Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dalil pensyariatan talaq dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pensyariatan talaq adalah berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘ ulama. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ
Maksudnya: “Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Imam al-Mawardi menyebut dalam tafsirnya: “(Antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talaq dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawa lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talaq dan tidak pula memilikinya pada talaq ketiga. Inilah pendapat ‘Urwah dan Qatadah.” (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/293).
Allah SWT turut berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ
Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul).”
(Surah al-Talaq: 1)
Al-Tabari menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan, yakni, takutlah kamu semua kepada Allah, wahai manusia. Waspadalah kamu daripada melakukan maksiat kepada-Nya dengan melanggar batasan-Nya. Janganlah kamu mengeluarkan isteri-isteri yang telah kamu talaqkan kerana mereka ada ‘iddah di rumah-rumah mereka yang kamu telah beri mereka tinggal di dalamnya sebelum talaq itu lagi, sehinggalah selesai ‘iddah mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 23/413).
Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT berbicara dengan Nabi SAW. Walaupun lafaz yang digunakan menunjukkan ramai, tetapi ia adalah bagi tujuan memuliakan dan mengangkat darjat Rasulullah SAW. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/148).
Manakala dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْـحَلاَلِ إِلَى اللهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”
Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) dan beliau menilainya sebagai sahih.
Imam al-Khattabi menjelaskan bahawa makna benci pada hadith itu adalah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talaq itu sendiri, kerana Allah SWT telah mengharuskan perbuatan talaq tersebut. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/231). Apatah lagi, talaq merupakan jalan yang terakhir digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talaq itu dianggap halal akan tetapi perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)
Al-San‘ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaik-baiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talaq ini selagi mana terdapat keluasan padanya, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248).
Dalam hadith lain, daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:
كَانَتْ تَحْتِى امْرَأَةٌ أُحِبُّهَا وَكَانَ أَبِى يَكْرَهُهَا فَأَمَرَنِى أَبِى أَنْ أُطَلِّقَهَا فَأَبَيْتُ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ طَلِّقِ امْرَأَتَكَ
Maksudnya: “Aku mempunyai isteri yang aku sayangi, tetapi ayah aku pula tidak menyukainya dan meminta aku menceraikannya. Aku enggan, lalu perkara ini diberitahu kepada Nabi SAW. Baginda bersabda: ‘Wahai Abdullah bin Umar, ceraikanlah isterimu itu.’”
Riwayat Abu Daud (2088), al-Tirmizi (1189) dan Ibn Majah (2088)
Ibn ‘Allan al-Syafi‘i menjelaskan bahawa Umar R.A menyuruh Abdullah bin Umar R.Anhuma untuk menceraikan isterinya disebabkan hal yang berkait dengan perkara-perkara agama, atau bimbang ia akan menyebabkan mudharat pada agama anaknya. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/174).
Tambahan lagi, berhubung pensyariatan talaq, ia juga adalah berdasarkan ijma‘ di mana semua ulama bersepakat tentang pensyariatannya tanpa seorang pun yang berkecuali.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”