Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, hadith Rasulullah SAW perkara yang boleh membawa kebahagiaan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
(Surah al-Mu’minun: 1-11)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, daripada Nafi’ bin Abd al-Harith, daripada Nabi SAW bersabda:
مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ
Maksudnya: “Daripada kebahagiaan seseorang itu, apabila mempunyai tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang baik.”
Riwayat Ahmad (15372), ‘Abd bin Humaid dalam al-Musnad (385) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (457)
Dalam riwayat lain, daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ: الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْمَرْكَبُ الصَّالِحُ، وَمِنْ شَقَاوَةِ ابْنِ آدَمَ: الْمَرْأَةُ السُّوءُ، وَالْمَسْكَنُ السُّوءُ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ
Maksudnya: “Antara kebahagiaan anak keturunan Adam A.S: Wanita solehah, kediaman yang luas, dan kenderaan yang baik. Antara kesengsaraan anak keturunan Adam A.S pula: Wanita yang buruk, kediaman yang buruk dan kenderaan yang buruk.”
Riwayat Ahmad (1445)
Berdasarkan dua hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita, seseorang itu merasa bahagia apabila dikurniakan Allah kepadanya:
- Tempat tinggal yang selesa lagi luas
- Jiran yang baik
- Kenderaan yang selesa dan baik
- Isteri yang solehah
Jika ditambah dengan beberapa kurniaan yang lain seperti anak yang soleh dan berjaya dalam kehidupan, mempunyai rezeki yang baik serta dimudahkannya, dapat melaksanakan ibadat haji umrah dengan selesa, dapat menunaikan ibadat solat di masjid, dapat solat berjemaah dengan anak isteri, maka dia akan menambahkan lagi keselesaan dan kebahagiaan dalam hidup.
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi pernah menyebut:
المال هو أدنى درجات الرزق .. والعافية أعلى درجات الرزق .. وصلاح الأبناء أفضل أنواع الرزق .. أما رضا الله فهو تمام الزرق.
Maksudnya: “Harta adalah darjat rezeki yang paling rendah, kesihatan adalah darjat rezeki yang paling tinggi, dan anak-anak yang soleh adalah sebaik-baik jenis rezeki. Adapun keredhaan Allah, maka itulah kesempurnaan rezeki.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”