Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita ditegah daripada berputus asa dalam Islam? Apakah dalil-dalilnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan dugaan, cabaran dan rintangan, kita sebagai orang yang beriman, adalah dituntut untuk bersangka baik, berfikiran positif, dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Hal ini terutamanya apabila kita menghadapi masalah atau berdepan dengan situasi yang sukar atau berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

Jika ditinjau, terdapat beberapa nas al-Quran dan hadith yang menegah seseorang itu berputus asa daripada rahmat Allah, sebaliknya menyuruh supaya sentiasa meletakkan harapan dan pergantungan kepada Allah SWT.

Antaranya, firman Allah SWT:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

Surah Yusuf (87)

Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 12/232)

Sayyid Qutb pula berkata: “Orang-orang beriman, yang mempunyai hati yang berhubung mesra dengan Allah dan mempunyai kelegaan dan keselesaan yang dipupuk oleh bayu rahmat Allah, mereka tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan. Hal ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berada dalam kelegaan dan keselesaan di bawah naungan iman dan sentiasa berada dalam hubungan mesra dengan Allah. Mereka juga sentiasa tenteram disebabkan keyakinan mereka kepada Allah tatkala mereka dilanda kesusahan dan penderitaan yang mencemaskan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/339)

Selain itu, Allah SWT turut berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Zumar (53)

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/398)

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ

Maksudnya: “Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

Surah al-Hijr (56)

Ini adalah perkataan Nabi Ibrahim AS yang Allah SWT abadikan dalam surah al-Hijr. Al-Syaukani berkata: Lafaz ‘الضَّالُّونَ’ (orang-orang yang sesat) maksudnya adalah orang-orang yang mendustakan, atau orang-orang yang menyimpang daripada jalan yang benar. Nabi Ibrahim menganggap kecilnya peluang untuk mendapat anak kerana usianya yang sudah lanjut, dan Baginda tidaklah berputus asa daripada rahmat Allah. (Lihat Fath al-Qadir, 6/174)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan lagi ayat ini dengan mengtatakan bahawa: “Dan tidaklah sikap berputus asa daripada rahmat Allah SWT itu melainkan bagi orang-orang yang sesat dan keliru daripada jalan kebenaran.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/305)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya tentang dosa-dosa besar, lalu Baginda menjawab:

الْكَبَائِرُ : الشِّرْكُ بِاللهِ ، وَالإِياَسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ ، وَاْلقُنُوْطُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ

Maksudnya: “Dosa besar itu adalah melakukan syirik kepada Allah SWT, bersikap pesimis terhadap kasih sayang Allah dan berputus daripada rahmat-Nya.”

Riwayat al-Bazzar (18) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8783). Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawa’id (1/104): “Para perawinya adalah thiqah.” Manakala al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (4/22) menyatakan bahawa isnadnya hasan.

Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, katanya:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ: الْإِشْرَاكُ بِاللهِ ، وَالْأَمْنُ مِنْ مَكْرِ اللهِ ، وَالْقُنُوطُ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ، وَالْيَأْسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ

Maksudnya: “Dosa yang  paling besar ialah: Syirik kepada Allah, merasa aman daripada makar Allah, berputus asa daripada rahmat Allah yang berhubung dengan menghilangkan kesulitan.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8784), ‘Abd al-Razzaq (19701) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1019). Dinilai hasan oleh pengarang al-Silsilah al-Sahihah.

Justeru, daripada nas-nas yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan tegahan berputus asa daripada mengharapkan jalan keluar daripada Allah SWT serta rahmat-Nya. Sikap orang-orang yang beriman adalah tidak berputus asa daripada rahmat Allah meskipun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan yang dihadapi.

Kami ada menjawab persoalan seperti ini dengan panjang lebar dalam buku kami bertajuk:  Kemurungan dan Putus Asa:  Solusi Islam untuk Jiwa yang Tertekan. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”