Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terbaca kisah isteri yang sakit akibat kanser diminta melayan suami sedangkan dia dalam keadaan tenat. Apa hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami katakan, antara tanggungjawab isterinya kepada suaminya adalah seperti berikut:

  • Taat dalam Perkara Bukan Maksiat

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Maksudnya:Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Maksud perkataan qiwamah di dalam ayat yang dinyatakan di atas ialah berkaitan kepimpinan dan hak ketaatan.

  • Menjaga Kemuliaan, Maruah dan Harta Suami

Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: Mahukah kamu, aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Perkara itu ialah seorang isteri yang solehah, iaitu apabila dipandang, menggembirakannya, apabila diperintahkan, mentaatinya, dan apabila suaminya tiada, dia memelihara dirinya dan harta suaminya.

Riwayat Abu Daud (1664) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, di mana beliau mensahihkannya

  • Memberikan Hak Persetubuhan

Apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, dan ketika itu dia mampu untuk bersama, maka dia wajib menyerahkan dirinya kepada suami setelah termeterainya akad perkahwinan yang sah apabila diminta. Syara‘ tidak akan mengancam suatu perkara itu melainkan ia merupakan suatu hak yang wajib ditunaikan. Rasulullah SAW bersabda seperti dalam riwayat Abu Hurairah R.A:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ، فَبَاتَ غَضْبَانَ: لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur namun isterinya menolak, lalu dia bermalam dalam keadaan marah terhadap isterinya, nescaya para malaikat akan melaknatnya (isterinya) sehingga Subuh.”

Riwayat al-Bukhari (3237) dan Muslim (1436)

Suami pula sewajarnya memberikan tempoh yang sewajarnya kepada isteri untuk mempersiapkan dirinya jika diajak untuk bersama; kerana kebersediaan dan kebersihan diri itu adalah keperluan si isteri. Rasulullah SAW telah ajarkan kepada kita seperti dalam hadith Jabir bin Abdullah R.A:

إِذَا دَخَلْتَ لَيْلًا، فَلاَ تَدْخُلْ عَلَى أَهْلِكَ، حَتَّى تَسْتَحِدَّ المـُغِيبَةُ، وَتَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ

Maksudnya: “Apabila engkau tiba di rumah pada waktu malam (selepas bermusafir), janganlah engkau masuk ke rumah isteri engkau sehingga bulu yang ditinggal dapat dicukur dan rambut yang kusut dapat disikat.”

Riwayat al-Bukhari (5246) dan Muslim (4845)

Bertitik tolak dari kewajipan mentaati suami itu juga, perintah ketaatan itu sentiasa diikat dengan satu syarat iaitu perintah tersebut mestilah bukan pada perkara yang melanggar hukum Islam. Maka, sekiranya suami mengajak isterinya untuk bersama semasa dia sedang didatangi haid, tidak wajib ketika itu untuk menurut ajakan suami. Allah SWT telah sebutkan dengan jelas di dalam firman-Nya:

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًۭى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”

(Surah al-Baqarah: 222)

  • Tidak Keluar dari Rumah Melainkan dengan Keizinan Suami

Isu ini terkadang dipandang remeh sahaja oleh sebahagian masyarakat kita, akan tetapi pada hakikatnya ia memberikan kesan yang besar pada sikap serta layanan seorang isteri terhadap ketua keluarga. Ironinya, apabila seorang isteri itu lebih khuatir jika tidak mendapat keizinan majikan untuk keluar dari pejabat berbanding tidak mendapat keizinan suaminya untuk keluar rumah. Walhal tanpa keizinan suaminya untuk dia keluar bekerja, maka tidak mungkin isteri tersebut berada pada posisi atau jawatan kerjanya. Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Berdasarkan ayat ini, fuqaha’ beristidlal bahawa isteri wajib mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah. Mereka yang keluar tanpa izin ini juga dihukum sebagai nusyuz. Imam al-Nawawi menyatakan, isteri keluar rumah tanpa izin suami dikira nusyuz. Imam Ibn Hajar al-Haitami pula di dalam syarah beliau mengatakan, setiap wanita layak mendapat nafkah kecuali wanita yang nusyuz, iaitu  wanita yang tidak mentaati suami seperti keluar rumah tanpa keizinan suami atau menghalang suami untuk bergurau senda atau sebagainya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/441)

  • Tidak Membenarkan Sesiapa Memasuki Rumah Melainkan dengan Izin Suami

Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (10/125), antara hak suami ke atas isterinya adalah dengan tidak membenarkan sesiapa untuk masuk ke dalam rumah selagi belum diizinkan oleh suaminya, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَلاَ تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Dan tidak boleh baginya (isteri) mengizinkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suami.”

Riwayat al-Bukhari (5195) dan Muslim (1026)

Menjawab persoalan di atas, tanpa dinafikan, isteri hendaklah mentaati suaminya. Tetapi pertimbangan juga perlu diambil kira apabila isteri dalam keadaan uzur atau tenat, ketika itu, isteri dikategorikan dalam keadaan sukar dan tidak mampu untuk melayani suami. Sepatutnya suami wajib bertimbang rasa, menolong dan membantu si isteri untuk rawatan dan memberi semangat kepadanya. Ini termasuk dalam nas Ilahi bermu’asyarah secara yang ma’ruf.

Begitu juga, dalam situasi seperti ini, dokongan dan sokongan suami kepada isteri untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan adalah amat-amat diperlukan. Ketika itulah akan lahirnya sifat kasih sayang dan cinta sejati sebagai tanda dan lambang sebenar matlamat perkahwinan yang disebutkan melalui firman-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”