasal dari Edessa. Kemudian, Raja Birah turut meminta kepada Salahuddin untuk dibebaskan orang-orang Kristian seramai 500 orang Armenia yang berasal dari negerinya, dengan menyatakan bahawa mereka berada di Bait al-Maqdis hanya untuk melakukan ibadat, dan bukan untuk berperang. (Lihat Kitab al-Raudhataini fi Akhbar al-Daulataini oleh Syihabuddin Abd al-Rahman al-Maqdisi, 3/342)
Salahuddin al-Ayyubi kemudian memenuhi semua permintaan tersebut, malah beliau turut mengarahkan pegawainya agar menyeru di jalan-jalan Bait al-Maqdis, bahawa beliau hendak membebaskan orang-orang Kristian yang tidak mampu untuk membayar tebusan di pintu kota Bait al-Maqdis. (Lihat Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 477)
Sebahagian para wanita dan anak-anak tentera Salib yang terbunuh atau ditawan telah berkumpul di hadapan Salahuddin sambil menangis. Lalu Salahuddin bertanya keadaan mereka dan apa yang mereka inginkan. Lalu diberitahu bahawa mereka meminta belas kasihannya. Salahuddin pun mengasihani mereka, lalu mempersilakan bagi mereka untuk mencari suami yang masih hidup, dan membebaskan mereka serta mengizinkan kepada mereka untuk pergi ke mana sahaja yang mereka ingini. Manakala bagi para wanita yang telah kematian suami atau ibu bapanya telah meninggal, maka Salahuddin memerintahkan agar diberi kepada mereka harta simpanan sesuai dengan kehidupan dan tempat tinggal mereka. Dengan sikap dan perlakuan Salahuddin ini, para wanita itu terus memuji Tuhan atas kebaikan dan penghormatan yang telah ditunjukkan dan diberikan kepada mereka.
Terdapat juga sebahagian daripada orang Kristian yang meminta untuk diizinkan tinggal di Bait al-Maqdis, selepas mereka selesai membayar tebusan yang telah ditetapkan. Mereka berjanji untuk tidak mengganggu sesiapa dan akan turut serta dalam membangunkan kota tersebut. Lalu Salahuddin pun bersetuju dengan hal tersebut dengan syarat membayar cukai sebagai ahlu zimmah, sehingga hak dan kewajiban mereka menjadi sama dengan umat Islam. (Lihat Salahuddin al-Ayyubi wa Wujuduhu oleh ‘Ali Muhammad al-Salabi, hlm. 478)
Kisah Seorang Ibu yang Meminta Dibebaskan Anaknya kepada Salahuddin
Diceritakan oleh Ibn Kathir, bahawa suatu ketika, terdapat segerombolan pencuri masuk ke perkhemahan bangsa Eropah. Mereka mencuri bahkan melakukan penculikan. Sebahagian mereka telah menculik seorang bayi berusia tiga bulan yang masih menyusu ibunya.
Disebabkan merasa kehilangan, ibu bayi tersebut kemudian mengadu kepada pemimpin wilayah tersebut. Kerana mengetahui bahawa kejadian penculikan itu berlaku di wilayah yang berada di bawah kekuasaan pemerintah Islam, maka pemimpin itu berkata: “Pemerintah umat Islam ada mereka yang memiliki kasih sayang. Aku izinkan kamu untuk menemuinya. Adukan masalahmu kepadanya.”
Ibu tersebut pun pergi menemui pemerintah umat Islam, yang ketika itu adalah merupakan Salahuddin al-Ayyubi. Ibu itu menceritakan masalah yang dialaminya. Salahuddin mendengar dengan teliti hingga beliau tersentuh dan mengalirkan air mata.
Salahuddin lantas memerintahkan para pembantunya untuk mencari bayi yang diculik itu. Ternyata bayi itu ada di pasar untuk dijual. Mereka pun membeli bayi itu sesuai dengan harga yang diminta oleh penjualnya. Setelah itu, mereka membawa bayi itu kepada si ibu tersebut. Apabila didatangkan, ibu itu pun menggendong dan menyusuinya beberapa ketika sambil menangis kerana kerinduan pada anaknya itu.
Setelah semuanya dianggap selesai, Salahuddin pun memerintahkan para pengawal untuk menghantar si ibu kembali ke perkhemahannya dengan dinaikkan di atas kuda kerajaan dengan penuh penghormatan.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”