Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh jamak apabila musafir selepas masuk waktu solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن يَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْۚ إِنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ كَانُواْ لَكُمۡ عَدُوّٗا مُّبِينٗا
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.”
(Surah al-Nisa: 101)
Ungkapan فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ yang bermaksud “maka tidaklah berdosa” difahami oleh para ulama ia digunakan bagi menunjukkan keharusan. (Lihat al-Majmu’, 4/339)
Ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar berkaitan dengan perjalanan:
- Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut. Dia juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja.
- Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak di bawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
- Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.
Berbalik kepada isu di atas, kami nyatakan perkara ini terjadi khilaf dalam kalangan ulama. Namun, pendapat yang muktamad bahawa rukhsah tersebut adalah dibenarkan. Dalil mereka ialah firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang…”
(Surah al-Nisa’ : 101)
Menurut Imam al-Nawawi: “Maka ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu bandar maka dia boleh qasar apabila dia berpisah dari bangunan yang dinisbah kepada bandar tersebut. Jika pagar kebun-kebun bersambung dengan pagar bandar maka dengan berpisah dari bangunan bandar sudah mengharuskan qasar, kerana kebun-kebun itu bukan daripada bandar, dan jika ada dua kampung bersebelahan maka seseorang yang keluar dari kampungnya (masuk ke kampung sebelah) sudah boleh qasar.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab, 4/346)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan diharuskan bagi seseorang yang bermusafir selepas masuk waktu solat pertama, bagi solat-solat yang boleh dijamakkan, untuk mengambil rukhsah solat jamak dan qasar, kerana hukum rukhsah itu diambilkira apabila berlakunya permusafiran dan menqasarkan solat atau menjamakkannya bukanlah menggugurkan kewajiban solat itu. Namun begitu, mengambil langkah keluar daripada khilaf ulama itu adalah jalan terbaik jika tiada keperluan.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)