Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara atau kaedah dalam menghadapi golongan yang tidak mahukan islah atau perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam hal ini, pendekatan berhemah dan berhikmah yang penuh dengan kebijaksanaan hendaklah menjadi agenda utama ketika berdepan dengan golongan seperti ini. Memberi sebuah kefahaman yang jelas di samping tamsilan dengan logik akal serta fakta sejarah dan juga fakta Sains jika ada perlu dikemukakan dengan sebaiknya. Begitu juga, qanun boleh memainkan peranan untuk menegakkan islah dan bukan membawa kepada kerosakan.

Tetapi perlu diingat, dakwaan islah dan sebagai muslih sentiasa bermain di bibir orang yang tidak benar dan tidak mahu kepada islah tetapi tetap menggunakan kalimah islah. Hal ini telah diibaratkan dalam al-Quran al-Karim dengan jelas:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ ﴿١١﴾ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

(Surah al-Baqarah: 11-12)

Al-Maraghi berkata: Beginilah keadaan kaum yang melakukan kerosakan pada setiap masa. Mereka menganggap perbuatan mereka itu sebagai perbuatan baik meskipun kerosakan dan kesesatan mereka sudah nyata dan jelas.

Mereka mengaku berbuat baik itu hanyalah sebagai cara untuk lepas tangan daripada tingkah laku (kejahatan) mereka secara penipuan dan cerdik. Meskipun tindakan kejahatan yang dilakukan oleh mereka itu berdasarkan taqlid kepada pemimpin tetapi sebenarnya, mereka melakukannya berdasarkan keyakinan. Mereka masih mengaku melakukan perbuatan baik walaupun pada realitinya tipu daya mereka itu menimbulkan kerosakan kepada umat, kerana mereka merosakkan perkara yang baik dan buruk. Pada masa yang sama, mereka tidak mahu mengikut ajaran Islam yang mengajak mereka untuk bersatu, malah mereka menyeru kepada perpecahan. Apakah timbulnya kerosakan yang lebih besar sehingga menimbulkan kesan kepada manusia di bumi ini (selain) mereka bersikap menolak kebenaran dan membela kebatilan?

Sehubungan itu sebenarnya, mereka sendirilah yang melakukan kerosakan, bukannya orang lain seperti dakwaan mereka. Ini disebabkan mereka (orang Mukmin) terdiri daripada keturunan orang yang soleh, yang menunjukkan teladan yang baik kepada mereka. Pemakaian kata seru dalam ayat ini, menunjukkan penolakan keras terhadap pembohongan mereka (orang munafik) serta rasa kemarahan yang amat sangat. (Lihat Tafsir al-Maraghi1/43).

Gerakan pengislahan ini sentiasa dicabar dan tidak disenangi oleh golongan yang sudah selesa dan terbiasa dengan gaya yang lama. Pertembungan ini boleh membawa kepada pertelingkahan yang parah sehingga berlaku perlabelan dan tuduhan. Hal ini amat bahaya apabila dibiarkan. Bacalah sejarah, kita akan dapati, ianya telah dilakukan oleh golongan yang memang tidak dapat menerima akan hakikat islah mahupun tajdid. Ada yang mengatakan:

إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja”.

(Surah al-Zukhruf: 22)

Al-Syaukani berkata: Mereka mengakui bahawa mereka tidak mempunyai sebarang asas, hujah, atau syubhat untuk dipertahankan. Sebaliknya, mereka hanya menurut jejak langkah nenek moyang mereka dalam kesesatan. (Lihat Fath al-Qadir, 4/282)