Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menghidu bau makanan ketika puasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah 183)
Perkataan “كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ” memberi maksud kewajipan puasa ke atas orang-orang yang beriman. Akan tetapi, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat-umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian, umat Nabi Muhammad SAW secara khususnya telah difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.
Al-Tabari berkata: Pendapat yang benar menurut kami adalah yang menyatakan bahawa maknanya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu dari ahli Kitab, beberapa hari yang tertentu, iaitu sepanjang bulan Ramadhan, kerana yang datang sesudah Nabi Ibrahim AS diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim AS. Hal itu disebabkan dia dijadikan oleh Allah SWT sebagai imam bagi sekalian manusia. Dan Allah SWT telah mengkhabarkan bahawa agamanya adalah al-Hanifiyyah al-Muslimah dan Nabi Muhammad SAW diperintahkan sama dengan yang diperintahkan terhadap nabi-nabi sebelumnya. Adapun aspek persamaannya adalah terletak pada waktu, di mana orang-orang sebelum kita diwajibkan puasa bulan Ramadhan sebagaimana kita juga diwajibkan. Manakala berkenaan firman-Nya: ‘لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ’, maksudnya, agar supaya kamu menghindari makanan, minuman dan hubungan suami isteri. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/67)
Secara umumnya, di antara perkara yang membatalkan puasa ialah masuknya sesuatu benda (‘ain) melalui rongga terbuka ke dalam jauf. Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menjelaskan, lafaz “masuknya sesuatu benda (‘ain)” telah mengeluarkan udara daripada termasuk bersamanya. Justeru, tidak membatalkan puasa dengan masuknya udara ke dalam jauf. Begitu juga dengan rasa dan bau semata-mata tanpa adanya partikel (‘ain), tidak akan membatalkan puasa jika ada yang sampai ke dalam jauf.
Kemudian lafaz “rongga terbuka” pula telah mengeluarkan (yakni tidak termasuk dalam maknanya yang membatalkan puasa), jika sesuatu benda itu sampai ke dalam jauf bukan melalui rongga terbuka seperti minyak dan seumpamanya melalui serapan liang roma. Semua adalah rongga terbuka menurut mazhab Imam al-Syafi‘i kecuali mata (tidak termasuk), demikianlah juga telinga (tidak termasuk dalam rongga terbuka) di sisi Imam al-Ghazali. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 451-452).
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, yang dimaksudkan dengan ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata sekalipun ia kecil seperti bijan, dan begitu juga sekalipun ia tidak dimakan seperti batu kerikil dan benang. Berbeza halnya dengan kesannya sahaja seperti bauan melalui hidu, dan air panas dan sejuk melalui rasa, maka ia tidak memberi kesan kepada puasa. Jauf ialah bahagian otak, bahagian selepas halkum sehingga ke perut dan usus-usus. Manakala rongga terbuka pula ialah mulut, telinga, kemaluan depan dan kemaluan belakang sama ada lelaki mahupun perempuan. Justeru, jika masuknya ‘ain ke dalam jauf melalui salah satu daripada rongga yang terbuka dengan sengaja dan tidak terpaksa, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadha’kannya semula. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181).
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan menghidu bau atau asap hidangan makanan ketika puasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa. Namun, sekiranya seseorang itu dengan sengaja menghidu bau tersebut secara berlebihan, maka makruh hukumnya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.”