Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud ta’liq talaq? Saya pernah mendengarnya tetapi tidak faham maksudnya yang sebenar.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
Surah al-Baqarah (229)
Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar, 3/226, al-Mughni, 16/192; Mughni al-Muhtaj, 3/279)
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula, talak bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.
Pada asasnya, talak boleh dilakukan secara langsung atau dengan ta‘liq. Perkataan ta‘liq ini merupakan perkataan Arab (التَعْلِيقُ) yang berasal dari kata kerja (عَلَّقَ – يُعَلِّقُ – تَعْلِيقًا), dari segi bahasa bermaksud menggantungnya atau melampirkan sesuatu padanya. (Lihat Lisan al-Arab, 10/254)
Manakala taʻliq menurut istilah dan konteks penceraian, al-Barakti mengatakan, ia merujuk kepada syarat yang digantung (ditetapkan), seperti seorang lelaki yang berkata pada isterinya: “Jika kamu masuk ke dalam rumah itu, kamu diceraikan.” (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 59)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikannya dengan lebih khusus, iaitu suami menggantungkan talak kepada isterinya dengan sifat, atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain, atau berlaku pada masa hadapan.
- Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
- Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.” Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
- Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)
Dalam akta Undang-undang Keluarga Islam, tafsiran ta‘liq disebutkan sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah, mengikut hukum syarak dan peruntukan akta. Tafsiran ini membawa maksud, ta‘liq yang dibacakan oleh suami itu adalah dengan niat penceraian apabila berlakunya ta‘liq, dan ini dikuatkan lagi dengan seksyen 50 di bawah akta yang sama, berkenaan penceraian di bawah ta‘liq atau janji:
“(1) Seorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta‘liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut hukum syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada pendaftar yang berkenaan dan kepada ketua pendaftar untuk didaftarkan.”[1]
Memahami definisi talak ta‘liq yang dibawakan, terdapat beberapa implikasi yang perlu kita ketahui sejurus lafaz ta‘liq itu dilontarkan oleh si suami. Antaranya seperti berikut:
- Tidak jatuh selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
- Kehidupan berumah tangga masih kekal dengan segala hukum dan kewajipan selagi syarat yang dikaitkan dengan talak belum terjadi, walaupun ia pasti berlaku. Contohnya, suami berkata: “Apabila tiba bulan Ramadhan, engkau tercerai.”
- Talak jatuh sebaik sahaja syarat yang berkaitan itu berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru.
Sedikit renungan dan nasihat kami agar sentiasa membina rumah tangga dalam keadaan yang baik dengan asasnya saling hormat-menghormati, atau tasamuh serta mu’asyarah dengan cara yang terbaik sebagaimana nas Ilahi:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”
(Surah al-Nisa’:19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
[1] Lihat https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Akta/Akta%20Undang-Undang%20Keluarga%20Islam%20(Wilayah-Wilayah%20Persekutuan)%201984%20(Akta%20303).pdf. Diakses pada 27 Disember 2023.