Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat larangan daripada tidur dalam keadaan tangan berlemak disebabkan sisa bekas makanan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A‘raf: 31)

Allah berfirman: “Makan dan minumlah,” iaitu daripada rezeki yang Allah kurniakan daripada makanan yang baik-baik. Namun, janganlah melampaui batas dalam hal tersebut. Pembaziran boleh berupa makan berlebihan yang boleh membahayakan tubuh, berlebihan dalam kemewahan dan memilih makanan, minuman, serta pakaian, atau melampaui batas halal hingga ke yang haram.

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas kerana pembaziran dibenci oleh Allah, merugikan tubuh dan kehidupan seseorang, bahkan mungkin menyebabkan seseorang tidak mampu menanggung perbelanjaan yang wajib ke atasnya. Maka, dalam ayat ini terdapat perintah untuk makan dan minum, serta larangan meninggalkannya dan larangan melampaui batas dalam kedua-dua hal itu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/287).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَامَ وَبِيَدِهِ غَمَرٌ قَبْلَ أَنْ يَغْسِلَهُ، فَأَصَابَهُ شَيْءٌ، فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Maksudnya: “Siapa tidur sedangkan di tangannya kesan dan bekasan lemak dengan sebab makan dan sebelum dia basuhnya, kemudian terkena sesuatu, maka jangan dia cela kecuali dirinya.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1219) dan lafaz ini baginya, al-Bazzar sepertimana dalam Kasyf al-Astar oleh al-Haithami (2887) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (498)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ بَاتَ وَبِيَدِهِ غَمَرٌ، فَأَصَابَهُ شَيْءٌ، فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa tidur sedangkan di tangannya kesan dan bekasan lemak dengan sebab makan, kemudian ia terkena sesuatu, maka jangan dia cela kecuali dirinya.”

Riwayat Abu Dawud (3852), al-Tirmizi (1860), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (6906), Ibn Majah (3297), Ahmad (7531) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1220)

Al-Munawi berkata: Siapa yang tidur dalam keadaan tangannya masih ada kesan-kesan makanan serta bekasan lemak atau kotorannya dalam keadaan demikian, kemudian datang binatang kecil seperti serangga yang mencederakannya seperti mematuk atau menyengatnya, maka janganlah dia mencela kepada yang lain. Ini kerana boleh jadi serangga seperti tersebut dan juga yang mempunyai racun menuju ke tangannya dan dia tidur disebabkan bauan makanan, maka ia terkena sengatan atau patukan serangga tersebut. (Lihat Masabih al-Tanwir, 1/203)

Justeru, basuhlah tangan dengan sebaiknya selepas sahaja selesai makan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”