Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat riwayat zikir tertentu selepas solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ
Maksudnya: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Imam al-Qurtubi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Apabila kamu selesai dari solat maka berzikirlah kepada Allah dengan jantung hati dan juga lidah.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/319)
Menjawab persoalan di atas, terdapat banyak cara. Antaranya zikir seperti yang diriwayatkan daripada daripada Warrad, penulis kepada al-Mughirah, katanya: Mu‘awiyah telah menulis surat kepada al-Mughirah: “Tulis dan sampaikan kepadaku apa yang telah engkau dengar daripada Rasulullah SAW.” Maka al-Mughirah menulis surat kepadanya: “Sesungguhnya Nabi SAW biasa mengucapkan selepas setiap solat:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لَمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ
Maksudnya: ‘Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tiada siapa yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan, dan tiada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau tahan, serta tiada manfaat bagi seseorang yang memiliki kekayaan (kedudukan atau kemuliaan), kerana kekayaan itu tidak dapat menolongnya daripada-Mu.’”
Riwayat al-Bukhari (6330) dan Muslim (593)
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَبَحَّ اللهَ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِيْنَ، وَحَمِدَ اللهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِيْنَ، وَكَبَّرَ اللهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِيْنَ، فَتِلْكَ تِسْعٌ وتِسْعُونَ، وَقَالَ تَمَامَ المِائه: لاَ إلَهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيْرٌ -غُفِرَتْ خَطَايَاهُ، وَلَوْ كانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْر
Maksudnya: “”Sesiapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, dan bertahmid kepada Allah 33 kali, dan bertakbir kepada Allah 33 kali, hingga semuanya berjumlah 99,” dan baginda menambah: “Kesempurnaan 100 adalah membaca: لاَ إلَهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيْرٌ, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”
Riwayat Muslim (597)
Hadith ini menunjukkan bahawa sesiapa yang selepas solat fardhu membaca Tasbih (Subhaanallah) sebanyak 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan Takbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali dan menyempurnakan zikir terakhir yang ke 100 dengan membaca: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ, dan membacanya dengan ikhlas, dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan (dosa kecil).
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menunjukkan kelebihan zikir ini selepas solat lima waktu. Selain itu, zikir ini disebutkan setelah menyelesaikan solat fardhu, sebagaimana yang terdapat dalam hadis. Jelas bahwa maksudnya adalah mengucapkannya dalam keadaan duduk. Jika diucapkan setelah berdiri atau dalam perjalanan, tampaknya masih sesuai dengan Sunnah, karena tidak ada larangan. Jika seseorang sibuk dan teringat, dan mengucapkannya tetap memberikan pahala khusus, terutama jika ada keuzuran. Jika seseorang sengaja meninggalkannya dan kemudian mengingatnya setelah waktu yang lama, pahala khususnya kemungkinan hilang, tetapi pahala zikir umum tetap diperoleh.
Zikir ini juga adalah sebab untuk pengampunan dosa dan penebusan kejahatan, yang dimaksudkan adalah penebusan dosa-dosa kecil. Adapun dosa besar, hanya dapat dihapus melalui taubat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/304-305)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”