Soalan
Apakah niat puasa perlu setiap hari ataupun sudah cukup untuk berniat sebulan terus?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.
Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”.[1]
Asas kepada kewajipan untuk berniat dalam semua ibadat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat, dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.[2]
Maka, niat berpuasa diletakkan sebagai satu syarat sah puasa seseorang itu. Hal ini disebutkan secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, yang antaranya disebutkan Ibn Qasim: Kewajipan-kewajipan puasa itu ada empat perkara: Niat di dalam hati, sekiranya puasa yang fardhu seperti puasa Ramadhan atau puasa nazar, maka mestilah diniatkan pada waktu malam.[3]
Di sisi jumhur fuqaha’, niat puasa Ramadhan hendaklah dilakukan pada setiap hari pada waktu malam seperti yang disebutkan sebelum masuk waktu subuh. Hal ini kerana setiap hari dalam Ramadhan dikira berasingan.[4]
Syarat-Syarat Niat
Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ia dinamakan dengan berniat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya. Antara yang disebutkan ialah:
- Al-Jazm(الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
- Al-Ta’yiin (التعيين): iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadhan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dsb.). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
- Al-Tabyiit (التبييت):menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Hafsah R.Anha:
مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).[5]
Berniat Untuk Berpuasa Sebulan Ramadhan Dengan Sekali Niat
Hal ini merupakan antara permasalahan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat Islam dan menurut pembacaan kami, para ulama’ telah terbahagi kepada dua pendapat di dalam permasalahan ini:
- Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.[6] Ia sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.
- Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam.[7] Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini. Hal ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan dan berdasarkan dalil serta alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ia juga adalah pendapat dalam mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa. Namun begitu, pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat untuk berpuasa ramadhan pada setiap malam harinya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 1 April 2022 bersamaan 29 Syaaban 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Surah Al-Bayyinah: 5
[2] Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.
[3] Lihat Fath al-Qarib, 1/136
[4] Lihat al–Mausuah al-Fiqhiyyah, 28/26
[5] Riwayat Abu Daud (2454). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2454) menyatakan hadith ini sahih.
[6] Lihat al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm. 80) dan al-Syarh al-Kabir (1/521).
[7] Lihat Radd al-Muhtar (2/87), al-Majmu’ (6/302) & Kasyaf al-Qana’ (2/315).