Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana dengan seorang wanita yang waswas terhadap cecair yang keluar daripada farajnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533).

Sebagaimana yang diketahui, di antara sebab yang mewajibkan seseorang itu untuk mandi ialah janabah. Makna asal janabah ialah jauh. Janabah juga bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan. Oleh itu, orang yang berjunub ialah orang yang tidak suci disebabkan keluarnya air mani atau bersetubuh. Ia dinamakan sebagai junub kerana orang yang berjanabah itu menjauhkan diri daripada mendirikan solat selama mana dia berkeadaan demikian. Perkataan junub digunakan untuk umum, sama ada untuk lelaki atau perempuan, dan sama ada untuk seorang atau ramai. Seseorang itu dianggap sebagai telah berjunub disebabkan oleh dua perkara:

  • Keluar air mani sama ada dalam kalangan lelaki atau perempuan dengan apa-apa sebab sekalipun sama ada dengan bermimpi, bercumbuan, melihat seseorang dengan berahi atau berkhayal.
  • Bersetubuh sekalipun tidak keluar air mani. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73-74).

Seterusnya, terdapat beberapa tanda yang dinyatakan oleh para ulama yang menunjukan bahawa ia ialah air mani dan wajib ke atas sesiapa yang ada salah satu daripada tanda-tanda ini untuk mandi wajib, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Tanda-tandanya ialah:

  • Ia keluar dengan rasa lazat dan kepuasan syahwat.
  • Ia keluar secara memancut.
  • Mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah atau berbau hanyir seperti bau putih telur jika ia kering.

Walau bagaimanapun, perlu diberi perhatian juga bahawa bukanlah tanda air mani itu mesti berwarna putih, keluarnya dengan diiringi lembiknya zakar atau rasa lemah. Akan tetapi, ia hanyalah perkara yang menunjukan kebiasaannya begitu. Oleh itu, sekiranya perempuan tersebut tidak pasti atau waswas terhadap air yang keluar sama ada air mani ataupun air mazi selepas beronani, atau tidak terdapatnya sebarang rasa dan tanda-tanda lain yang menunjukan bahawa air maninya telah pun keluar. Dalam kes ini, perempuan tersebut diberi pilihan sama ada cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani atau air mazi.

Sekiranya dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mani, maka wajib ke atasnya untuk mandi. Jika dia cenderung untuk menganggapnya sebagai air mazi, maka wuduknya telah terbatal dan perlu membasuhnya. Akan tetapi, adalah lebih baik (afdhal) untuk dia menghimpunkan kedua-duanya sekali iaitu mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 116-117). Bahkan pilihan ketiga ini adalah lebih selamat (ahwat) dan keluar daripada khilaf.

Sebagai kesimpulannya, jelaslah bahawa seorang perempuan itu jika ragu-ragu terhadap air yang keluar dari farajnya sama ada air mani ataupun tidak. Maka, dalam hal ini dia perlulah melihat kepada tanda-tanda yang menunjukkan kepada keluarnya air mani berdasarkan warna air tersebut, perasaan ketika keluarnya air itu, cara keluarnya, sebab keluarnya dan lain-lain. Jika tanda-tanda itu menunjukkan kepada air mani, maka ia dikira sebagai air mani dan wajib ke atasnya untuk mandi. Jika tidak, maka ia dikira sebagai air mazi (yakni bukan air mani) dan hanya perlu membasuhnya.

Namun, jika dia tetap juga tidak dapat memastikannya, maka sebaik-baiknya pendapat yang menghimpunkan kedua-duanya adalah lebih baik yakni mandi wajib dan membasuh bahagian yang terkena air tadi — dengan mengambil kira kedua-dua kebarangkalian iaitu sama ada air mani atau air mazi — kerana ia adalah pendapat yang lebih selamat dan keluar daripada khilaf.

Kami akhiri dengan bacaan surah al-Nas:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ (1) مَلِكِ النَّاسِ (2) إِلَٰهِ النَّاسِ (3) مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ (4) الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.  “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, –  “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

(Surah al-Nas: 1-6)