Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud dan makna sebenar bagi perkataan Imam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
(Surah al-Sajdah: 24)
Imam bermaksud seseorang yang diikuti kerana memiliki beberapa sifat yang baik, seperti ketaatan, berani serta alim. (Lihat Taj al-‘Arus, 16/230) Imam juga bermaksud seseorang yang diikuti oleh orang lain, seperti imam ketika solat, sebagai seorang khalifah, atau panglima tentera. (Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 27)
Sebenarnya perkataan imam itu sendiri memberi maksud di hadapan yang dirujuk serta diikuti sedangkan pengikutnya pula dikenali sebagai makmum. Hal ini berlandaskan hadis SAW:
اِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤتَمَّ بِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti.”
Riwayat Bukhari (657) dan Muslim (411)
Sesungguhnya makmum itu diwajibkan mengikuti segala pergerakkan yang dilakukan oleh imam, seperti takbir al-ihram, sujud, iktidal dan sebagainya. (Lihat Fath al-Mun’im Syarah Sahih Muslim,2/553) Segala perbuatan yang dilakukan oleh makmum itu hendaklah dilakukan setelah imam melakukannya. Sekiranya perbuatan makmum itu dilakukan sebelum perbuatan imam, maka sembahyangnya itu terbatal. (Lihat Syarah Sahih Bukhari Ibn Battal, 2/310)
Begitu juga Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam, rukuk, sujud dan lain-lain. Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)
Abdul Qadir Syaibah al-Hamd menjelaskan beberapa istifadah (pengajaran) daripada hadis tersebut, iaitu:
- Pertama, haram bagi makmum untuk mendahului perbuatan imam sama ada takbir, ruku’ dan sujud.
- Kedua, makruh melakukan perbuatan yang bertentangan dengan perbuatan imam.
- Ketiga, wajib mengikuti perbuatan imam.
- Keempat adalah tidak boleh sama sekali untuk makmum mendahului imam.(Lihat Fiqh al-Islam Syarah Bulugh al-Maram, 2/99)
Secara umumnya, bahawa imam itu merupakan seseorang yang menjadi qudwah al-hasanah(teladan) dalam sesebuah masyarakat. Tugasannya tidak hanya terbatas di dalam masjid sahaja, namun turut menjadi rujukan bagi masyarakat dalam isu-isu keagamaan.
Berdasarkan kepada perkara ini, maka seseorang imam itu, seharusnya mempunyai keterampilan diri yang baik, ilmu pengetahuan yang luas (khususnya mengenai ilmu agama), mampu memahami ayat-ayat al-Quran yang dibaca, berfikiran terbuka serta mampu untuk menghadapi segala situasi yang berlaku dalam masyarakat. Oleh itu, imam mestilah mempunyai sifat-sifat terpuji serta tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang imam sama ada dalam menjalankan tugasan di masjid dan di luar masjid, seharusnya dijalankan dengan penuh tanggungjawab supaya segala amalan keagaamaan khususnya dapat dijalankan secara sempurna.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”