Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah solat saya jika tersalah lafaz niat ketika solat? Contohnya saya memang yakin berniat dalam hati untuk solat Zohor, tapi tersalah melafazkan solat Asar.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, Muslim (1907), Abu Daud (2201), al-Tirmizi (1646), Ibn Majah (4227), al-Nasaie (1/59-60), Ahmad dalam al-Musnad (1/25 dan 43), al-Daruqutni, Ibn Hibban dan al-Baihaqi.

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).

Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Niat merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.

Sahih al-Bukhari (1) dan Sahih Muslim (1907)

Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129)

Di sisi mazhab Syafie, disunatkan disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/340)

Pendapat mu’tamad dalam mazhab Syafie juga menetapkan bahawa sah solat seseorang itu jika dia berniat di dalam hati tanpa melafazkan niat dengan lisan, dan inilah pandangan jumhur ulama’. Maka dalam hal ini menurut Imam al-Nawawi, jika seseorang itu berniat dalam hatinya untuk solat Zohor sedangkan lidahnya tersalah melafazkan solat Asar, maka solat Zohornya itu tetap dikira sah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/277

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan niat untuk ibadah itu dikira pada niat yang diqasadkan di dalam hati, bukannya niat yang dilafazkan melalui lisan. Maka jika niat di dalam hati berbeza dengan lafaz niat dengan lisan, maka yang di ambil kira ialah niat di dalam hati, dan ia tidak menjejaskan kesahihan ibadah. Oleh itu, dalam isu anda ia dikira sah kerana anda berniat di dalam hati dengan waktu solat yang betul, akan tetapi hanya dilafaz sahaja tersilap.

Namun, jika seseorang itu ingin mengerjakan solat Zohor bersama Imam dalam waktu Zohor, tetapi ketika takbiratul ihram itu dia tidak mengingati melainkan solat Asar kemudian menyedarinya ketika pertengahan solat, maka solat yang didirikan dalam keadaan tersebut tidak sah kerana niatnya ketika awal solatnya (yakni ketika takbiratul ihram) adalah berbeza dengan solat yang sebenarnya ingin dia tunaikan. Justeru, sekiranya dia menyedari perkara tersebut di pertengahan solat misalnya di rakaat kedua, maka dia hendaklah membatalkan solatnya, dan memulakan solatnya semula dengan niat yang betul bersama Imam tersebut. Jika dia hanya menyedarinya selepas selesai mendirikan solat dan menyakini bahawa dia memang tersilap dalam niatnya itu, maka dia hendaklah mendirikan semula solatnya, dan mengqadha’kannya semula jika waktu solat itu sudah tamat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)