Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, bagaimana beradabnya sahabat di hadapan Rasulullah SAW dalam menjawab persoalan yang ditanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Adab adalah amat penting. Benarlah kata Abdullah bin al-Mubarak

نَحْنُ إِلَى قَلِيلٍ مِنَ الْأَدَبِ أَحْوَجُ مِنَّا إِلَى كَثِيرٍ مِنَ الْعِلْم

Maksudnya: “Kita lebih berhajat kepada adab (walau) sedikit berbanding dari memiliki ilmu yang banyak.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/356)

Kata Ibn al-Qayyim pula:

وَالْأَدَبُ هُوَ الدِّينُ كُلُّهُ

Maksudnya: “Adab itu merupakan agama keseluruhannya.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/356)

Menjawab persoalan di atas, al-Abbas bin Abd al-Muttalib pernah ditanya: Mana yang lebih besar antara kamu atau Nabi SAW?  Jawabnya:

هُوَ أَكْبَرُ مِنِّي، وَأَنَا وُلِدْتُ قَبْلَهُ

Maksudnya: “Dia (yakni Rasulullah SAW) lebih besar daripadaku, sedangkan aku lahir sebelumnya.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5493)

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Ibn Yarbu’, adakah aku lebih besar atau kamu? Maka jawab Ibn Yarbu’:

أَنْتَ أَكْبَرُ مِنِّي، وَأَخْيَرُ، وَأَنَا أَقْدَمُ سِنًّا

Maksudnya: “Kamu lebih besar daripadaku dan lebih mulia, sedangkan aku lebih tua dari segi usianya.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (3260), Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (21/323) dan al-Baghawi dalam Mu’jam al-Sahabah (972)

Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Amru bin Sa’id al-As:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَدَّبَنِي رَبِّيْ فَأَحْسَنَ تَأْدِيْبِيْ.

Maksudnya: “Allah mendidikku dan itulah sebaik didikan.”

Riwayat al-Sam’ani dalam Adab al-Imla’ (hlm. 5). Al-Suyuti menghukumkan hadith ini sebagai dha’if dalam al-Jami’ al-Saghir (309). Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut, isnadnya gharib dalam As’ilah wa Ajwibah (57). Syeikh al-Islam menyebut maknanya sahih, akan tetapi tidak diketahui adanya sanad yang sah tentang hadith ini. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 18/375). Turut dinyatakan sebagai dha’if dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (72) dan Dha’if al-Jami’ (249).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَغْنِنَا بِالْعِلْمِ، وَزَيِّنَّا بِالْحِلْمِ، وَأَكْرِمْنَا بِالتَّقْوَى، وَجَمِّلْنَا بِالْعَافِيَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, kayakanlah kami dengan ilmu, hiasi diri kami dengan kelembutan (kesabaran), muliakanlah kami dengan ketakwaan, dan perindahkanlah kami dengan kesejahteraan.”