Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana untuk selesaikan isu was-was dalam bab bilangan tawaf Ifadhah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagaimana yang diketahui bahawa tawaf ifadhah adalah di antara rukun-rukun haji sebagaimana firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

(Surah al-Hajj: 29)

Di antara syarat sah tawaf tersebut, seseorang itu hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali pusingan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141).

Namun, sekiranya dia telah ragu-ragu atau waswas mengenai bilangan tawafnya, dia tidak akan terkeluar daripada dua situasi ini:

Situasi Pertama: Ketika masih lagi sedang melakukan tawaf. Contohnya: Ketika dia sedang melakukan tawaf, tiba-tiba dia telah waswas pada bilangan tawafnya; adakah kali ke-6 atau ke-7.

Sekiranya demikian, dia hendaklah mengambil bilangan yang paling sedikit. Dalilnya adalah sebagaimana hadith Abu Sa‘id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang di antara kamu yang ragu-ragu di dalam solatnya, dia tidak tahu bilangan rakaatnya, apakah sudah tiga atau empat. Maka buanglah keraguan itu, dan binalah (ambilah) apa yang pasti (iaitu yang sedikit).

Riwayat Muslim (571)

Ini juga adalah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa sesiapa yang telah syak pada bilangan tawaf atau sa‘inya, wajib ke atas dia mengambil bilangan yang paling sedikit sekalipun dia cenderung pada bilangan yang banyak (dalam sangkaannya itu), tetap wajib ke atasnya mengambil bilangan yang sedikit yang diyakini sebagaimana di dalam bab solat yang lepas — iaitu syak pada bilangan rakaat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/21)

Selain itu, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff  juga ada menyebutkan bahawa tawaf adalah sebanyak tujuh kali (pusingan) secara yakin. Sekiranya datang syak pada bilangannya, ambillah bilangan yang paling sedikit seperti solat (yakni syak pada bilangan rakaat). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481).

Hal ini dikuatkan lagi oleh nukilan Ibn Munzir dalam kitabnya bahawa telah menjadi Ijma‘ dalam kalangan para ulama bagi sesiapa yang ragu-ragu di dalam (bilangan) tawafnya hendaklah dia mengambil apa yang pasti (yakin). (Lihat al-Ijma‘, hlm. 55).

Situasi Kedua: Sudah selesai melakukan tawaf dan meninggalkannya. Contohnya: Seseorang itu sudah pun selesai menunaikan tawaf ifadhah dan telah pulang ke hotel. Tidak lama kemudian, datang waswas di dalam dirinya; adakah dia telah tawaf cukup sebanyak tujuh kali pusingan atau pun tidak.

Di dalam situasi ini, Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa:

إِذَا شَكَّ بَعْدَ فَرَاغِهِ فَلَا شَيْء عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya dia ragu-ragu setelah selesai menunaikan tawaf  (dan meninggalkannya) maka tiada apa-apa ke atas dirinya (yakni tawafnya dikira sah).” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/22).

Begitu juga Habib Hasan al-Kaff juga menyatakan, keraguan tidak akan memberi apa-apa kesan setelah selesainya (sesuatu ibadah). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481).

Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang berada di dalam situasi kedua ini, keraguan yang datang selepas selesai dan yakin akan ibadah tersebut, tidak akan membatalkannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”