Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud dan makna sedekah dalam Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berkenaan takrif sedekah (صَدَقَةٌ), dari segi bahasa, ia bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas daripada hati yang bersih. Manakala dari segi istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian yang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Sedekah bermaksud pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah SWT. (Lihat al-Ta‘rifat, 1/132).
Selain itu, Ibn Manzur mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 10/196).
Justeru, sedekah bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 15/370; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 26/323).
Para ulama’ menjelaskan bahawa sedekah adalah merupakan satu pemberian yang bertujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.
Firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 271)
Al-Maraghi menyebutkan, jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andai kata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Akan tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riya’, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620).
Berkenaan dengan sedekah jariah pula ia bermaksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.
Dalam al-Qamus al-Fiqhi (1/318) sedekah jariah juga dikenali sebagai wakaf berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW. Di antaranya, dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menukilkan, ulama menyebutkan bahawa makna hadith ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan tersebut. Ini kerana ia yang menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau hasil penulisannya. Begitu juga sedekah jariah iaitu wakaf.
Dalam hadith ini juga, terdapat galakan supaya berkahwin untuk mendapat anak yang soleh. Selain itu, ia juga menunjukkan sahnya asal wakaf dan besar pahalanya. Di samping itu, diterangkan kelebihan ilmu serta galakan untuk memperbanyakkannya. Begitu juga, galakan untuk mewariskan ilmu dengan cara pengajaran atau karya tulisan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 11/85).
Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, ulama telah menafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith di atas itu dengan maksud wakaf, seperti mana kata al-Rafi‘i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87).
Oleh itu, dapat difahami bahawa sedekah jariyah adalah sedekah yang dilakukan di mana pahalanya berterusan mengalir sekalipun seseorang telah meninggal dunia seperti amalan wakaf.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”